NOTIS:
Hapus subsidi TH: Tuntut penjelasan kerajaan
KERAJAAN digesa memberikan penjelasan lanjut mengenai sebuah laporan yang menjelaskan pihak Tabung Haji (TH) tidak akan memberikan subsidi haji kecuali kepada golongan B40.
Ironinya laporan tersebut dikeluarkan oleh The Edge Markets pada 11 Februari 2020 yang bertajuk, “Subsidy for first-time pilgrims, except B40s, to be removed next year?”. Laporan ini tidak mendedahkan sumber-sumber rasmi yang menyebarkan perkara berkenaan.
Ada dua persoalan utama di sini yang perlu dijawab oleh Kerajaan khususnya Kementerian di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam.
Pertama, sejauh mana kebenaran laporan penghapusan subsidi kepada mereka yang pertama kali menunaikan Haji kecuali golongan B40 tersebut benar?
Kedua, mengapa sejak tahun lalu laporan mengenai isu melibatkan TH melalui sumber-sumber yang tidak rasmi seperti The Edge Markets sebelum ia disebarkan secara rasmi oleh pihak Kementerian? Siapa sumber-sumber belakang tabir tersebut?
Keadaan ini mencetuskan rasa tidak senang yang berterusan terhadap bagaimana pengurusan Kerajaan terhadap TH ketika ini. Sedangkan kebanyakan rakyat khususnya yang beragama Islam adalah mereka yang mempunyai kepentingan yang sepatutnya pandangan mereka diambil kira dalam membuat keputusan.
Saya mengharapkan Kerajaan memberikan penjelasan yang sebaiknya dalam isu ini. Rakyat mengharapkan pengurusan yang lebih telus serta mengutamakan kebajikan mereka dalam segala hal. Malangnya harapan kini seolah-olah hanya tinggal harapan.
Sekian.
“Islam Memimpin Perpaduan”
DATO’ HAJI CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat
13 Februari 2020 bersamaan 19 Jamadil Akhir 1441H
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment