NOTIS:
Tsunami Acheh dan Muslim Care Malaysia : Mengimbau tragedi 15 tahun dahulu .
Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor
" Allahurabbi...dasyatnya tsunami...ini kuasa Allah" berdecak Haji Zulwahijan spontan apabila pesawat kami berlegar di ruang udara Acheh. Ada bongkah kesayuan meragut hati kami.
" Bagaimana kita jika hari kiamat , tsunami pun sudah begini dasyat" detik hati kecilku, terpanar dan terasa ngeri melihat daripada tatapan langit yang suram.
Ketika melihat dengan kesayuan pemandangan Acheh Jaya yang sebahagiannya seperti padang jarak padang tekukur daripada helikopter NURI milik TUDM dalam perjalanan dari Banda Acheh ke Meulaboh yang terputus jalan darat, hati kecil saya diserkap dengan pertanyaan, bagaimanakah nasib umat Islam Acheh Jaya dan Meulaboh yang kini tinggal di khemah-khemah pengunsian selepas diterjah oleh ombak Tsunami.
Persoalan yang muncul dalam benak saya ialah tentang Aqidah mereka terutama kerana selepas petaka Tsunami, NGO-NGO jaringan Kristian seolah berpesta kebajikan, menebarkan keprihatinan terhadap mangsa Tsunami terutama anak-anak yatim dan pengunsi-pengunsi yang sedang didera dengan trauma Tsunami dan kejerihan hidup setelah semua yang dimiliki disentap dalam sekelip mata. Tidak menjadi rahsia lagi dikalangan petugas dan pekerja kemanusian Gerakan Islam berebutan anak-anak yatim dengan gerakan Kristian yang datang dari dalam dan luar negeri.
"Kristian membantu dengan bersungguh manakala umat Islam kurang peduli...siapa yang perlu kita salahkan"ulang Haji Johari pula.saya sudah tak mampu berkata-kata.terpanar dalam kesedihan yang sarat.
Pengalaman menjadi sukarelawan di Acheh dengan misi utama membantu penempatan anak-anak yatim Acheh mengesahkan jawapan kepada saya bahawa misionari Kristian telah mendapat 'syurga' baru bagi menjaring ahli-ahli kerana sebelum ini serambi Mekah ini tertutup rapat bagi mereka. Acheh Darussalam sejak zaman berzaman kental menjadi benteng akidah, bumi perlawanan dengan penjajah Belanda. Semenjak dari KLIA kami berpapasan dengan NGO-NGO Kristian dan apabila tiba di Medan pula bertembung dengan kumpulan-kumpulan Kristian dari Perancis dan Jerman yang turut terjun kelapangan untuk membantu.
Kehadiran mereka cukup terkesan di kawasan-kawasan pendalaman yang tidak mampu dijangkaui oleh petugas-petugas Islam malah dibeberapa tempat tertentu petugas Islam seperti yang diceritakan oleh sahabat-sahabat PKS terpaksa 'berkasar' dengan kelompok in yang kelihatan cukup agresif menyantuni anak-anak yatim dan gelandangan yang serba kepayahan. Modal mereka besar sehingga mampu menyewa helikopter swasta untuk ulang-alik kepelbagai lokasi. Membawa relawan bertopeng tugas ketuhanan dalam kondisi bencana yang dasyat.
Terjahan ombak besar Tsunami pada 26 Disember 15 tahun lepas telah memberikan kesan yang besar kepada Acheh dan Sumatera Utara berbanding dengan wilayah yang lain. Dianggarkan korban seramai 240 000 orang manakala ratusan ribu yang lain kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian. Tragedi ini juga telah menyebabkan 35 000 lebih kanak-kanak menjadi yatim dan sekarang ini mendiami khemah-khemah pengunsian dan juga dipanti anak-anak yatim. Isu anak yatim ini menarik perhatian dunia apabila dikhabarkan seramai 300 anak-anak yatim Acheh telah dilarikan oleh pertubuhan Kristian World Help yang berpusat di Virginia, Amerika Syarikat.
Isu ini dengan pantas ditanggapi oleh pelbagai gerakan Islam di Indonesia seperti Partai Keadilan Sejahtera, Majlis Ulama Indonesia, Majlis Mujahiddin Indonesia dan sebagainya, malah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhyono telah memberikan amaran bahawa tidak sesiapapun orang perseorangan ataupun organisasi yang boleh membawa keluar anak-anak yatim Acheh keluar dari Indonesia. Indonesia menjadi suluhan lensa masyarakat antarabangsa, mereka wajib bertegas menjaga maruah dan harkat bangsa.
Kebimbangan tentang nasib aqidah anak yatim telah dipaparkan dengan meluas oleh media massa bernuansa Islam di Indonesia dan juga menjadi produk pertuturan masyarakat daripada anjung masjid sehinggalah di gerai-gerai makan. Kebimbangan umat Islam mempunyai asas kerana pertubuhan-pertubuhan Kristian yang memakai jenama pertubuhan kemanusiaan seperti Yayasan Pelita Kasih, Yayasan Obor Bakti, Yayasan Berkat Indonesia, Global Relief, USAid, World Vision dan pelbagai nama lagi begitu agresif menyantuni anak-anak yatim dan gelandangan.
Gelojak kebimbangan ini turut dirasai oleh umat Islam di negara ini yang mempunyai ikatan persaudaraan Islam dan rumpun bangsa yang sama. Maka program Muslim Care, misi menyelamatkan anak-anak yatim Acheh telah digerakkan dengan bersungguh-sungguh di bawah payung Yayasan Amal Malaysia. Kutipan dana telah digerakkan secara besar-besaran di Lembah Klang dengan matlamat utama untuk membina bangunan kekal di Banda Acheh dan Meulaboh. Setelah dana yang dianggarkan wajar untuk membina sebuah bangunan tetap mesyuarat koordinasi telah dilaksanakan di Kuala Lumpur dengan wakil PKS Indonesia iaitu Ustaz Khairul Rahimi (PKS dan Yayasan Amal Malaysia bernaung dibawah Komiti Kemanusiaan Indonesia).
Setelah urusan awal berjaya selesaikan maka rombongan Muslim Care telah bertolak ke Medan pada 9 Februari dan di Medan disambut oleh Pak Mirwan, Pengerusi PKS Medan. Rombongan kami terus bertolak ke Banda Acheh dengan pesawat GARUDA dan sebelum mendarat di Bandara Sultan Iskandar Muda Acheh, pesawat yang dinaiki telah membuat beberapa kali pusingan di atas Banda Acheh. Kami telah melihat dengan penuh keinsafan kesan yang hebat akibat terjahan Tsunami yang melanda Acheh. Di Banda Acheh, kami ditempatkan di rumah penginapan PKKU (Pos Keadilan Peduli Umat). Pada sebelah petangnya, lawatan telah diadakan ke Lampua untuk menyaksikan kesan kemusnahan yang maha dahsyat. Kami juga melawat sebuah masjid yang bersejarah iaitu Masjid Baitur Rahim yang merupakan kepada Masjid Baitur Rahman, yang dibina selepas masjid Baitur Rahman dibakar oleh Belanda.
TRAGEDI YANG MEMBIDANI MUSLIM CARE
Pulang daripada misi bantuan Acheh dengan sejuta pengalaman baru, menghirup nikmat membantu yang jerih serta membina jaringan baru maka kami merasakan unit Muslim Care dibawah lujnah kebajikan wajib diangkat menjadi sebuah gerakan swadaya yang lebih terarah fokusnya. Banyak gerakan swadaya muslim antarabangsa yang setanding dengan badan kebajikan kristian. Dipelbagai belahan dunia , NGO Islam seperti Muslim Aid, Islamic Relief, Hasana Foundation, IHH, alkhidmat Foundation, PIMA dan puluhan nama besar yang lain.
Disamping mempunyai struktur mandiri yang boleh menfokuskan gerakan kebajikan dalam dan luar negara. Mempunyai akaun bank yang akan memudahkan pelbagai misi digerakkan dan memudahkan para penyumbang untuk berkongsi pahala.Tuhan melorongkan kemudahan kepada kami untuk membantu masyarakat, menarik rasa percaya rakyat negara ini untuk bermandi keringat dan membantu ummah.
Bermula dengan tragedi tsunami Acheh, akhirnya pelbagai misi berjaya digalang, antaranya misi gempabumi di Kashmir, Pakistan, membantu mangsa tsunami Pagandaran, Cipatujah yang menyaksikan ribuan insan hilang kediaman. MCM menyantuni mangsa perang Lubnan pada tahun 2006 akibat serangan regim Israel terhadap Lubnan Selatan.
Puluhan misi kemanusiaan ke kemboja dengan membina sekolah dan masjid serta acara korban perdana tahunan, usaha yang sama dibuat di Vietnam. Terlibat dengan misi membantu mangsa gempabumi Bantul Indonesia, bangladesh, Assam India, Jepun, Filipina ,Kota Palu, Donggala, wilayah Sigi, Lombok dan Mataram. Puluhan misi membantu muslim Rohingya termasuk membina sekolah-sekolah tahfiz dan masjid kem pelarian di Cox Bazaar, juga misi Membantu di Myanmar termasuk Food Flogilla For Mynmar.
MCM berterusan membantu umat Islam di Gaza Palestin dengan membina kilang roti, masjid, perpustakaan, kenderaan pelbagai guna. Kolaborasi dengan NGO di Palestin membolehkan usaha membantu dibuat dengan konsisten dalam tempoh 15 tahun ini. Gejolak pembantaian di Syria pasca Arab Spring membawa MCM terlibat daripada awal dan secara berterusan membantu dimedan konflik. Usaha cemerlang yang diiktiraf oleh UNESCO ialah kejayaan mengendalikan enam buah sekolah pelarian Syria serta usaha kemandirian menternak lembu untuk pelarian Syria di sempadan SyriaTurki. Dua aktivis Muslim care telah terkorban semasa mengagihkan makanan kepada mangsa peperangan di syria. Tribulasi ini tidak mematahkan semangat MCM untuk terus berbakti walaupun terhampar seribu ujian dan mehnah.
Selain itu kejayaan MCM disebelah tanah Eropah ialah mewujudkan Islamic Centre di Poland untuk membantu pelarian Chechen , juga membantu masjid di Bosnia serta membantu pelarian Syria di Austria , Jerman dan Republik Chech. Tsunami Acheh tetap dalam kenangan kolektif kami walau telah berlalu 15 tahun lampau kerana bertolak daripada tragedi besar ini, muncul NGO muslim Care Malaysia yang menggalang nuansa manusiawi membantu insan melewati garis sempadan dan geografi. Terimakasih rakyat Malaysia yang menyokong dan mendokong usaha kami selama ini dan akan datang. Juga tribut buat pahlawan kami yang telah pulang ke negeri abadi, almarhum Ustaz Norazli Musa alias Ustaz Toliban, Dr Bashar dan Abu Ishak iaitu aktivis MCM di Syria yang terkorban semasa misi membantu. Semoga kita ditemukan ditempat paling indah dinegeri abadi kelak.
(Penulis ialah aktivis bantuan tanpa sempadan)
Sumber: https://www.facebook.com/ustazriduan/posts/3204521539574726
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment