NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Kimanis : Warisan Sedikit Mendahului, BN Ada Peluang Menang - TSIS


oleh: DR. HJ. WAN MAT BIN SULAIMAN

PENDAHULUAN

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) telah melakukan satu kaji selidik bebas bertajuk “Kaji Selidik Mengenai Kecenderungan Pengundi dalam PRK P176 Kimanis” bagi membolehkan satu rumusan objektif keadaan semasa politik Sabah dan Malaysia dibuat selain untuk menilai keberdayaan kerjasama politik Pakatan Harapan-WARISAN dan Muafakat Nasional.

Kaji selidik ini dilakukan secara tatap muka selama enam hari iaitu dari 10 Januari 2020 sehingga 15 Januari 2020 dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata. Kajian lapangan ini melibatkan 297 responden atau 1.00% daripada jumlah seluruh pengundi berdaftar Kimanis, iaitu 29,664.

297 responden ini adalah mewakili semua segmentasi kaum, umur dan jantina berdasarkan jumlah seluruh pengundi berdaftar Kimanis iaitu:

1. Kaum : 63.61% Bumiputera Islam (BI), 30.67% Bumiputera Bukan Islam (BBI), 3.59% Cina dan 2.58% Lain-lain.

2. Umur : 41.38% 21-40 Tahun, 41.33% 41-60 Tahun dan 17.28% Lebih 60 Tahun.

3. Jantina : 49.89% Lelaki dan 50.11% Perempuan.

Kaji selidik ini dijalankan di semua 19 Daerah Mengundi (DM) di Kimanis iaitu 10 DM dalam DUN Bongawan membabitkan 162 responden dan 9 DM dalam DUN Membakut membabitkan 135 responden.


10 DM dalam DUN Bongawan adalah :

1. Seladan yang 96.00% pengundinya adalah BI (BN menang dengan 9 undi dalam PRU 14)

2. Kimanis Estate yang 89.67% pengundinya adalah BI (BN menang dengan 9 undi dalam PRU 14)

3. Bongawan yang 81.95% pengundinya adalah BI (WARISAN menang dengan 28 undi dalam PRU 14)

4. Gadong yang 58.58% pengundinya adalah BI (WARISAN menang dengan 83 undi dalam PRU 14)

5. Kimanis Mandahan yang 57.97% pengundinya adalah BI (BN menang dengan 195 undi dalam PRU 14)

6. Bongawan Estate yang 48.99% pengundinya adalah BI (BN menang dengan 53 undi dalam PRU 14)

7. Batu Enam yang 54.09% BBI pengundinya adalah BBI (WARISAN menang dengan 155 undi dalam PRU 14)

8. Kabang yang 57.12% pengundinya adalah BBI (BN menang dengan 42 undi dalam PRU 14)

9. Simpangan yang 72.96% pengundinya adalah BBI (WARISAN menang dengan 327 undi dalam PRU 14)

10. Kuala Pus yang 82.15% pengundinya adalah BBI (BN menang dengan 43 undi dalam PRU 14)

9 DM dalam DUN Membakut pula adalah :

1. Binsulok yang 98.38% pengundinya adalah BI (BN menang dengan 338 undi dalam PRU 14)

2. Brunei yang 97.56% pengundinya adalah BI (BN menang dengan 50 undi dalam PRU 14)

3. Pimping yang 91.04% pengundinya adalah BI (WARISAN menang dengan 14 undi dalam PRU 14)

4. Dindong yang 86.45% pengundinya adalah BI (BN menang dengan 62 undi dalam PRU 14)

5. Membakut yang 50.00% pengundinya adalah BI (WARISAN menang dengan 43 undi dalam PRU 14)

6. Mawao yang 48.45% pengundinya adalah BI (BN menang dengan 21 undi dalam PRU 14)

7. Lumat yang 49.64% pengundinya adalah BBI (BN menang dengan 55 undi dalam PRU 14)

8. Bandau yang 73.47% pengundinya adalah BBI (WARISAN menang dengan 168 undi dalam PRU 14)

9. Sinuka yang 83.92% pengundinya adalah BBI (WARISAN menang dengan 10 undi dalam PRU 14)

Data dikumpul oleh penyelidik menggunakan kertas kaji selidik dengan responden dan temubual separa berstruktur dengan tokoh-tokoh tempatan melibatkan tujuh enumerator tempatan yang memahami bahasa dan budaya tempatan Sabah, termasuk dari kaum Kadazan Dusun Murut (KDM). Data dianalisa mengikut setiap DM sebelum digabung mengikut setiap DUN dan akhirnya digabung menjadi Parlimen.


WARISAN MASIH SEDIKIT DI HADAPAN

Kaji selidik ini mendapati calon WARISAN masih sedikit di hadapan berbanding calon BN dalam PRK Kimanis berdasarkan penemuan-penemuan berikut :

1. 44.78% responden menyatakan WARISAN berjaya melaksanakan manifestonya di Sabah.

2. 44.11% responden menyatakan kehidupan mereka bertambah baik selepas WARISAN memerintah Sabah dan Pakatan Harapan memerintah Malaysia.

3. 39.06% responden menyatakan WARISAN adalah parti yang paling mampu memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah, termasuk dalam isu MA 63.

4. 39.06% responden menyatakan calon WARISAN adalah calon yang paling mereka senangi.

5. 39.05% responden menyatakan Pakatan Harapan berjaya melaksanakan manifestonya di Malaysia.

6. 39.05% responden menyatakan rakyat Sabah dilayan secara adil oleh kerajaan.

7. 37.71% responden menyatakan Pakatan Harapan adalah pakatan yang paling mampu memperjuangkan kepentingan rakyat Malaysia.

Begitupun, kelebihan ini tidak signifikan dan boleh berubah bila-bila masa sahaja bergantung kepada perkembangan di saat akhir menjelang hari pengundian.


CALON BN BERPELUANG MEMBUAT KEJUTAN

Kaji selidik ini bagaimanapun mendapati calon BN masih berpeluang membuat kejutan dalam PRK Kimanis kerana ramai pengundi yang masih belum membuat keputusan untuk memilih calon mana berdasarkan kepada tujuh penemuan berikut :

1. 36.03% responden menyatakan mereka tidak pasti sama ada calon WARISAN adalah calon yang paling mereka senangi atau tidak.

2. 29.63% responden menyatakan mereka tidak pasti sama ada Pakatan Harapan adalah pakatan yang paling mampu memperjuangkan kepentingan rakyat Malaysia atau tidak.

3. 28.96% responden menyatakan mereka tidak pasti sama ada kehidupan mereka bertambah baik selepas WARISAN memerintah Sabah dan Pakatan Harapan memerintah Malaysia atau tidak.

4. 28.62% responden menyatakan mereka tidak pasti sama ada WARISAN adalah parti yang paling mampu memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah, termasuk dalam isu MA 63, atau tidak.

5. 17.51% responden menyatakan mereka tidak pasti sama ada Pakatan Harapan berjaya melaksanakan manifestonya di Malaysia atau tidak.

6. 16.84% responden menyatakan mereka tidak pasti sama ada WARISAN berjaya melaksanakan manifestonya di Sabah atau tidak.

7. 16.50% responden menyatakan mereka tidak pasti sama ada rakyat Sabah dilayan secara adil oleh kerajaan atau tidak.

Kewujudan ramai pengundi yang masih belum membuat keputusan untuk memilih calon mana ini terlihat bila sebilangan responden memasang kedua-dua bendera WARISAN dan BN di sekitar rumah mereka kerana diminta berbuat demikian oleh kedua-dua pihak.

Kewujudan ramai pengundi yang masih belum membuat keputusan untuk memilih calon mana ini juga sekali gus akan membuka ruang kepada calon yang berupaya membuat lonjakan akhir dalam mempengaruhi mereka untuk memenangi PRK Kimanis.


CALON WARISAN JUGA BERDEPAN DENGAN MASALAH

Pada masa yang sama, terdapat tujuh petunjuk yang membayangkan bahawa calon WARISAN juga berdepan dengan masalah dalam PRK Kimanis ini iaitu :

1. 77.10% responden menyatakan pemberian wang, sumbangan dan janji pembangunan tidak akan mempengaruhi undi mereka. Berdasarkan maklum balas responden, WARISAN terkedepan dalam memberi wang, sumbangan dan janji pembangunan kepada pengundi, tetapi penemuan ini menunjukkan strategi begini tidak lagi berkesan untuk memenangi hati pengundi.

2. 64.31% responden menyatakan mereka tidak setuju dengan perlaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS). Responden yang tidak setuju ini mempunyai sentimen yang amat kuat terhadap perlaksanaan PSS di mana penjelasan kerajaan negeri masih gagal untuk meredakan penentangan mereka ke atasnya.

3. 60.27% responden menyatakan mereka paling terpengaruh dengan isu ekonomi. Majoriti responden setuju bahawa kedudukan ekonomi negara Malaysia dan ekonomi negeri Sabah tidak berada pada tahap yang baik.

4. 57.58% responden menyatakan bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman (49.16%), dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (8.42%), adalah tokoh yang paling berjasa kepada penduduk Kimanis meninggalkan Ketua Menteri Sabah sekarang, Datuk Seri Shafei Apdal (19.53%), jauh di belakang.

5. 45.12% responden menyatakan mereka paling bimbang dengan isu negeri. Penemuan ini menunjukkan responden sangat memandang berat terhadap isu-isu yang berlaku dalam negeri Sabah berbanding isu negara dan tempatan.

6. 32.32% responden menyatakan sikap politik mereka paling dipengaruhi oleh media sosial. Dapatan ini boleh menggugat calon WARISAN kerana mutakhir ini pihak yang lebih mendominasi media sosial ialah pembangkang.

7. 28.62% responden menyatakan WARISAN tamak. Tiga alasan utama yang diberikan oleh responden adalah dari segi tindakan WARISAN membolot kerusi pilihan raya, tidak memberikan jawatan kerajaan kepada pemimpin parti-parti komponen tertentu, khususnya AMANAH dan BERSATU, serta keutamaan berlebihan yang diberikan oleh WARISAN kepada kaum tertentu. Penemuan ini memungkinkan sesetengah ahli dan penyokong parti-parti komponen PH untuk tidak mengundi calon WARISAN dalam PRK Kimanis.

Paling penting daripada penemuan-penemuan ini adalah ia menafikan bahawa ciri tradisi politik Sabah yang berpaksikan personaliti dan “big men” masih lagi memainkan peranan besar dalam mempengaruhi kempen dan psikologi politik Sabah di mana kini ia didakwa berkisar di sebalik kepimpinan dan ketokohan Datuk Seri Shafie Apdal.

Rata-rata responden yang ditemui menyatakan dalam konteks Kimanis, tokoh yang paling berjasa ialah gabungan antara Datuk Seri Anifah Aman dan Tan Sri Musa Aman. Perlu diingat bahawa walaupun telah keluar daripada UMNO, Datuk Seri Anifah Aman kuat berkempen untuk calon BN dalam PRK Kimanis. ADUN Membakut yang keluar dari UMNO untuk menyertai BERSATU, iaitu Datuk Mohd Ariffin Arif, pula adalah menantu kepada Tan Sri Musa Aman.

Jika pengundi Kimanis mengingati jasa-jasa mereka, di samping persaudaraan antara Datuk Mohd Ariffin Arif dan Tan Sri Musa Aman, jika tidak ditangani, boleh memberikan masalah kepada calon WARISAN.


UMNO SABAH MASIH KUKUH

Sebuah badan penyelidikan dengan yakinnya menyebut :

1. BN lumpuh sepenuhnya di Sabah sebulan selepas PRU 14 apabila semua komponennya keluar gagasan itu, tinggal Umno bersendirian.

2. UMNO Sabah kemudiannya jatuh nazak selepas PRU 14 apabila hampir semua wakil rakyat mereka keluar parti selepas kalah dalam pilihan raya tersebut.

3. Saya tidak temui petunjuk UMNO dan BN Sabah telah pulih untuk menghadapi PRK Kimanis ini.


Memang benar hampir semua komponen BN keluar gagasan itu dan hampir semua wakil rakyat UMNO keluar parti selepas kalah dalam PRU 14. Begitupun, dapatan kaji selidik ini menunjukkan bahawa UMNO Sabah sebenarnya belum jatuh nazak dan BN Sabah belum lumpuh sepenuhnya, malah masih kukuh.

Hakikat bahawa UMNO Sabah masih kukuh terbukti berdasarkan empat penemuan berikut iaitu :

1. 35.69% responden masih menyatakan UMNO adalah parti yang paling mereka senangi berbanding 36.70% responden yang memilih WARISAN. Perbezaan hanya 1.01% antara pengaruh UMNO dan WARISAN ini membuktikan bahawa akar umbi UMNO tidaklah terjejas teruk dengan tindakan pemimpinnya keluar parti.

2. Hanya 26.94% responden menyatakan mereka akan mengikuti pemimpin mereka bila pemimpin mereka menukar parti. Penemuan ini juga menunjukkan bahawa masih ramai di kalangan akar umbi UMNO dan BN yang setia dengan UMNO walaupun pemimpin mereka keluar dari UMNO/BN.

3. Hanya 12.46% responden menyatakan mereka akan mengundi parti yang lain berbanding parti yang mereka undi dalam PRU 14. Penemuan ini juga menunjukkan bahawa masih ramai di kalangan penyokong UMNO dan BN yang kekal mengundi calon mereka walaupun pemimpin mereka keluar dari UMNO/BN.

4. 64.65% responden menyatakan mereka tidak akan terpengaruh dengan kes mahkamah dan pendedahan mengenai Presiden dan bekas Presiden UMNO serta Pengerusi dan bekas Pengerusi UMNO Sabah.

Walaupun parti-parti komponen BN di Sabah meninggalkan BN selepas PRU 14, UMNO tidak dilihat bersendirian bila calon BN masih disokong oleh sesetengah bekas parti komponen BN dan oleh parti-parti pembangkang lain dalam PRK Kimanis.

Ini terbukti melalui kehadiran Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, Presiden MCA, Dato' Takiyuddin bin Haji Hassan, Setiausaha Agung PAS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, mantan Presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili, Presiden PBS, Datuk Dr Jeffery Kitingan, Presiden STAR, dan Arthur Joseph Kurup, Timbalan Presiden PBRS, berceramah bersama-sama pemimpin-pemimpin UMNO dalam “Himpunan Penyatuan Muafakat Rakyat Sabah” di Kimanis Commercial Centre pada 15 Januari 2020.

Begitu juga dengan kehadiran Nicole Wong, Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, R. Thinalan, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Ir Khairil Nizam Khiruddin, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Edwin Laimin, Ketua Pemuda Pusat PBRS, Christopher Mandut, Ketua Pemuda Pusat PBS, Terrence Sinti, Ketua Pemuda Pusat STAR, dan TJ Jamain, Ketua Pemuda Pusat SAPP, berceramah bersama-sama pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO dalam “Pentas Anak Muda Kimanis” di DM Seladan pada 14 Januari 2020.

Kehadiran PAS pula didapati turut membantu, khususnya di DM-DM majoriti BI, dengan isu-isu yang dibawa oleh pemimpin-pemimpinnya didapati tidak mencetuskan kegusaran di kalangan pengundi BBI.


KESIMPULAN

Walaupun kaji selidik ini mendapati calon WARISAN masih sedikit di hadapan berbanding calon BN dalam PRK Kimanis, calon BN masih berpeluang membuat kejutan dalam PRK Kimanis kerana ramai pengundi yang masih belum membuat keputusan untuk memilih calon mana dan, pada masa yang sama, calon WARISAN turut berdepan dengan masalah.

Lebih dari itu, UMNO Sabah juga belum jatuh nazak dan BN Sabah belum lumpuh sepenuhnya seperti yang didakwa oleh sebuah badan penyelidikan, malah masih kukuh.


DR. HJ. WAN MAT BIN SULAIMAN ialah Ketua Pegawai Eksekutif

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo