NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Kimanis: Bakal Beri Mesej Kepada Kerajaan PH


KIMANIS – Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis bakal memberi mesej kepada kerajaan Pakatan Harapan supaya tidak memperjudikan nasib rakyat khususnya penduduk Sabah.

Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, berkata PRK Kimanis bukan hanya penting untuk beliau, tetapi juga rakyat negeri ini khususnya di Kimanis.

“PRK Kimanis cukup penting untuk saya, bukan kerana saya adalah wakil rakyat sebelum ini, tetapi amat penting untuk membawa suara rakyat.

“Walaupun saya berpengalaman menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan sebelum ini, saya menyandang pelbagai jawatan seperti ketua pemuda UMNO bahagian dan juga naib ketua UMNO bahagian. Jadi, saya biasa dengan Parlimen ini.

“Saya juga sudah biasa bertemu dengan rakyat dan pemimpin lain kawasan ini, malah rakyat sudah maklum akan prestasi BN di sini,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengumuman calon BN di sini, hari ini.

Mohamad turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin atas kepercayaan mereka memilih beliau sebagai calon BN.

“Saya juga berterima kasih kepada mentor saya, Datuk Seri Anifah Aman, atas tunjuk ajar dan sokongan beliau. Saya sudah lama bekerja bersama beliau. Kami saling memahami antara satu sama lain.

“Datuk (Anifah) sudah membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam PRK Kimanis ini dan turut memutuskan untuk menyokong dan membantu BN dalam kempen nanti,” katanya.

Mohamad menyatakan persediaan yang dibuat jentera BN membuatkan beliau positif pihaknya bakal menang dalam PRK Kimanis ini.

“Walaupun BN kini adalah parti pembangkang, tetapi dengan keyakinan yang ada dan persediaan jentera parti ini, kami optimis untuk memenangi PRK ini,” katanya. – BH Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo