NOTIS:
Maszlee Malik, apa dan di mana perlu sedih
oleh: Mohd Nasir Abdullah
4 Januari 202
Pasaran saham dilaporkan agak jatuh pada Khamis lalu, dipercayai akibat daripada pengumuman perletakan jawatan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik. Pemulangan jawatan itu, (menggunakan bait ayat yang beliau gunakan) adalah atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir. Tidak diketahui dengan jelas, apakah sebab utama Tun menasihati beliau. Berbagai spekulasi, mula bertebaran.
Respon daripada orang ramai juga bercampur baur. Ada yang segera membuat pungutan suara online, mendesak kerajaan mengekalkan Maszlee. Ada yang dengan pantas, menempelkan di ‘wall’ masing-masing, penggantinya iaitu Timbalan Menteri Pendidikan dari DAP, sebagai serangan psiko kepada PH. Nama Datuk Mustapa Mohamed tidak dilupakan sebagai antara yang bakal dinaikkan sebagai menteri.
Ada yang berteori yang mengangkat Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, kemudian Dato’ Amiruddin Hamzah turun ke Kedah bagi mengambil tempat sebagai MB. Dan ada juga yang mengumumkan nama Datuk seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Pendidikan yang baharu, apatah lagi suatu ketika dahulu Tun mengatakan tiada kekosongan dalam kabinet. Dengan pengalamannya, maka inilah masanya yang sesuai.
Manakala Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pula berkata, itu masalah dalam PH, biar mereka yang menentukannya. Apa yang penting, pengganti yang baharu, mestilah berkelayakan untuk melaksanakan dasar pendidikan negara. Bila ditanya berkenaan adakah ini tandanya DAP cuba menguasai PH, beliau menjawab, semua boleh membaca maklumat yang ada.
Maszlee adalah pembesar IKRAM dan orang baharu dalam politik. Beberapa ketika sebelum PRU, beliau, seperti yang didakwa Dr Asri Zainal Abidin, rakan baiknya, telah melakukan solat istikharah untuk terjun dalam bidang politik. Dr Asri, merelakannya dengan iringan doa kejayaan. Maka turunlah Maszlee ke medan politik berbekalkan keazaman, mahu menumbangkan BN yang sangat korup dan jahat. PAS juga dianggap musuh kerana tidak mahu Bersama PH.
Pada kempen PRU PH yang amat agresif itu, Maszlee juga salah seorang individu yang berjanji dengan janji bulan dan bintang. Bernasib baik, mendaki gunung politik dan terus mencapai puncak Putrajaya dengan pasukannya, PH. Kemudiannya dilantik pula menjadi menteri. Bak kata orang tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia, siapa yang tahu. Maka gembiralah penyokongnya yang ‘Islamik’ kerana ibarat mendapat permata yang bakal menyinar dunia pendidikan negara.
Jauh sebelum PRU ini, beliau sudah banyak kali memperlekehkan Presiden PAS. Bagi yang membaca banyak kenyataan beliau, PAS antara ‘punching bag’ beliau. Terkadang serangan keras, tidak kurang juga memujuk dalam berceramah. Antara ayat-ayat 'menganjing' beliau kepada Presiden PAS ialah panggilan seperti ‘Sifu’. Pada suatu ketika beliau menceritakan kisah yang dianggapnya lucu apabila ada orang yang mendakwa beliau adalah murid kepada Presiden PAS.
Presiden PAS dilihat beliau sebagai ikon yang gagal. Sesuai dengan kedudukan beliau sebagai salah seorang Ahli Syura IKRAM, maka beliau perlu menyerang orang yang setaraf beliau. Pada peringkat ini, saya melihat suatu yang agak menarik dalam membezakan watak Presiden Pas dan ulamak-ulamak lain yang memusuhi dan menyerang beliau.
Dalam sirah, kita sentiasa dapati bahawa para anbia’ akan berhujah dengan musuh mereka dari kalangan yang bukan seagama dengan mereka. Dari kalangan penyembah berhala kebanyakannya, iaitu kafir ataupun orang jahil. Manakala tiada pula kita mendengar mereka berkelahi sesama sendiri. Musa tidak berbalah dan berhujah dengan Harun atas ilmu masing-masing. Mereka segera berdamai jika ada pertelingkahan. Mereka bersama menentang Firaun.
Nabi Ibrahim tidak menjadikan Luth, Ismail atau Ishak sebagai musuh dizamannya, tetapi Namrud. Begitu juga Yaakub, bersama dengan Yusof bagi menegakkan agama Allah, bukan bersama anak-anaknya yang jahil. Presiden Pas juga lebih suka menyerang atau bertembung dengan golongan pemerintah yang jahil atau kumpulan kafir yang menentang Islam di Malaysia. Beliau tidak menyerang golongan berilmu bagi melayan pertelingkahan pendapat sesama sendiri yang merugikan masa dan tenaga.
Tetapi berbeza dengan golongan pembenci beliau yang berilmu tinggi. Apa sahaja yang Presiden Pas lakukan, jika betul mereka akan cuba membetulkan lagi, konon tidak sempurna, mahu menunjuk pandai. Dan jika salah, maka berpestalah mereka menyerang beliau. Keterbalikan akhlak ini, menambahkan lagi keyakinan ahli PAS kepada akhlak Presiden PAS. Termasuk juga isu syiah dan lain-lain. Yang diutamakan Presiden PAS ialah musuh yang nyata iatu Yahudi dan Nasrani. Jelas, mereka disebut dalam al-Quran.
Dan sekarang, Maszlee telah jelas gagal dalam mempertahankan harapan tinggi rakyat atas jawatan yang disandangnya. Tetapi Presiden PAS, langsung tidak menyerang beliau. Apa gunanya menyerang, kerana Presiden PAS bukan begitu perangainya. Malah yakinlah, jika diminta bantuan untuk melawan DAP, insyaAllah beliau hulurkan. Minimakan musuh. Tetapi cuba bayangkan jika Presiden PAS kalah atau salah, maka, tiadalah ruang yang cukup bagi mahkluk-mahkluk hina lain mencaci beliau.
Rupanya gelora politik ini, tidak untuk individu yang pandai sahaja walau memiliki PhD sekalipun. Kekuatan bagi menahan gelora itu, memerlukan pasukan yang kuat, keazaman tinggi, jati diri hebat dan pengalaman yang luas. Ada presiden parti pernah kita lihat jatuh dan rebah. Ada yang tegap berdiri. Ada juga terumbang ambing bertahan. Jika kita hanya tahu mengkritik, dan tiada kekuatan diri, maka inilah jadinya. Kailnya hanya panjang sejengkal. Dan Presiden PAS tetap berdiri tegap di depan kapal, meskipun ribut politik membadai.
Sekarang penyokong muslim PH mulai bersuara. Mereka mahukan Maszlee kekal. Mereka bersedih. Malangnya kesedihan mereka terlewat hadir. Ketika mereka menyokong PH dahulu, mereka telah diberi amaran oleh PAS bahawa PH dikuasai oleh DAP. Mereka menjuihkan bibir, menjelirkan lidah, mempersendakan amaran PAS. Mereka kononnya selesa dengan kafir yang kononnya amanah itu. Tiada mereka terasa tanda-tanda yang negara ini terancam oleh kemenangan kafir-kafir itu.
Ketika mereka memangkah PH, mereka telah melakukannya dengan slogan ‘Kafir yang amanah lebih baik dari muslim yang korup’. Maka, apa maknanya kesedihan mereka ketika ini? Sedangkan mereka telah menanti sekian lama detik untuk si kafir itu datang menyelamatkan negara dari tangan muslim yang korup. Seharusnya mereka bersuka ria menyambutnya. Mereka patut melihat Maszlee bukan korup, tetapi lemah dan gagal menunaikan janjinya sebagaimana BN. Maka sewajibnya beliau diganti kerana mahukan Malaysia maju. Bukankah begitu?
Jika kita hanya melihat agenda menukar kasut hitam oleh Maszlee, maka kita amat jauh dalam memahami erti kejayaan. Yang kita mahukan ialah peribadi pelajar-pelajar kita agar menjadi manusia yang berguna kepada agama dan negara. Jelas ianya gagal dibawakan oleh BN dahulu, kemudiannya langsung tidak sempat dilaksanakan oleh Maszlee, walaupun tidak dinafikan banyak juga kejayaan beliau yang lain, kerana kekangan DAP yang kita sedia maklum. Tidakkah kita mengimpikan anak-anak yang cemerlang agamanya?
Dalam hal ini, PAS sekali lagi mendahului semua parti dengan mengadakan sekolah mereka sendiri yang menjadikan agama Islam sebagai dasar pendidikannya. PAS mempunyai semua peringkat pendidikan bermula dari PASTI, hinggalah ke Kolej Universiti. Anda tidak perlu melihat ke dalam PAS, tetapi lihat di luar sana, di kalangan masyarakat. Bertanyalah kepada ustaz-ustaz yang mengajar di masjid dan surau, di sekolah kerajaan sebagai guru KAFA, di sekolah SAR, di pejabat agama sebagai pegawai dan banyak lagi.
Percayakah anda, kebanyakan mereka adalah ramai daripada sekolah keluaran PAS ini. Ya sekolah yang dahulunya dikatakan tidak menjamin masa depan, tidak ada harapan, tidak akan kemana kerana tiada SPM itu, telah melahirkan puluhan ribu pelajar yang sedang membantu masyarakat. Rupanya SPM yang dibanggakan itu hanyalah minimanya perlu untuk lulus bagi diterima berkerja dengan kerajaan sahaja.
Inilah tanda jelas kejayaan PAS. PAS juga ingin semua lapisan masyarakat Malaysia menikmati hasil dari sistem pendidikan Islam ini. Mereka mendidik masyarakat dari berbagai lapisan. Miskin, kaya, cerdik, pandai, bodoh, anak ahli Umno, PH dan ada juga bukan Islam yang mempercayai keberkesanan sistem pendidikan yang PAS terapkan untuk menjadi manusia berguna. Bukan cikgu di sekolah kerajaan gagal, malah mereka lebih baik. Tetapi sistem yang membataskan kehendak mereka mendidik mengikut Islam.
PAS tidak bersedih dengan perletakan jawatan Maszlee sebagai menteri kerana orang PAS tidak mengundi beliau. Tetapi PAS tumpang bersedih kerana kegagalan beliau menunaikan janji-janjinya berkemungkinan akan menjadikannya berdosa dan mencemar peribadinya sebagai agamawan dan jelas dibiarkan keseorangan melawan bukan Islam dalam PH. Atas kesilapan rakyat mengundi PH kerana percaya janji manis PH, sistem pendidikan di Malaysia mungkin akan bertukar tangan kepada ‘kafir yang kononnya amanah’.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment