NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kelantan Perkasakan Teknologi Hijau, Panel Solar Sedia Dipasang


oleh Norzana Razaly

KERAJAAN Negeri Kelantan baharu sahaja melancarkan Pelan Induk Pembangunan Mampan 2019-2023 ke arah menjayakan Strategi Lautan Hijau pada 2 Januari 2020 yang turut memfokus serius terhadap perkembangan teknologi hijau selaku pemangkin kelestarian pembangunan negeri pada masa hadapan selaras dengan penetapan ‘Matlamat Pembangunan Lestari 2030’ oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, YB Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail mengulas mengenai pelan pembangunan tersebut dari aspek portfolio beliau dengan menggalakkan pelbagai pihak terlibat aktif di dalam industri yang berpotensi besar dan berkembang pesat sekarang.

Sehubungan itu, Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) syarikat milikan penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Kumpulan KUM merangkumi Air Kelantan Sdn Bhd, Majaari Services Sdn Bhd, Pengurusan Sisa Pepejal Mubaarakan Holdings Sdn Bhd, Sihhat Afiat Sdn Bhd dan Kel Intaaj Sdn Bhd., dilantik sebagai Rakan Strategik Kerajaan Negeri Kelantan untuk membangunkan industri teknologi hijau di negeri ini.

Salah satu program yang sedang dijalankan oleh KUM dengan sokongan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) ialah pemasangan sistem solar di atas bumbung bangunan bersama rakan kerjasamanya Cypark Resources Berhad (Cypark) selaku pemaju Projek Tenaga Diperbaharui terbesar di Malaysia yang berpengalaman Membiayai, Membangun dan Mengoperasi Projek Tenaga Boleh Diperbaharui berkapasiti 230 MWdc.

Taklimat ringkas berkenaan agenda yang selari dengan Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan ini berlangsung pada 13 Januari 2020 bertempat di Dewan Teratai, Kota Darulnaim yang mendapat sambutan hangat daripada pihak berpotensi sebagai pelanggan perintis.

Melihat kepada respons hadirin melalui sesi soal jawab, Pengurus Besar Kanan Cypark, Achmat Nadhrain Ibrahim optimis mensasarkan pelaksanaan program Net Energy Metering (NEM) Easy Solar sebanyak 30MW di seluruh negeri Kelantan pada tahun 2020.

Menurut Pengurus Kanan KUM, Haji Mahadi Mokhtar pihak KUM sudah mengenalpasti pelanggan yang bersetuju untuk pemasangan sistem solar di atas bumbung bangunan mereka.
“Kos pemasangan ditanggung sepenuhnya oleh Cypark. Program ini menawarkan penjimatan bil elektrik kepada pemilik bangunan sebanyak 20 peratus berdasarkan kriteria tertentu seperti bil elektrik minimum berjumlah RM1,000 sebulan” katanya.

Penyewa bangunan (pelanggan) yang berminat untuk memohon menyertai program ini boleh segera menghubungi pihak KUM di Tingkat 5, Bangunan Perbadanan Menteri Besar Kelantan, 15050 Kota Bharu, Kelantan atau e-melkan kepada mubaarakan@kelantanutilities.com.my bersama bil akaun langganan elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekurang-kurangnya selama 12 bulan.- UPKN KELANTAN 14/1/2020

Sumber: http://upknkelantan.com/kelantan-perkasakan-teknologi-hijau-panel-solar-sedia-dipasang/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo