BANGI, 19 Jamadilawal 1441H, Rabu – Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 layak diharamkan kerana tiada satu pun kenyataan ahlinya yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, melainkan obses dan sentrik pada kelompok yang mereka wakili sahaja.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, kehadiran kumpulan pelampau atas nama liberal dan perkauman itu menyebabkan isu sosial, pendidikan serta agama di negara ini semakin meruncing.
Beliau berkata, G25 disifatkan melampau kerana tuntutan yang bukan menambah baik keharmonian sesama rakyat, sebaliknya menyuntik satu demi satu sikap antinasional dan antiberagama.
"G25 bukan kumpulan liberal yang tulen. Mereka adalah sekularisme Melayu yang hanya merencana wacana dan membawa naratif buruk terhadap agama Islam sahaja.
"Jika benar mereka liberal pastilah wacana kritikan beragama juga dilakukan kepada pihak agama lain. Soalnya mengapa hanya serangan pada Islam? Apa manfaat dan minat G25 sebenarnya?," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, G25 membidas undang-undang yang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama yang dilakukan.
Perkara itu merupakan laporan dalam kertas yang dibentangkan oleh pengerusi jawatankuasa, Asiah Abu Samah yang juga wakil G25 bertajuk "Administration of Matters Pertaining to Islam".
Jelas G25 dalam laporan itu, tindakan undang-undang terhadap individu tidak bersolat Jumaat misalnya, adalah tidak wajar dan mengatakan perkara dilakukan seorang Islam terhadap agamanya adalah antara individu itu dengan tuhan.
Laporan itu juga mengatakan, undang-undang berkenaan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.
"Perkara 11(1) memberi jaminan kepada semua orang di Malaysia, bukan hanya warganegara atau bukan Islam, tiga hak yang berbeza iaitu hak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agamanya.
"Tidak ada asas yang dibenarkan Perlembagaan untuk melarang penganutan agama seseorang," katanya.
Selain itu, G25 berpendapat, tiada orang boleh dipaksa mempercayai tuhan dan tiada mana-mana orang boleh dipaksa kekal dalam Islam.
Bagaimanapun, kumpulan itu berkata meninggalkan Islam adalah sesuatu yang dikesali.
"Bagaimanapun sekiranya dia tetap mahu meninggalkan Islam, maka itu antaranya dengan tuhan. Tidak ada hukuman duniawi yang diperuntukkan dalam al-Quran," katanya.
Serentak itu, Ahmad Tarmizi menggesa kerajaan supaya mengekang dan tidak membiarkan kumpulan pelampau berkenaan bergerak di negara ini.
"Malaysia tidak memerlukan orang-orang yang jahil tentang agama, sejarah negara bangsa, ketamadunan sejagat tetapi berlagak angkuh sombong seperti G25 ini, untuk terus meracuni anak bangsa yang bijak menilai antara cahaya dan gelap gelita dalam urusan hidup," katanya.
No comments
Post a Comment