NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dakwaan Karut Istana Melaka Tempat Berpesta Arak


oleh: Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Terdapat satu dakwaan bahawa pembesar Melaka menjadikan istana Melaka sebagai tempat berpesta arak. Saya difahamkan bahawa penulis ini adalah seorang ahli politik yang berkelulusan Phd dan ini sangat mengecewakan.

Pertama, penulis mengutip fakta tentang Melaka dengan merujuk Hikayat Hang Tuah (HHT). Untuk makluman, HHT bukanlah sumber sejarah bagi Kesultanan Melayu Melaka.

HHT hanyalah satu sumber sastera. Mana-mana pihak yang menjadikan HHT sebagai sumber rujukan sejarah utama, maka ia sama sekali tertolak dari sudut ilmu pensejarahan. Apatah lagi penulis HHT tidak diketahui identitinya.

Kedua, jika kisah itu betul sekali pun, penulis telah merujuk pada tempat yang salah. Kisah itu berlaku di istana Majapahit dan Raja Majapahit memberikan arak kepada Hang Tuah untuk memerangkap Hang Tuah.

Kisah ini jelas sekali tidak boleh membuktikan pembesar Melaka seperti Hang Tuah seorang penagih arak apatah lagi mendakwa Istana Melaka dijadikan tempat berpesta arak.

Saya jawab dakwaan ini dengan sumber sejarah yang lebih kuat :-

1) Jelas sekali tercatat dalam Hukum Kanun Melaka (HKM) bahawa meminum arak adalah satu jenayah dalam Kesultanan Melayu Melaka. Menurut fasal 47 HKM, orang yang meminum arak akan dihukum dengan 20 sebatan.

Mana mungkin kerajaan yang cekap tadbir urusnya sehinggakan mampu menjadikan pelabuhannya sebagai salah satu pelabuhan utama dunia tidak mendaulatkan undang-undang yang telah dikanunkan.

2) Seorang penulis Portugis yang hidup sezaman dengan Kesultanan Melayu Melaka iaitu Duarte Barbosa telah menulis tentang ketaatan orang-orang Melaka pada ajaran agama Islam. Barbosa menulis dalam The Book of Duarte Barbosa seperti berikut:-

“Orang-orang Melayu (Melaka) ini berpegang pada Al Qur'an daripada ajaran Muhammad dengan begitu taat sekali. Mereka mempunyai masjid-masjid mereka, orang-orang yang mati dari kalangan mereka dikuburkan dan anak-anak mereka adalah pewaris mereka.”

3) Kesultanan Melaka adalah pusat penyebaran agama Islam (dakwah) di zaman kegemilangannya. Kesultanan Melaka juga menjadi pusat pengajian Islam dan menjadi pencawang utama bagi kerajaan Samudera Pasai dalam kedua-dua urusan tersebut.

Logikkah sebuah kerajaan yang menjadi pusat dakwah tetapi di istananya menganjurkan pesta arak? Apakah kesultanan Melaka pada ketika itu tidak malu dengan kerajaan Samudera Pasai?

4) Sebagai pusat dakwah dan keilmuan Islam di Nusantara, Melaka menjadi tumpuan para ulama Islam. Hal ini telah pun dicatatkan oleh penulis-penulis Portugis. Para ulama juga sering keluar masuk ke istana Melaka.

Kehadiran ulama besar juga disambut dengan penuh kemuliaan sehinggakan Maulana Abu Bakar yang datang dari Jeddah diarak dengan penuh gemilang bersama dengan kitabnya ke balairong seri Istana Melaka sebagaimana yang dicatatakan dalam Sulalatus Salatin (SS).

Logikkah kerajaan yang menjadi tumpuan kehadiran para ulama turut menganjurkan pesta arak di istananya?

5) Sultan-sultan Melaka adalah orang yang cintakan ilmu Islam sehinggakan istana Melaka menjadi tempat pengajian ilmu-ilmu Islam. Hal ini jelas dicatatkan oleh Tun Seri Lanang dalam SS. Tome Pires juga ada mencatatkan bahawa Sultan Alauddin Riayat Syah telah mengajarkan ilmu-ilmu agama kepada raja-raja naungannya dan kaum kerabatnya.

6) Sultan-sultan Melaka sering didampingi para ulama. Adakah logik mereka akan membenarkan pesta arak dianjurkan di istana? Di samping itu, sifat-sifat Sultan Melaka yang takutkan Allah seperti Sultan Mansur dan Sultan Alauddin boleh dilihat dari wasiat-wasiat mereka kepada putera mereka seperti yang tercatat dalam SS.

Kesimpulannya, jika hendak menulis tentang sejarah Kesultanan Melaka, rujuklah sumber sejarah yang lebih kuat. Jika tidak, janganlah membuat dakwaan yang boleh membawa kepada fitnah sejarah.

Nampaknya saya kena tulis buku menjawab fitnah-fitnah terhadap Kesultanan Melaka.

Beberapa bulan yang lalu, ada seorang ahli akademik yang menulis bahawa rasuah adalah budaya Melayu dengan merujuk beberapa kisah sejarah dari Kesultanan Melaka. Dakwaan ini juga karut sama sekali dan amat kelakar. Insya Allah jika lapang, saya akan jawab dakwaan ini.

Sumber: https://www.facebook.com/hasanuddinyusofofficial/photos/a.125298522293571/125298468960243/?type=3&theater

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo