NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Coronavirus: Khalid jangan persenda netizen



BANGI, 3 Jamadilakhir 1441H, Selasa – Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menempelak kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang memperlekehkan pengetahuan netizen mengenai penularan wabak novel coronavirus (2019-nCoV).

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu mengingatkan, Khalid supaya tidak mempersendakan netizen dengan kenyataan-kenyataan sinis.

Beliau berkata, netizen juga adalah rakyat biasa di mana apabila mereka meluahkan kekhuatiran, kerajaan perlu mencari kaedah untuk melegakan mereka.

"Walaupun ada pandangan yang mahu kita terus tutup pintu pelancong dari China, ada yang lebih lembut dari itu, iaitu dengan mengenakan kembali visa pada saat ini.

"Visa adalah instrumen kawalan. Banyak soalan yang boleh ditanya ketika memohon masuk. Termasuk rekod perjalanan dan status kesihatan.

"Beritahu ini bukan soal diskriminasi tapi soal berjaga-jaga. Mana-mana kerajaan sering melakukannya," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Khalid dalam satu kenyataan berkata, kemampuan pegawai Kesihatan Malaysia untuk menangani ancaman wabak mengatasi kedua-dua negara Singapura dan Thailand.

Katanya, Malaysia berada di kedudukan ke-18 di seluruh dunia berbanding Singapura yang berada di kedudukan ke-30.

"Tapi kepakaran walaun dan netizen jauh mengatasi. Mereka di kedudukan 0," katanya sinis.

Membidas perkara itu, Ahmad Shabery berkata, kerajaan sepatutnya perlu memberitahu rakyat mengenai setiap perkara yang mereka lakukan untuk mengendalikan wabak Wuhan itu.

"Apa langkah kawalan di pintu masuk? Apakah skrin suhu hanya menggunakan kamera suhu di imigresen atau pada setiap individu di dalam pesawat yang baru mendarat?

"Ia lebih meyakinkan, tetapi perlukan tenaga kakitangan yang banyak dan mengambil masa," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Shabery juga mengingatkan kerajaan supaya memberi jaminan bantuan kepada rakyat akan sampai segera, sekiranya terdapat kes serangan penyakit di khalayak ramai seperti pengsan.

Beliau berkata, rakyat juga perlu mengetahui apa tindakan yang perlu dilakukan dan siapa yang perlu dipanggil jika berlakunya kes kecemasan sedemikian.

"Mengendalikan kecemasan berbeza dari mengendalikan bencana.

Kecemasan mungkin cukup dengan agensi yang ada. Bencana perlukan kesiapsiagaan dan kerah total termasuk rakyat dan netizen semua. Jangan musuhi mereka (rakyat). Mungkin mereka juga diperlukan," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2020/01/28/coronavirus-khalid-jangan-persenda-netizen/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo