NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

5G dijangka bawa perubahan, manfaat pada gaya hidup masyarakat


KUALA LUMPUR: Teknologi mudah alih generasi kelima (5G) yang sedang menjalani projek demonstrasi di negara bakal merevolusikan pelbagai bidang industri dan mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat dalam mendepani era digital.

Teknologi 5G dijangka dapat menyediakan tahap kelajuan dan kebolehpercayaan internet lebih tinggi yang membolehkan pemindahan data yang lebih pantas berbanding teknologi generasi terdahulu (3G dan 4G), sekali gus membawa perubahan besar dan memberi manfaat kepada gaya hidup masyarakat di negara ini.

Pensyarah kanan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdullah Mohd Zin, berkata teknologi 4G ketika ini boleh mencapai tahap kelajuan internet sehingga 100 megabit sesaat tetapi teknologi 5G dikatakan mampu menyediakan kelajuan pada 10 kali ganda iaitu 1,000 megabit sesaat.

Beliau berkata 5G juga bakal membawa perubahan kepada masyarakat dengan gaya hidup lebih pintar dan efisien, misalnya, sistem pembelajaran dalam talian yang lebih mudah dan komunikasi yang lebih baik untuk memudahkan pekerjaan.

"Kita boleh bayangkan amalan bekerja dari rumah boleh menjadi budaya pada masa hadapan kerana komunikasi antara ketua dan sesama rakan sekerja dapat dilakukan dengan mudah menerusi dalam talian.

"Komunikasi yang lebih berkesan ini juga membolehkan teknologi robot, dron dan peralatan menggunakan teknologi digunakan bagi menggantikan kerja yang selama ini dikendalikan menggunakan tenaga manusia," katanya kepada Bernama.

Abdullah berkata gabungan teknologi 5G dan satelit aras rendah juga dapat menyediakan sambungan tanpa wayar lebih cekap sekali gus membolehkan kemudahan internet dicapai ke lebih banyak kawasan yang pada masa ini belum mendapat akses internet.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Techbiz, Mahyudi Md Yusof berkata teknologi 5G juga akan membantu meningkatkan sistem keselamatan pengguna.

"CCTV (kamera litar tertutup) boleh dipantau menggunakan 5G dan membolehkan transmisi kualiti HD (definisi tinggi) dan megapixel tinggi secara masa nyata. Sistem yang lebih pintar membolehkan pengguna mengenal pasti ancaman dengan mendapat makluman melalui notifikasi e-mel dan aplikasi telefon pintar secara terus dan lebih pantas," katanya.

Mahyudi berkata teknologi generasi kelima itu juga dijangka mengurangkan tenaga buruh di beberapa sektor. contohnya, operator kilang serta memudahkan skop pekerjaan dalam pelbagai sektor.

Dalam pada itu, penggunaan 5G juga dilihat mampu mengembangkan sektor pendidikan negara khususnya dalam memenuhi keperluan pembelajaran abad ke-21 selain melahirkan generasi yang mampu mengharungi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Sehubungan itu, Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan, berharap agar rangkaian teknologi itu turut diperluaskan ke semua institusi pendidikan di seluruh negara.

Katanya, teknologi itu membolehkan guru mempelbagaikan sumber dan bahan bantu mengajar selain pelajar dapat mengakses internet lebih pantas dan mendapatkan sumber rujukan.

"Guru boleh menggunakan paparan visual dari internet, meningkatkan penguasaan kemahiran IT pelajar dan ia secara langsung menarik minat pelajar dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik)," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif portal teknologi maklumat Amanz Network, Ikhwan Nazri Mohd Asran, pula berkata 5G juga akan menyumbang kepada penambah baik sektor penjagaan kesihatan secara digital antaranya menerusi sistem pemantauan jarak jauh dan telekesihatan.

"Sistem telekesihatan ini hanya berkesan apabila internet laju untuk menjamin ketepatan preskripsi sesuatu penyakit, misalnya, warna luka dan bentuk kecederaan sebenar dan sebagainya. Bila internet laju, barulah apa yang dilihat dalam video sama dengan keadaan sebenar.

"Kelajuan rangkaian yang perlahan dan sambungan yang tidak boleh dipercayai menyebabkan doktor tidak dapat mendapatkan data masa nyata yang mereka perlukan untuk membuat keputusan penjagaan kesihatan dengan cepat," katanya.

Ikhwan Nazri, yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam teknologi maklumat, berkata 5G juga berupaya membantu petani mengoptimumkan hasil pertanian sekali gus meningkatkan stok bekalan makanan.

"Teknologi 5G yang akan menyediakan petani dengan data masa nyata tentang segala-galanya dari penggunaan air dan kuasa serta juga pergerakan serta kelakuan ternakan," katanya.

Projek Demonstrasi 5G di Langkawi dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, diLangkawi, Ahad ini,

Pada hari berikutnya, Dr Mahathir dijangka meninjau perkembangan terkini projek 5G, antaranya, 5G Command Centre (5GCC) di bandar Kuah, Hospital Sultanah Maliha dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA).

Pengkomersilan teknologi 5G dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun dan ia bukan sahaja akan mentakrifkan semula ketersambungan di negara ini tetapi akan membawa kesan positif kepada ekonomi dan memartabatkan Malaysia sebagai salah satu perintis 5G di rantau ASEAN.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo