NOTIS:
Usahkan niat, rakaat solat pun tak tahu
JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memohon kerjasama masyarakat supaya lebih peka dan berani bertanyakan latar belakang mana-mana individu yang tampil mewakili sesebuah pusat tahfiz bagi mengutip derma.
Tindakan itu sekali gus membolehkan masyarakat mengesan pihak yang cuba mengambil kesempatan mengumpul derma menggunakan nama agama.
Biarpun menderma itu satu amalan yang terpuji, namun masyarakat disaran tidak mudah menghulurkan wang kepada pihak terbabit kerana ia seumpama menggalak dan menyuburkan aktiviti tidak bertanggungjawab sindiket penipuan mengutip derma itu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ, Halid Sono berkata, masyarakat diharap dapat memaklumkan dengan segera kepada pihak berkuasa agama itu sekiranya didatangi individu mengutip derma menggunakan nama pusat tahfiz yang mencurigakan.
Katanya, biarpun pihaknya sentiasa menjalankan operasi rondaan dan pemantauan, namun pergerakan individu yang menyalahgunakan nama pusat tahfiz bagi mengutip derma itu disertakan dengan modus operandi yang licik.
“Sekiranya masyarakat awam melihat ada orang yang disyaki dengan penampilan yang menampakkan seperti pelajar yang datang mewakili pusat tahfiz dengan mencurigakan, segera menghubungi pihak berkuasa agama.
“Kita adakan rondaan namun, tidak mampu pantau keseluruhannya satu negeri, kerana sindiket ini bergerak dengan modus operandi yang begitu licik.
“Kita harap masyarakat selain berkongsi di media sosial, sila hubungi kami supaya tindakan dapat diambil segera,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Semalam, tular video ‘perangkap’ dimuat naik seorang pengguna media sosial yang bertanyakan beberapa soalan asas berkaitan solat kepada seorang individu yang didakwa menyamar pihak daripada pusat tahfiz untuk membuat kutipan derma.
Dalam video yang dimuat naik, jelas kelihatan lelaki terbabit tidak dapat menjawab soalan diberikan perakam video yang bertanyakan berapa rakaat solat Asar dan Zohor selain gagal membaca niat solat Asar.
Lelaki yang berkopiah di dalam video itu kemudian meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya, selain berterus-terang tidak solat serta menipu dengan ‘menjual’ agama menggunakan nama pusat tahfiz.
“Kalau ada sesiapa kutip derma atas nama tahfiz ke, sekolah agama ke, cer (cuba) tanya rukun Islam, rukun Iman ke, solat ke, baru kita tahu dia tu betul ke tipu. Suruh lafaz syahadah dulu. Haru biru,” catatan pada muat naik berkenaan.
Ditanya mengenai video berkenaan, Halid berkata, pihaknya tidak ada menerima aduan rasmi dibuat pengadu.
“Secara rasminya mengenai video berkenaan, kita tidak ada menerima aduan,” katanya.
Oleh itu, pihaknya berharap mendapat kerjasama masyarakat dalam penyaluran maklumat tertentu.
“JAINJ sering adakan rondaan dan jika terserempak memang kita terus periksa dan ‘angkut’ mereka. Tetapi, ada masa kita tidak jumpa, jadi orang awam yang jumpa maklum segera pada kita,” katanya.
Halid menasihatkan masyarakat Islam khususnya, supaya memeriksa latar belakang atau meminta individu terbabit mengemukakan surat kebenaran tauliah dikeluarkan JAINJ.
“Surat tauliah ini jika mereka terima dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pun, tetapi bila mereka mahu masuk mengutip derma di Johor, perlu ada surat kebenaran JAINJ.
“Tetapi, kalau mereka kata itu surat tauliah dari JAINJ pun, perlu juga waspada, kadang-kala ada yang menggunakan gambar palsu dan surat palsu bagi mengelirukan orang ramai," katanya.
Untuk rekod, sepanjang tahun ini, dari Januari hingga Disember, JAINJ sudah menahan seramai 35 orang atau kes kutipan wang khairat tanpa tauliah atau kebenaran JAINJ.
Berdasarkan Fasal 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 ada menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh membuat atau mengambil bahagian dalam apa-apa pungutan wang tanpa kebenaran nyata dan jika didapati bersalah, boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, beliau sendiri menerusi JAINJ akan menandatangani surat kebenaran khas untuk diberikan kepada mana-mana pihak yang mahu membuat kutipan derma sekiranya membabitkan pembinaan masjid atau surau.
Katanya, orang ramai yang didatangi mana-mana pihak yang membuat kutipan derma menggunakan nama pusat tahfiz digalakkan meminta pihak terbabit mengemukakan surat kebenaran berkenaan untuk semakan.
“Sebarang kutipan derma yang membabitkan kegunaan pembinaan masjid atau surau perlu ada surat kebenaran khas yang diberikan sebagai tauliah yang saya tandatangani.
“Ia (isu ini) tidak membabitkan sebarang pusat tahfiz. Orang ramai boleh membuat pengaduan dan bertanyakan surat atau permit khas mengutip derma dari mana-mana individu yang bergerak di merata tempat ini,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment