NOTIS:
PRK Kimanis: BN umum calon 1 Januari 2020
Haspaizi Zain
PRK KIMANIS | BN akan mengumumkan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada awal tahun baru 2020.
Pengerusi Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin, berkata pihaknya sudah memiliki senarai calon berpotensi bagi mempertahankan kerusi berkenaan.
"Soal calon belum saya putuskan lagi, saya ada banyak senarai calon yang berpotensi untuk dicalonkan
"1 Januari 2020 saya akan umumkan nama calon BN bagi PRK Kimanis," katanya kepada Malaysiakini.
Mahkamah Persekutuan 2 Dis lalu, menolak rayuan bekas Menteri Luar Anifah Aman untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lepas bahawa kemenangannya di Kimanis pada PRU ke-14 lalu tidak sah dan terbatal.
Keputusan itu dibuat selepas hakim mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.
Calon Parti Warisan Sabah, Karim Bujang, memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah.
Pada PRU lalu Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis hanya dengan majoriti 156 undi.
Beliau memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail, yang menerima 1,300 undi.
Anifah yang telah meninggalkan Umno sebelum ini dikaitkan dengan khabar angin akan kembali mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket BN.
Selain Anifah, ada juga spekulasi mengatakan Umno akan mempertaruhkan anaknya, Ahmad Zachry, untuk bertanding di kerusi itu atas tiket BN.
Bagaimanapun Anifah pada 19 Dis lalu mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Kimanis, tetapi berikrar akan kembali semula pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.
"Ini adalah detik emosi bagi saya untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil ini.
"Saya percaya bahawa kecuaian Suruhanjaya Pilihan Raya telah menyusahkan rakyat di Kimanis dan pembaziran wang pembayar cukai.
"Saya akan bertanding semula di Kimanis pada PRU15," kata Anifah dalam satu kenyataan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment