NOTIS:
PRK Kimanis: 2 anak Anifah tak berminat jadi calon Umno
PRK KIMANIS | Dua anak bekas Menteri Luar dan ahli parlimen Kimanis, Anifah Aman, tidak akan termasuk dalam senarai untuk dipertimbangkan Umno Sabah sebagai calon pembangkang dalam PRK akan datang.
Dengan perkembangangan terbaru itu kini ada tiga nama yang akan disaring oleh Umno untuk dipertaruhkan bagi memenangi kerusi parlimen berkenaan.
Pembantu Anifah, Norhaidi Che Dan, berkata dua anak ahli parlimen veteran itu - Ahmad Firdaus dan Ahmad Zachry - tidak berminat untuk bertanding dalam PRK berkenaan.
Seperti dipetik portal Free Malaysia Today, Norhaidi berkata Ahmad Zachry - menjadi anggota biasa Umno - bukan seorang ahli politik, manakala Ahmad Firdaus - kini menjadi ketua Pemuda Umno Kimanis - tidak berminat.
Tiga nama yang dipertimbangkan ketika ini ialah Adun Bongawan merangkap Ketua Umno Kimanis, Mohamad Alamin; Anifah; pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Saat Awag Damit; dan bekas pegawai daerah Ahmad Gais.
Umno Sabah dijangka mengumumkan calon mereka pada 1 Jan ini.
Untuk rekod Anifah menjadi ahli parlimen Kimanis sejak pilihan raya umum (PRU) ke-11 pada 2004 dan mempertahankannya pada 9 Mei tahun lalu dengan kelebihan 156 undi.
Bagaimanapun kejayaan PH menguasai Putrajaya pada PRU ke-14 lalu menyaksikan Anifah meninggalkan Umno dan menjadi ahli parlimen bebas mulai Dis 2018.
Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya untuk membatalkan kemenangan Anifah dalam PRU lalu.
Menurut lima hakim - diketuai Ketua Hakim Negara Maimun Tuan Mat - yang mendengar rayuan tersebut Mahkamah Pilihan Raya tidak membuat khilaf dan memang terdapat percanggahan dalam proses pilihan raya berkenaan selain wujud pelbagai pelanggaran undang-undang yang memberi kesan kepada keputusannya.
Pada awalnya ada spekulasi timbul mendakwa Anifah mempertimbangkan kemungkinan untuk cuba mempertahankan kerusi berkenaan dengan bertanding menggunakan tiket Parti Bersatu Sabah (PBS).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment