NOTIS:
PKR: Pergolakan Kian Runcing, Siapa harus mengalah?
Oleh : Shuhaimi Al-Maniri
Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah salah sebuah sebuah daripada empat parti komponen pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ditubuhkan hasil gabungan Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 2003.
Bermula sebagai Parti Keadilan Nasional yang dilancarkan pada 4 April 1999 dengan diketuai oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail (isteri Anwar Ibrahim) untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya umum 1999 dengan mengambil alih sebuah parti kecil, Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (IKATAN) setelah menghadapi kesulitan dalam mendaftarkan ngo Adil sebagai parti politik.
Kemunculan Parti Keadilan Nasional ini dalam pilihan raya umum 1999 bersama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam pakatan pilihan raya yang dikenali sebagai Barisan Alternatif untuk mengambil kuasa BN.
Dalam pilihanraya umum 1999 ia hanya memenangi lima (5) kerusi parlimen walaupun Barisan Alternatif secara keseluruhan memperoleh 40.21% daripada jumlah undi yang dibuang dengan PAS yang mendapat 27 kerusi dan DAP memperoleh 10 kerusi parlimen disamping PAS berjaya mengekalkan Kelantan dan merampas Terengganu dari BN.
Parti itu kurang bernasib baik dalam pilihan raya umum 2004 selepas bergabung dengan PRM dan hanya mampu mengekalkan satu kerusi parlimen, Permatang Pauh yang dipegang Dr Wan Azizah, Malah calon-calon dari PRM bertanding menggunakan lambang Parti Keadilan Nasional pada pilihan raya umum 2004 memandangkan pindaan baru kepada perlembagaan parti baru itu (PKR) belum diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Dalam pilihan raya 2008, PKR memenangi 31 kerusi di Parlimen, dengan DAP dan PAS membuat keuntungan besar serta 28 kerusi dan 23 kerusi masing-masing. Keseluruhannya, pengambilan 82 kerusi oleh pembangkang kepada 140 kerusi BN menjadikannya prestasi terbaik dalam sejarah Malaysia oleh pembangkang, dan menafikan BN majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk membuat perubahan perlembagaan dalam Dewan Rakyat.
Pakatan Rakyat yang dibentuk oleh PKR dan PAS (komponen BA sebelum ini) dengan DAP juga berjaya menandingi pilihan raya negeri yang menyaksikan gabungan gabungan PKR, DAP dan PAS yang membentuk kerajaan campuran di negeri-negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Dalam pilihan raya umum 2013, Pakatan Rakyat berjaya menambah 7 kerusi parlimen dengan PKR (30 kerusi), DAP (28 kerusi) dan PAS (21 kerusi). Manakala pada PRU ke-14 (2018), Menjelang PRU ke-14, PR dikuburkan oleh PKR dan DAP dengan meminggirkan PAS untuk membentuk PH. PH (PKR dan DAP disertai PAN dan PPBM) sebagai ganti gabungan PR berjaya ke Putrajaya mendapat 113 kerusi bila keputusan rasmi PRU ke-14 menunjukkan; Barisan Nasional (BN) memperoleh 79 kerusi, PAS (18), PKR (104), DAP (9), Parti Warisan Sabah (8), Parti Solidariti Tanah Airku (1) dan Bebas (3).
Pergolakan PKR Menjelang Kongres Nasional
PKR telah bertapak lebih 20 tahun dalam politik tanahair dan boleh dikatakan sedang mencapai tahap kegemilangannya pada ketika ini, kerana telah berjaya menduduki Putrajaya dan membentuk kerajaan persekutuan. Setakat ini, yang belum tercapai adalah menobatkan Anwar Ibrahim ke kerusi Perdana Menteri sahaja.
Namun, dalam kegemilangannya, muncul pula pergolakan kepimpinan yang sedang melanda parti itu ketika ini Terkini, bukan lagi satu rahsia buat kita semua… PKR seolah-olah terbahagi kepada dua kem kepimpinan yang berbeza, dibawah Anwar Ibrahim dan Azmin Ali. Di satu pihak, ahli-ahlinya menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden parti, manakala di satu pihak lagi menyokong Datuk Seri Azmin Ali yang kini nampaknya sudah tidak sehaluan dengan parti.
PKR memang tidak lekang dari pergolakan sejak dari awal penubuhan lagi. Tidak sedikit pemimpin-pemimpin awal dan pengasas parti ini yang telah keluar dari parti tersebut Krisis demi krisis kepimpinan berlaku dalam parti berasaskan reformasi ini.
Pergolakan dalaman PKR ketika menjelang Kongres Nasional PRK pada hujung minggu ini (6-8hb Disember 2019) dilihat menjadi semakin parah. Bermula dengan Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR dinafikan haknya untuk merasmikan Kongres Pemuda sebagaimana tradisi sebelum ini. Tidak cukup dengan itu, AMK bertindak memecat Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda yang akan mengendalikan kongres Pemuda.
Pergeseran kepimpinan hanya merugikan parti tersebut. Sebagai contoh, kongres PKR Sarawak diadakan pada 23 November tanpa kehadiran beberapa pemimpin tertinggi negeri tersebut, termasuklah Baru Bian (ketua PKR Sarawak) kerana Azmin selaku Timbalan Presiden tidak dijemput menjadi perasmi kongres PKR Sarawak.
Ini ditambah lagi dengan konflik pemecatan Ahli MPP, Zakaria Abdul Hamid, bekas ketua cabang Bera dibuat ketika PKR dilihat sedang bergelut pergeseran dalaman melibatkan kem Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya, Azmin Ali sehingga mewujudkan kumpulan 20 pemimpin PKR membantah tindakan tersebut.
"Kami selaku Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang dipilih bagi sesi 2018-2021 dengan ini sebulat suara menolak pemecatan Zakaria sebagai ahli MPP PKR seperti diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin, Ahmad Kassim walaupun syor yang dikemukakan oleh Lembaga Disiplin sendiri hanyalah tunjuk sebab, bukan pemecatan.
"Perkara ini dicapai setelah kami meneliti dan mendapati keputusan memecat beliau adalah dengan alasan yang cacat dan tidak menepati prinsip keadilan iaitu tidak melalui proses sebagaimana harusnya," kata kenyataan itu.
"Justeru, kami mewakili majoriti ahli MPP yang dipilih oleh anggota parti dengan ini menyatakan penolakan kami terhadap keputusan tergesa-gesa tersebut dan mendesak agar presiden parti memohon maaf atas keterlanjuran ini yang jelas tidak mendapat sokongan dua per tiga ahli MPP parti sendiri.
"Sehingga hari ini, Zakaria masih merupakan Ahli MPP PKR yang sah. Maka, makluman pemecatan yang tidak menyebut sebab pemecatan itu juga tidak relevan apatah lagi untuk merayunya," kata kenyataan itu.
Selain Azmin, kenyataan itu ditandatangani oleh Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua, Ketua Wanita Haniza Mohamed Talha serta Timbalan Ketua Pemuda (AMK) Hilman Idham.. Ahli MPP lain yang disebutkan dalam kenyataan media menolak pemecatan Zakaria adalah; Dr Daroyah Alwi, Amiruddin Shaari, Mohd Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah, Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Saifuddin Abdullah, Radzlan Jalaluddin, Dr Mansor Othman, Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian dan R. Santhara Kumar.
Perpecahan kepimpinan dalam PKR ini dilihat begitu membahayakan bukan hanya kepada survival PKR, malah kepada Anwar Ibrahim sendiri yang bakal meneraju Negara sebagai PM menanti. Bagaimana mungkin beliau hendak menerajui Negara, kalau partinya sendiri bergolak dengan tidak terkawal.
Jika krisis ini tidak berjaya dibendung, ramai pemerehati politik menjangkakan satu lagi tragedi politik negara bakal berlaku pasca Kongres Nasional PKR. Apa selepas ini, kita bincang dalam artikel yang lain,
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment