NOTIS:
Penyokong komunis patut dilucut kerakyatan
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 6 Rabiulakhir 1441H, Selasa – Parti politik serta ahlinya yang secara tidak langsung menyokong dan menyanjungi pengganas komunis tidak sepatutnya dibenarkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, tegas pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung.
Beliau yang juga Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) berkata, individu terbabit patut dilucutkan kewarganegaraan mereka kerana menjulang kumpulan pengganas.
Firdaus juga meminta rakyat mengenali nama ahli serta parti politik yang menyokong secara terbuka berhubung isu itu serta mereka yang bertindak berdiam diri.
Bahkan beliau turut mempersoalkan sama ada polis, tentera dan orang awam yang dibunuh pada masa dahulu dikira sebagai pengganas sekiranya komunis ini dijulang dan diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan.
"Anggota keselamatan kita bertungkus-lumus mempertahankan keamanan negara tetapi tiba-tiba pengganas komunis ini pula mahu dijulang sebagai pejuang kemerdekaan?," soalnya.
Sebelum ini, kira-kira 300 orang telah menghadiri perhimpunan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM), di sebuah kolej swasta di Kajang, Ahad lalu.
Perhimpunan itu kononnya untuk memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.
Lebih menimbulkan persoalan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Ronnie Liu dan veteran PKR, Syed Husin Ali hadir dalam perhimpunan berkenaan, seolah-olah memberi restu kepada perhimpunan berkenaan.
Terdahulu, terdapat cubaan menyebarkan ideologi komunis dalam buku komik dan seterusnya diikuti dengan tindakan membawa balik abu mayat ketua pengganas, Chin Peng pada 16 September lalu.
Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/12/03/penyokong-komunis-patut-dilucut-kerakyatan/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment