NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS-UMNO Sekarang Macam Adik Beradik


SIK – Muafakat Nasional yang disepakati antara PAS-UMNO berjaya merapatkan jurang antara dua parti itu yang secara tradisinya adalah musuh politik sejak berzaman.
Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Noor berkata, penerimaan ahli PAS terhadap UMNO kini semakin baik dan positif ke arah pembentukan kerajaan, sekiranya berjaya merampas kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, pihaknya juga percaya Muafakat Nasional di Kedah berjaya menenggelamkan pengaruh kerajaan Pakatan Harapan (PH) diterajui Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Ramai yang pelik, bagaimana PAS-UMNO sekarang macam adik-beradik, sebelum ini musuh ketat. Kita harus berlapang dada menerima kebaikan.

“Selepas tewas PRU14, UMNO tidak lagi sombong dengan kuasa, malah mereka terima pendekatan politik Islam dibawa PAS, dan pinda perlembagaan dengan meletakkan Islam sebagai keutamaan, ini yang mendekatkan lagi UMNO dan PAS,” katanya selepas Majlis Mahabbah Muafakat Nasional di Padang Batu 2, Sungai Pau, malam semalam.

Muhammad Sanusi berkata, ahli parti bukan ‘pak turut’ yang hanya menerima arahan Presiden PAS untuk menerima UMNO, sebaliknya ahli mencontohi sikap kepimpinan dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam berpolitik.

“PAS dan UMNO adalah parti Melayu, kerjasama ini kini diterima baik semua peringkat parti, termasuk golongan otai PAS.

“Fitrah manusia suka berbaik, melainkan ada penyakit hati. Malah, di kampung kita berkawan sejak zaman kanak-kanak, dan hanya dipisahkan oleh ideologi politik masing-masing,” katanya.

Menurutnya, ahli PAS bersedia menerima ahli UMNO atas dasar Islam yang menuntut kerjasama dalam melaksanakan kebaikan dan mencegah keburukan.

“Program di kampung kini meriah, lebih 40 tahun aktiviti dua parti ini dianjur berasingan disebabkan ideologi politik berbeza, sana kawasan PAS, sini kawasan UMNO.

“Kenduri pun tak jemput, kecuali rakan lama. Masjid pun pilih sebab tak mahu sertai jika anjuran parti tertentu, ini semua sudah sejarah,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kini pendekatan baharu diambil demi kesatuan orang Melayu bawah Muafakat Nasional, dengan mengenepikan kepentingan peribadi mahupun parti.

“Inilah rahmat yang datang bersama gabungan ini, perpaduan saja yang dapat menjamin keharmonian, muafakat, peduli jiran, saling menasihati serta menjaga harta benda.

“Saya bangga melihat program PAS-UMNO ini yang merupakan acara pertama dalam tempoh 45 tahun, mendapat kerjasama erat dua parti,” katanya.

Menurutnya, program anjuran PH Kedah didakwa semakin kurang mendapat sambutan, kecuali acara rasmi kerajaan negeri dihadiri wakil jabatan.

“Difahamkan, dana Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) pun sekadar diadakan sukaneka kanak-kanak dan kenduri tanpa pengisian bermanfaat, ini suatu pembaziran,” katanya. – Sinar Harian

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo