NOTIS:
Mahathir regukan Azilah, Najib, Sirul benam Anwar?
AGAK lega negara sekarang apabila tiada lagi ulangan suara yang membingitkan telinga rakyat, untuk Bakal PM 8 dinobatkan menjadi bekas Bakal PM 8. Berserabut kepala rakyat dengan perangai tak senonohnya yang sering melaung-laungkan yang kemenjadian dirinya sebagai PM 8 mesti berlaku dan hanya tinggal di selekoh yang terakhir.
Si mata sepet dari parti sekutunya juga sudah tidak lagi membuat countdown bagi Tun M turun takhta dan digantikan dengan bakal PM 8 yang tiada jawatan apa-apa dalam Kabinet itu. Semua ini saya lihat duduk dalam satu garisan waktu yang sama, iaitu selepas isu Azilah, Sirul yang didedahkan oleh pengkritik politik tanah air sebagai salah satu perancangan tertinggi politik Malaysia.
Mungkin bagi sesetengah orang, isu Akuan Bersumpah Azilah itu sepatutnya menjadi tumbukan KO kepada DS Najib. Tetapi bagi saya, ianya adalah hentakan yang melebamkan mata Anwar dan mungkin juga akan memberikan masalah kepada tulang belakangnya sekali lagi.
Tun M dimaklumi sebagai seorang yang sangat bijak menempelkan kesalahan yang dia lakukan kepada orang lain. Dan pada setiap masa, dia akan terselamat dan jika diketahui orang pula, dia pandai mengalihkan perhatian itu kepada isu lain, supaya orang akan melupakannya.
Apabila didedahkan Azilah telah bertemu dengan VVIP dan dibawa keluar dari penjara oleh Peguam DS Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ianya bukan satu khabar angin yang boleh dibiarkan berhembus berlalu begitu sahaja. Mengambil prinsip PH suatu ketika dahulu, Jabatan Penjara kena samanlah Tan Sri Shafee kalau ianya fitnah…kan? Bukan sekadar menafikannya sahaja.
Lalu, Azilah yang dilihat terdesak dek kerana hukuman mati itu, dikatakan diberi tawaran, hidup kaya sebagai jutawan, atau mati miskin di tali gantung, tanpa ada sedikit pun jasanya dikenang dan keluarganya juga akan merana menanggung akibat perbuatannya itu. Mungkin lebih teruk, anak isterinya akan menjadi miskin dan dihina masyarakat.
Penyokong PH yang paling bangang sekali pun, pasti tidak akan memilih pilihan kedua. Maka dengan jelas, tawaran ini sebenarnya boleh dikategorikan sebagai memaksa memilih pilihan pertama. Terus hidup bersama keluarga tercinta dan menjadi kaya raya. Maka Azilah pun dikatakan bersetuju bagi membuat Akuan Bersumpah yang mendakwa DS Najib mengarahkan beliau secara langsung membunuh Altantuya.
Manakala nun jauh di sebelah Australia, dihikayatkan tiada kedengaran suara Sirul bagi membuat pengakuan yang serupa, bahawa DS Najib terlibat sama. Sirul kelihatan selamat dengan keadaan hidupnya di sana. Jika Sirul seorang yang berfikiran waras, pastinya dia mahu bertaubat dan hidupnya tidak diganggu. Biarlah miskin asal bahagia. Prinsip yang sangat kontra dengan Azilah yang sedang tertekan.
Kemudiannya, tanpa terduga, DS Najib segera membalas apa yang disifatkan sebagai serangan ke atas dirinya itu dengan melakukan sumpah mubahalah. Memang benar apa yang dikatakan oleh Mufti Wilayah bahawa sumpah bukan untuk bukti perbicaraan dalam Islam, tetapi sebagai penguat hujahan balas tertuduh yang dirinya difitnah sebagaimana Saad bin Abi Waqqas lakukan dahulu.
Kata-kata Mufti ini jika kita lihat dan amati, terpakai kepada kedua-dua pihak, Azilah dan DS Najib. Jadi kenapa pula penyokong PH menjadi ‘gila’ dengan menyokong Mufti, tanpa Azilah disalahkan kerana turut bersumpah dan yang menyokong Najib bersumpah, tidak mahu menyokong Azilah, yang turut bersumpah, untuk diterima sumpahnya? Di sinilah ulamak PAS menunjukkan kematangannya dengan mengajak ahli PAS, tidak menyanggahi Mufti.
Jadi, apa yang Tun Mahathir mahukan, sudah hampir dicapai beliau. Sumpah DS Najib dengan nama Allah, lebih digeruni daripada Akuan Bersumpah Azilah. Dalam hal ini, ianya tidak melibatkan mahkamah, sebagaimana pesanan Mufti Wilayah. Jadi tiada salahnya DS Najib bersumpah, kerana akhirnya jika beliau berbohong, laknat itu akan kembali kepadanya. Tiada kaitan ia sebagai bahan bukti mahkamah.
Maka Akuan Bersumpah Azilah, yang dia mahukan dibawa untuk dibicarakan kembali di mahkamah, tidak memberikan apa-apa kesan kepada orang Islam, kerana, ia sudah disebut oleh Mufti, sumpah tiada dalam perundangan Islam. Jika penyokong PH adalah Islam, kata Mufti, mesti mereka ikut. Harap mereka tak ikut fatwa orang kafir. Manakala Sirul yang didakwa menolak tawaran itu, menjadi tikaman balas kepada Akuan Bersumpah Azilah. Jadi Azilah dilihat sebagai cuba menipu bagi melepaskan dirinya.
Sekarang DS Najib dan Sirul, boleh dikatakan telah menang, mengalahkan Azilah. Tun turut tersenyum kerana harapan bagi Anwar untuk meletakkan punggung beliau di kerusi empuk PM itu, semakin menjauh. Kerana apabila Azilah dilihat menipu, maka kes Altantuya hanya akan dilihat sebagai satu lagi senarai propaganda tambahan bagi kempen PH kepada musuh politik mereka sahaja. Menjelaskan lagi bahawa PH kaki menipu, setelah gagal menangani isu GST, 1MDB serta janji-janji manifesto.
DS Najib telah mencabar Lim Kit Siang agar membuka semula kes Altantuya semenjak tahun lepas lagi, iaitu setelah PH berkuasa. Namun LKS kelihatan amat bacul untuk mendesak PM. Sama seperti kes skandal BMF, skandal Forex dan lain-lain lagi. Agaknya kenapa LKS takut? Jawapannya mudah, ianya kerana akan menjadi ‘backfire’ kepada mereka semua, mereka akan dikenang sebagai penipu dan pastinya kerana tiada kepentingan bagi mereka setakat ini.
Setelah rakyat diperlihatkan dengan beberapa siri keraguan dakwaan pimpinan PH dalam kes Altantuya ini termasuk penggunaan bahan letupan C4, Tun saya lihat menambahkan lagi luka PH, dengan menimbulkan semula kes ini yang cuba didiamkan oleh PH yang dikuasai oleh DAP sekarang. Saya yakin mereka dalam keadaan menggelabah dengan timbulnya kembali isu ini.
Saya percaya, akan ada orang bertanya, apakah untungnya jika benar Tun merancang hal ini? Maka saya jawab, baca kembali perenggan keempat di atas. Itulah jawapannya, serta tujuan Tun, untuk tidak menyerahkan jawatan PM sewenang-wenangnya kepada orang yang tidak layak. Tetapi saya benar-benar berharap hal ini akan menjadi kenyataan. Impian seseorang untuk menjadi PM 8 akan berkubur, dibenamkan kembali dengan kes yang mereka gunakan dahulu. Habislah harapan DAP.
MOHD NASIR ABDULLAH
28 Disember 2019
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment