NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Komunisme Wajib Ditolak Oleh Masyarakat


Portugis menjajah Melaka selama 130 tahun iaitu dari 1511 hingga 1641.

Belanda menjajah Melaka selama 183 tahun iaitu dari 1641 hingga 1824.

Inggeris menjajah Tanah Melayu bermula dari tahun 1824 selepas Perjanjian Inggeris - Belanda di mana Belanda dikehendaki menyerahkan Melaka kepada British dan Bangkahulu diserahkan kepada Belanda oleh British. Bermula dari perjanjian inilah British secara beransur – ansur mula menjajah Tanah Melayu sehingga 1942.

Jepun menjajah Tanah Melayu bermula dari tahun 1942 hingga 1945.

British kembali menguasai Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah akibat tewas perang dunia kedua. British menjajah sehingga Tanah Melayu merdeka pada 31hb Ogos 1957.

Ketika British kembali semula ke Tanah Melayu selepas Jepun tewas, Komunis mula memperkuatkan kedudukan mereka di Tanah Melayu bermula dengan insiden serangan di Sungai Siput, Perak yang menyebabkan 3 orang peladang Eropah terbunuh pada 16 Jun 1948. Pada 18 Jun 1948, Pesuruhjaya British di Tanah Melayu, Sir Edward Gent mengisytharkan darurat di seluruh Tanah Melayu akibat daripada pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya ( PKM ) di Tanah Melayu. Darurat di Tanah Melayu bermula dari tahun 1948 hingga 1960.

Walaupun setelah Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, PKM tetap meneruskan pemberontakan bersenjata dan perang gerila di seluruh Tanah Melayu. Di zaman darurat, puluhan ribu tentera termasuk Rejimen Askar Melayu dan Homeguard terdiri daripada anak tempatan memerangi PKM. Di zaman ini, terdapat kawasan hitam dan putih iaitu kawasan selamat dan tidak selamat dari PKM dan pasukan gerila yang menyokong PKM. Peristiwa berdarah di Bukit Kepong dan Lenggong antara peristiwa hitam yang terpalit sejarah negara akibat daripada keganasan PKM dan pasukan gerila pimpinannya.

Peristiwa 13 Mei 1969 yang menyebabkan rusuhan kaum yang besar di negara juga dipercayai mempunyai kaitan dengan PKM hingga hampir mencacatkan sejarah landskap politik negara.

Saya berasa amat hairan dan musykil apabila ada yang mendakwa PKM atau Komunis dikatakan memperjuangkan kemerdekaan Tanah Air sedangkan setelah merdeka, Komunis masih terus berperang dan memerangi sebuah Kerajaan yang berdaulat dan merdeka. Jika benar dikatakan Komunis berjuang untuk kemerdekaan negara, sudah tentu selepas merdeka, mereka meletakkan senjata, membubarkan PKM dan sama – sama memakmurkan dan mempertahankan negara. Setelah dua kali berunding iaitu pada tahun 1956 di Baling, Kedah dan pada tahun 1989 di Hatyai, Thailand, barulah PKM bersetuju meletakkan senjata dan menghentikan perjuangan mereka itupun setelah Soviet Union tewas di Afghanistan dan bermulanya era tamat perang dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet, pembukaan Brandenburg Gate di Tembok Berlin dan seterusnya perobohan Tembok Berlin pada 13 Jun 1990 yang menandakan berakhirnya era Komunis pimpinan Soviet di dunia.

Namun ramai di kalangan anak muda dan yang lahir selepas merdeka sebenarnya tidak mengetahui cita – cita Parti Komunis di seluruh dunia. Pada Februari – Mac 1948, terdapat dua persidangan besar yang dianjurkan oleh pergerakan komunis dunia di Calcutta, India iaitu Persidangan Kongres Belia Asia pada Februari 1948 dan Persidangan Parti Komunis India pada Mac 1948. Di persidangan tersebut, Parti Komunis British telah menyiarkan arahan Parti Komunis Soviet Union untuk melancarkan perjuangan kebebasan bangsa. PKM turut menghantar wakil ke persidangan tersebut dan membawa balik arahan tersebut.

Pada Mac dan Jun 1948, Jawatankuasa Eksekutif PKM dalam perjumpaan mereka memutuskan untuk melancarkan perjuangan bersenjata sebagai usaha menubuhkan Republik Komunis di Tanah Melayu sesuai dengan arahan dan saranan kuasa utama komunis ketika itu, Parti Komunis Soviet Union ketika persidangan di Calcutta, India.

Jadi adalah menjadi sesuatu yang bertentangan dengan fakta dan sejarah kepada sesiapa yang mengatakan bahawa Komunis memperjuangkan kemerdekaan Tanah Air. Adalah amat malang kepada sesiapa yang mempercayainya apatah lagi ribuan nyawa terkorban kerana berjuang menentang komunis tidak kira Melayu, Cina, India dan kaum yang terdapat dalam negara. Maka amat wajar PDRM menyiasat perjumpaan bekas ahli PKM baru – baru ini termasuk motif membawa pulang abu mayat Chin Peng ke Tanah Air. Sesungguhnya pengkhianat Tanah Air tidak boleh dipercayai dan jangan sesekali dipercayai serta dibiarkan begitu sahaja.

Sama dengan ketika Tanah Melayu dijajah oleh Portugis, Belanda, British dan Jepun, tetap ada pengkhianat yang berjuang untuk diri sendiri dan kumpulannya namun menghancurkan Tanah Air tercinta ini. Semoga Malaysia aman makmur dan sejahtera serta dilindungi oleh Allah SWT dari pengkhianat dan penghancur agama, kaum, bangsa dan negara.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah AJK PAS Pusat dan merupakan ADUN Batu Burok.

Kongsikan maklum balas anda ke: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2549571551765008&id=526079594114224

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo