NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu jawi: Dong Zong rasis, anti perpaduan nasional



BANGI, 3 Rabiulakhir 1441H, Sabtu – Wanita Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) menyelar tindakan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang rasis dan anti perpaduan nasional.

Ketua wanitanya, Azizah Che Awang berkata demikian, berhubung Dong Zong membangkitkan semula isu pengajaran tulisan jawi dan khat di sekolah vernakular.

Terdahulu, Dong Zong dan kumpulan pendidikan Cina membangkitkan kembali isu tulisan jawi, apabila memaklumkan mahu menghantar memo kepada Kementerian Pendidikan untuk menuntut supaya lembaga sekolah dibenarkan membuat keputusan dalam isu pembelajaran tulisan jawi di sekolah rendah vernakular.

Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim dilaporkan berkata, mereka tidak berpuas hati apabila lembaga sekolah tidak tersenarai sebagai pembuat keputusan dalam pengajaran tulisan jawi di sekolah vernakular tahun depan, walaupun sudah lima pertemuan diadakan dengan kementerian.

Mengulas perkara itu, Azizah menyifatkan tindakan Dong Zong sebagai rakus dan tamak dalam memperjuangkan hak serta kepentingan kaum mereka.

"Penentangan berterusan terhadap Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan sikap sebenar Dong Zong yang enggan menerima bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular.

"Di bawah pemerintahan parti Pakatan Harapan, kaum Cina dilihat sangat rakus dan tamak dalam memperjuangkan kononnya hak dan kepentingan kaum mereka.

"Tidak kira dari blok kerajaan atau pembangkang dan berselindung di sebalik pelbagai pertubuhan pendidikan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada masa sama, Azizah juga mempersoalkan tindakan Dong Zong yang kini dilihat sebagai menagih simpati.

"Adakah ini suatu percubaan Dong Zong menagih simpati sehingga dilihat seolah-olah mereka tidak langsung diberi peluang untuk menjaga dan memelihara jati diri sehingga sanggup membuat tuduhan bahawa mempelajari jawi dan khat itu satu bentuk Islamisasi?.

"Jika demikian, sudah berapa ramaikah pelajar dari sekolah vernakular yang memeluk Islam semata-mata kerana belajar jawi.

"Di manakah mereka campak kesetiaan sebagai rakyat Malaysia berdasarkan prinsip-prinsip Rukun Negara dan juga tanda terima kasih di atas toleransi dan pengorbanan orang Melayu selama ini," soalnya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/11/30/isu-jawi-dong-zong-rasis-anti-perpaduan-nasional/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo