NOTIS:
Hubungan Baik Dengan Dunia Islam: Pandangan Ke Hadapan Presiden Vladimir Putin
Mutakhir ini dinamika politik antarabangsa melalui perkembangan menarik khususnya melibatkan hubungan Dunia Islam dengan dunia luar. Dunia Islam senantiasa menjadi perhatian kepada mana-mana kuasa kerana kepentingannya dari sudut geografi yang strategik, kekayaan sumber asli yang banyak dan tenaga sumber manusia yang berkualiti. Justeru dalam tempoh 100 tahun ini banyak perubahan telah berlaku ke atas peta Dunia Islam akibat perebutan antara kuasa-kuasa yang mempunyai matlamat masing-masing.
Di saat Barat mengambil sikap permusuhan dan prejudis terhadap Islam dan Dunia Islam, Rusia yang dipimpin oleh Presiden Vladimir Putin begitu bijak mengatur strategi dengan mengambil Dunia Islam yang sentiasa diperbodohkan oleh Barat sebagai sekutu dan mengeratkan hubungan dengan negara-negara Islam yang senantiasa ditimbulkan konflik dalaman oleh Amerika Syarikat dan sekutu baratnya.
Jika dilihat hari ini, boleh dikatakan kebanyakkan negara – negara Dunia Islam terutamanya di Asia Barat telah mula mengeratkan hubungan diplomatik mereka dengan Rusia. Selain dari Syria, Iran, Turki dan Hizbullah di Lubnan yang dilhat sebagai sekutu kuat Rusia, Arab Saudi yang dilihat sebagai sekutu kuat Amerika Syarikat dan ketua kepada negara – negara Teluk telah mula berbaik dan mengeratkan hubungan diplomatik dengan Rusia apabila Presiden Valdimir Putin mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi baru – baru ini setelah sekian lama semenjak kali terakhir pada 2007.
Hubungan Rusia - Iran.
Hubungan Russia dan Iran sebenarnya telah lama terjalin sejak dahulu lagi namun hubungan diplomatik kedua – dua negara secara rasminya bermula pada seawal abad ke 15 iaitu pada tahun 1521 diantara Grand Duchy of Moscow, Vasali III Of Russia dan Empayar Safavid yang memerintah Parsi atau Iran pada masa itu. Ketika itu Empayar Safavid bersempadan dengan Rusia, iaitu dengan Uzbekistan, Azerbaijan, Turkmenistan, Armenia dan Georgia.
Hubungan Rusia dan Iran melalui pasang dan surutnya semenjak dari permulaan. Selepas era Empayar Safavid, Rusia telah menjalinkan hubungan dengan Empayar Qajar yang memerintah Iran pada kurun ke 18 ketika pemerintahan Agha Mohammad Khan namun hubungan Rusia – Iran ketika ini menjadi agak tegang berikutan pertikaian sempadan di utara Iran. Namun keadaan kembali tenang setelah kedua – dua empayar menandatangani perjanjian damai yang menamatkan peperangan berserta penyerahan Dagestan, Azerbaijan, Armenia dan timur Georgia oleh Iran kepada Rusia.
Selepas itu pengaruh Rusia semakin kuat di serata Iran hingga ke Tehran sehingga mencetuskan pemberontakan di kalangan rakyat Iran yang menentang pengaruh Rusia ke atas Empayar Qajar yang memerintah Iran. Rusia telah berjaya menawan beberapa bandar utama di Iran hingga kerajaan utama yang berpusat di Tehran tidak berkuasa sehingga terpaksa menurut kehendak Rusia. Penghujung kurun ke 19 ketika pemerintahan Naser Ad – Din Shah Qajar, Rusia telah mendominasi Iran sehingga tunduk di bawah kekuasaannya. Penentangan rakyat Iran memuncak terhadap Rusia apabila pada 1911, Rusia telah mengebom Masjid Goharshad di Khurasan dan menyerang perjumpaan Majlis Syura Iran pada 1908 dengan membunuh beberapa anggota Majlis Syura tersebut.
Revolusi Jangal tercetus pada tahun 1915 menentang Empayar Qajar yang memerintah Iran yang dianggap penyebab utama penguasaan Rusia keatas Iran. Ia dicetuskan oleh Mirza Kuchik Khan dan mendapat sokongan kuat segenap lapisan masyarakat di Iran. Gerakan revolusi ini mendapat sokongan kuat Republik Komunis Rusia hingga terbentuk Republik Komunis Soviet di Gilan, Iran.
British ketika itu sedang meluaskan pengaruh di Iran dan kejatuhan Empayar Tsar di Rusia memberikan British peluang untuk melenyapkan pengaruh Rusia di Iran. British telah menyusup masuk kedalam Persian Cossack Brigade, sebuah unit tentera elit Empayar Qajar. Kekuatan pengaruh British di Iran menyebabkan Republik Komunis Soviet di Gilan lenyap serta memaksa Rusia menandatangani perjanjian dengan British pada 1921 serta menyerahkan kembali Tabriz, Isfahan, Tehran, Mashad dan beberapa bandar lagi kepada Iran dan mengiktiraf kembali penguasaan Iran ke atas Lautan Kaspian. Akhirnya Kolonel Reza Shah Pahlavi, Komander Unit Persian Cossack Brigade yang berada dibawah penguasaan British melancarkan rampasan kuasa pada 8 Februari 1921 dengan menawan Tehran, pusat pemerintahan Empayar Qajar.
Setelah menjadi Perdana Menteri, penguasaan Reza Shah Pahlavi bertambah kuat seterusnya pada 1925, Reza Shah Pahlavi diangkat sebagai Shah Iran dan mengakhiri pemerintahan Empayar Qajar dengan Ahmad Shah Qajar sebagai Sultan terakhir pada 31 Oktober 1925. Setelah Reza Pahlavi Shah berkuasa, beliau mula menolak pengaruh Rusia dan British dalam pemerintahan beliau dan Iran. Namun hubungan akrab beliau dengan Jerman yang ketika itu dibawah pemerintahan Adolf Hitler dan Nazi membuatkan Rusia dan British tidak senang dikala Rusia dan British sedang berperang dengan Adolf Hitler dan Nazi yang ketika itu sedang merangka untuk menakluk Eropah termasuk Rusia.
Rusia dan British mengambil keputusan untuk menakluk Iran pada 25 Ogos 1941 kerana dipercayai Reza Shah Pahlavi menyalurkan bantuan kepada Jerman seperti membekalkan minyak kepada Jerman serta untuk menghalang Jerman dari menggunakan hubungan akrabnya dengan Iran untuk menyekat bekalan ketenteraan Amerika Syarikat dan British yang menggunakan Persian Corridor, laluan keretapi dan perkapalan yang menghubungkan Cape Of Good Hope di Afrika Selatan hingga ke Vladivostok, Rusia.
Penaklukan tersebut berakhir pada 17 September 1941 yang menyaksikan Reza Shah Pahlavi dipaksa untuk melepaskan takhta seterusnya diangkat anaknya, Mohamad Reza Pahlavi sebagai Shah Iran. Pemerintahan Mohamad Reza Pahlavi berakhir pada 16 Januari 1979 apabila berlakunya revolusi yang dipimpin Ayatollah Ruhollah Khomeine yang membentuk Republik Islam Iran. Mohamad Reza Pahlavi ditentang kerana dianggap bersekongkol dan menjadi boneka Amerika Syarikat yang setelah tamat perang dunia kedua menyaksikan Amerika Syarikat mula menjadi dominan dalam penguasaan geopolitik dunia.
Rusia menjadi negara pertama mengiktiraf Republik Islam Iran pada Februari 1979. Dipercayai pengiktiran tersebut adalah untuk memulihkan kembali hubungan yang tegang di antara kedua – dua negara yang sekian lama pasang surut. Namun Ayatollah Ruhollah Khomeini tidak merapatkan kembali hubungan kedua – dua negara apatah lagi Rusia yang ketika itu berpegang kepada Komunisme yang berteraskan Atheism, bertentangan dengan ajaran Islam. Hubungan Rusia – Iran bertambah buruk ketika perang Iran – Iraq apabila Rusia membekalkan senjata kepada Saddam Hussein untuk menentang Iran.
Hubungan Rusia – Iran Selepas Kejatuhan Soviet Union.
Selepas berakhirnya perang Iran – Iraq serta berlakunya peristiwa bersejarah iaitu kejatuhan komunisme dan Soviet Union, hubungan Iran dan Rusia telah pulih kembali malah bertambah erat. Hubungan diplomatik kedua – dua negara yang telah pulih menyebabkan perdagangan di antara kedua – dua negara meningkat dengan mendadak terutamanya pembelian senjata dan peralatan tentera Rusia dalam jumlah yang besar oleh Iran. Iran juga mula memajukan program nuklear dengan bantuan Rusia.
Keakraban kedua – dua negara jelas terserlah ketika Amerika Syarikat menarik balik sokongan serta keluar daripada perjanjian kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat, Britain, Rusia, China, Perancis dan Jerman dengan Iran berkaitan senjata nuklear dan program pengkayaan uranium milik Iran pada 18 May 2018. Perjanjian yang ditandatangani pada 2015 menghendaki Iran menghentikan program nuklear berserta pengkayaan uranium yang bertujuan untuk ketenteraan dan sebagai balasan, sekatan ekonomi ke atas Iran akan ditarik balik dan Iran dibenarkan menjual hasil minyak dan gas mereka kepada dunia.
Apabila Amerika Syarikat keluar dari perjanjian tersebut dengan alasan Iran tidak mematuhi perjanjian serta mengancam untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap Iran dan negara yang berdagang dengannya, Rusia menempelak tindakan Amerika Syarikat dan berusaha memujuk Jerman, Perancis, Britain dan China untuk meneruskan perjanjian tersebut tanpa Amerika Syarikat. Sebelum Amerika Syarikat menarik diri dari perjanjian tersebut, konglomerat dari Jerman, Perancis, Britain, Rusia dan China telah melabur berbillion ringgit dalam sektor minyak dan gas di Iran.
Akibat ancaman Amerika Syarikat, permulaannya banyak konglomerat yang bercadang untuk keluar dari Iran namun di atas inisiatif dan usaha Rusia, konglomerat dari Jerman, Perancis, Britain dan China telah berdagang kembali dengan Iran dan mengambil inisiatif untuk mengelak sekatan Amerika Syarikat dengan mewujudkan mekanisme perdagangan baru yang tidak formal. Usaha tersebut berjaya dengan Amerika Syarikat bercadang untuk mengenakan sekatan tambahan namun tidak diendahkan oleh negara – negara terbabit termasuk Iran.
Halatuju dan persefahaman yang erat terutamanya untuk menumpaskan hegemoni Amerika Syarikat di Asia Barat menjadi dasar hubungan erat kedua – dua negara. Sekatan perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas kedua – dua negara tidak sedikit pun menjejaskan hubungan mereka. Jelas hubungan dengan Rusia mutakhir ini banyak memanfaatkan Iran terutamanya dalam konflik Iran – Israel dan konflik di Asia Barat. Rusia boleh dianggap sebagai pelindung Iran daripada intimidasi serta provokasi Israel dan Amerika Syarikat serta kuasa besar yang dianggap boleh menyelesaikan konflik terbabit.
Israel yang banyak kali cuba menghasut Amerika Syarikat untuk menyerang Iran atau ugutan Israel untuk menyerang Iran kerana menjadi ancaman kepada Israel serta mempunyai senjata nuklear boleh dikatakan tidak berjaya akibat hubungan Iran – Rusia. Konflik di Syria dilihat ramai penganalisa politik antarabangsa sebagai bukti keutuhan hubungan akrab kedua – dua negara. Sokongan kuat Rusia terhadap Basyar Al – Assad, sekutu kuat Iran di dalam kelompok negara Arab menzahirkan polisi Rusia untuk menjadi kuasa besar di Asia Barat.
Umum tidak mengetahui bahawa ISIS yang dikatakan pengganas sebenarnya memperolehi sumber kewangan, latihan dan senjata daripada Israel sebagaimana yang diberitakan baru – baru ini. Pemberontak di Syria juga memperolehi sumber kewangan, latihan ketenteraan dan senjata daripada Israel. Tujuannya adalah untuk menjamin keselamatan Israel serta memperluaskan negara Israel seperti yang dipercayai oleh Zionist. Dengan mencetuskan konflik dan keganasan di Syria serta mengakibatkan ketidakstabilan, cita – cita Israel untuk merampas Bukit Golan dan seterusnya Syria mungkin tercapai.
Namun cita – cita tersebut menjadi igauan ngeri buat Israel dan sekutu rapatnya Amerika Syarikat yang ingin terus kekal sebagai kuasa besar tunggal yang berpengaruh di Asia Barat. ISIS dan pemberontak berjaya dikalahkan serta bukan sahaja Syria malah Bukit Golan tidak jatuh ke tangan Israel. Bantuan ketenteraan oleh Rusia dan Iran kepada Basyar Al – Assad berjaya mematahkan cita – cita Israel dan Amerika Syarikat. Israel tidak berdiam diri malah menyerang kedudukan tentera Iran, kem dan depoh senjata milik Iran di Syria. Serangan – serangan tersebut mendapat kecaman Rusia dengan memberi amaran bahawa Israel akan ditentang oleh Rusia jika terus menyerang.
Peristiwa jet pejuang Rusia yang ditembak jatuh di Syria membuktikan keutuhan hubungan erat Iran – Rusia. Rusia tidak menyalahkan Syria mahupun Iran tetapi menyalahkan Israel terhadap insiden tersebut. Presiden Valdimir Putin melahirkan perasaan kecewa dan marah terhadap insiden tersebut dengan menyalahkan Israel sebagai punca utama kejadian tersebut. Dengan kadar segera Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memohon maaf atas insiden tersebut dan menghantar ketua angkatan tentera Israel ke Moscow untuk menjelaskan insiden tersebut kepada Rusia serta melanjutkan permohonan maaf daripada Benjamin Netanyahu. Sehingga ke hari ini, Rusia masih lagi memainkan peranan utama di Syria dengan sokongan kuat kepada Basyar Al – Assad dan Iran.
Terbaru, pengunduran tentera Amerika Syarikat daripada sempadan Syria – Turki membuktikan Rusia sedang melebarkan pengaruhnya di Asia Barat. Pengunduran tersebut juga membuktikan kerjasama Iran – Rusia untuk menghakis pengaruh dan dominasi Amerika Syarikat telah mula berjaya dan menampakkan hasil. Amerika Syarikat seperti terumbang ambing di Asia Barat malah Israel mula merasa terancam dengan kehadiran Rusia yang menyebelahi musuh mereka dalam beberapa konflik ciptaan Israel di Asia Barat.
Keadaan di Yemen yang kembali tenang ketika ini juga adalah dipercayai akibat daripada pengaruh Rusia setelah mengadakan pertemuan dengan Raja Salman baru – baru ini. Tentera Houthi yang sememangnya sekutu kuat Iran memperolehi kemenangan apabila Arab Saudi dan UAE bersedia mengadakan gencatan senjata dengan tentera Houthi untuk menghindarkan konflik di Yemen daripada berterusan serta mengorbankan lebih banyak nyawa dan kemusnahan yang besar. Sememangnya telah jelas hubungan akrab Iran -Rusia telah mula mendominasi geopolitik di Asia Barat dan mungkin mampu merubah landskap geopolitik dunia.
Namun dalam melakari hubungan Iran – Rusia, sebenarnya jika Dunia Islam bersatu padu dan berkerjasama di antara satu sama lain, Dunia Islam mampu menjadi lebih baik dan kuat serta mampu melonjakkan kembali kegemilangan Islam dan Dunia Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa Dunia Islam pernah menjadi kuasa dominan dunia namun akibat kecelaruan, permusuhan dan tiada persefahaman, Dunia Islam kembali berpecah belah dan lemah seperti saat ini.
Keadaan seperti sekarang ini langsung tidak membantu malah menimbulkan persepsi buruk terhadap Islam dan Dunia Islam seperti Islamophobia yang menjejaskan serta menimbulkan sangkaan buruk dan penolakan terhadap Islam dan Dunia Islam oleh masyarakat Dunia. Sampai bilakah keadaan harus begini ? Selagimana umat dan Dunia Islam tidak berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar, selagi itulah Islam dan Dunia Islam akan hanyut ditelan zaman. Semoga Allah SWT memberi hidayah dan petunjuk kepada Umat dan Dunia Islam untuk kembali ke pangkal jalan.
*YB Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Burok.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment