NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hampir Tutup Perniagaan, Lelaki Terkejut Dengan Kempen BMF


KUALA LUMPUR- Kempen Buy Muslim First (BMF) yang kini giat dijalankan ternyata memberikan kesan positif kepada para peniaga muslim.

Salah satunya kejayaan itu dikongsi melalui posting pengguna Facebook menggunakan nama Sheik Dawood.

Menurutnya, kempen itu membolehkan sebuah pasar raya diusahakan bersama isteri terus beroperasi walaupun hampir sahaja ditutup kerana mengalami kerugian.

“Pada 15 September lepas, seperti biasa selepas sembahyang isyak saya dah masuk tidur awal.

“Malam itu adalah malam yang betul-betul sedih kerana petang itulah kami buat keputusan untuk tutup perniagaan,”tulisnya di Facebook yang menerima lebih 6,000 tanda suka.

Perkongsian lelaki berkenaan di Facebook

Sheik Dawood berkata, sebagai suami, dia tidak sanggup melihat isterinya bersusah payah menguruskan pasaraya berkenaan.

“Saya tak sanggup tengok isteri saya kerja siang dan malam dan membawa van ke pasar borong untuk membeli barang basah.

“Saya minta dia tutup perniagaan pasaraya dan membantu saya di kedai percetakan di Kuala Lunpur. Itulah punca pendapatan kami sebelum buka perniagaan pasaraya,”katanya.

Namun katanya, semangat isterinya tidak luntur dan bertekad untuk meneruskan apa yang telah diusahakan.

“Pada malam itu saya memang dah putus asa. Lebih kurang dalam pukul 11.42 malam isteri saya hantar satu “screenshot” (berkaitan kempen BMF) dari facebook.

“Pada mulanya saya tak berapa yakin ada yang akan tengok posting itu. Tetapi saya sebagai pemilik perniagaan buat komen awal,”katanya.


“Jam 3.45 pagi bila saya bangun sembahyang Tahajjud seperti biasa saya semak telefon. Subahanallah begitu ramai yang memberi komen dan sokongan,”katanya.

Kongsinya lagi, pada keesokkan hari, jualan kedainya berubah sekelip mata apabila laris dibeli pelanggan.

“Pagi itu isteri menelefon dan maklum pelanggan masuk tak berhenti. Walaupun produk tak begitu banyak, mereka membeli apa sahaja semata-mata untuk memberi sokongan.

“Dalam masa 12 jam Allah mengubah situasi kami,”tulisnya yang turut berkongsi beberapa kelebihan lain BMF.

Tambahnya, BMF dalam masa terdekat diyakini memberikan kesan yang lebih besar, namun dia menyeru peniaga muslim supaya jangan mengambil kesempatan terhadap kempen itu.

“Jangan naikkan harga barang. Jaga kualiti dan yang paling utama pastikan pelanggan puas hati dengan produk kita.

“Kalau kita dah berjaya bantulah peniaga yang lebih kecil dari kita. Kongsi ilmu dan jangan kedekut dan jangan pentingkan diri sendiri,”katanya.

Sheik Dawood berkata, kekuatan kempen itu kekal atau punah di separuh jalan bergantung di tangan peniaga itu sendiri.

“Insha allah satu hari nanti peniaga Melayu dan Muslim akan disanjungi,”katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo