NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa jadi di India sekarang?


APA JADI DI INDIA SEKARANG?
Oleh: Abdul Muein Abadi

1. Rakyat Malaysia digesa membatalkan sebarang rancangan perjalanan atau percutian ke India dengan segera susulan bantahan besar-besaran terhadap tindakan rejim ekstremis Hindu di sana yang mengharamkan kewarganegaraan kepada umat Islam yang berhijrah dari Bangladesh, Afghanistan, dan Pakistan.

2. Undang-undang tercela ke atas umat Islam ini hadir kurang beberapa bulan selepas rejim ekstremis Hindu India ini menghapuskan autonomi wilayah majoriti Islam Kashmir.

3. Ia juga hadir tidak lama selepas nama wilayah ‘Allahabad’ di Uttar Pradesh secara rasminya ditukar kepada ‘Prayagraj’ susulan rejim parti ekstremis Hindu BJP berkuasa.

4. 100 juta umat Islam India membantah keras undang-undang diskriminasi yang dijangka akan memberi impak negatif ke atas masa depan kewarganegaraan mereka sendiri, di samping impak imbangan demografi mereka.

5. Rejim ekstremis Hindu India bertindak membunuh sembilan orang Islam yang tidak berdosa dan menyerang universiti serta menceroboh kawasan masjid bagi menahan beratus-ratus orang semata-mata kerana mereka menentang undang-undang zalim ini. Angka ini tidak termasuk angka tidak rasmi yang tidak dilaporkan.

6. Undang-undang ini merupakan pindaan kepada Akta Kewarganegaraan 1955 India. Bertentangan dengan prinsip India yang kononnya ditubuhkan sebagai republik sekular, pindaan undang-undang yang diluluskan parti BJP India pada 12 Disember lalu menjadikan ‘agama’ sebagai asas kewarganegaraan.

7. Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang baru ini hanya memberi kewarganegaraan kepada golongan beragama Hindu, Sikh, Buddha, Jains, Parsis dan Kristian dari Bangladesh, Afghanistan, dan Pakistan. Mereka yang beragama Islam diharamkan.

8. Secara tersirat, rancangan rejim Hindu ekstremis India pimpinan Narendra Modi ini sebenarnya berusaha untuk menjadikan India sebagai ‘negara Hindu’ (Hindu Nation), sama seperti mana sahabat baik Modi iaitu Benjamin Netanyahu yang mengisytiharkan Israel sebagai ‘negara Yahudi’ (Jewish Nation).

9. Hal ini demikian kerana jumlah penganut Hindu dari Bangladesh, Afghanistan, dan Pakistan adalah yang paling ramai bakal diberi kewarganegaraan India selepas Akta ini diluluskan.

10. Para aparatus rejim India bertindak melepaskan tembakan rambang di banyak tempat, dan seperti mana tindakan mereka ke atas wilayah Kashmir beberapa bulan lalu, perintah darurat telah dikuatkuasakan.

11. New Delhi, Mumbai, Uttar Pradesh, Karnataka, Bengaluru, Lucknow, Mangaluru, Gujerat, Assam, dan lain-lain semuanya menyaksikan kebangkitan bantahan raksasa umat Islam.

12. Tindakan India mutakhir ini jelas menunjukkan bahawa rejim ekstremis Hindu BJP cuba menggabungkan kaedah rejim Zionis Israel dengan rejim Komunis China.

13. Seperti mana Zionis Israel cuba mengepung Gaza dan Palestin melalui kaedah perundangan dan ketenteraan serta petempatan haram Yahudi Zionis, begitu juga India cuba lakukan ke atas wilayah Kashmir dan sekatan kewarganegaraan orang Islam India.

14. Seperti mana Komunis China cuba mengubah demografi umat Islam Turkistan Timur (Xinjiang) dengan mewujudkan kem-kem tahanan bersaiz raksasa, begitu juga India cuba lakukan ke atas 1.9 juta umat Islam di wilayah Assam atas dakwaan sebagai ‘pendatang haram’ susulan undang-undang kewarganegaraan zalim yang mereka luluskan.

15. Narendra Modi ialah Perdana Menteri India pertama yang melakukan kunjungan negara ke Israel pada Julai 2017. Netanyahu membalas dengan kunjungan ke India pada Januari 2018. Kedua-dua negara menaikkan taraf hubungan mereka kepada ‘kerjasama strategik’.

16. India mengimport pelbagai persenjataan dari Israel meliputi pesawat, sistem pertahanan, peluru berpandu, dan juga radar.

17. Data SIPRI Arms Transfer Database menunjukkan bahawa di bawah rejim Modi sahaja, India telah membuat tempahan import persenjataan dari Israel seperti berikut: UAV Heron bernilai lebih USD 200 juta, 131 unit peluru berpandu SAM Barak-1 bernilai USD72 juta, dan juga 2 unit sensor AWACS EL/M 2075 Phalcon bernilai USD800 juta.

18. India diketahui menggunakan persenjataan yang diperoleh dari Israel ke atas seterunya di Asia Selatan sejak 1949, iaitu Pakistan.

19. Kezaliman India ke atas umat Islam Kashmir, diikuti dengan penafian hak kewarganegaraan orang Islam yang berasal dari Bangladesh, Afghanistan, dan Pakistan serta usaha menghapuskan warisan Islam di bumi India – meletakkan rejim ekstremis Hindu India hari ini sebaris dengan rejim Zionis Israel dan rejim Komunis China yang perlu dihadapi dengan tegas oleh seluruh umat Islam.


Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo