“SAYA ada kaedah kempen sendiri,” kata calon bebas, Faridah Aryani Abd Ghaffar, 45, menjawab tentang kehilangannya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, bermula 2 November lalu.
Beliau memberi ulasan terbabit selepas dikatakan sepi dan ghaib daripada mempromosikan diri meskipun tempoh berkempen dianggap terlalu singkat bagi lima calon lain.
Kelibat ibu tunggal yang mahu memperjuangkan nasib pemandu teksi dan e-hailing itu langsung gagal dihidu pengamal media yang berkampung di Pontian sepanjang PRK berlangsung.
Bagaimanapun, beliau akhirnya membalas segala persoalan sepanjang ketiadaannya yang ‘ghaib’ dalam tempoh berkempen memasuki hari kelima hari ini.
Katanya, dia menafikan dakwaan tidak bersedia dicalonkan atau calon tangkap muat bagi menggantikan calon yang dikatakan akan bertanding iaitu Pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail.
“Dakwaan ini (tidak bersedia) tidak benar kerana saya seorang daripada tiga calon yang disenarai pendek bagi mewakili golongan B40 pada PRK kali ini.
“Walaupun saya dipilih sebagai pengganti Datuk (Shamsubahrin) di saat akhir, ia tidak bererti saya tidak bersedia kerana kami mengetahui keadaan kesihatan beliau.
“Jadi, walaupun dipilih menggantikannya pada saat akhir, ia bukanlah satu perkara yang boleh disifatkan sebagai tangkap muat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini, bagi merungkai kehilangannya.
Katanya, sudah tentu beliau bersedia menghadapi PRK, malah jenteranya juga sedang bertungkus-lumus bagi membantu menjayakan kempen PRK kali ini.
“Mungkin kempen saya tidak nampak gah seperti calon lain, tetapi saya ada kaedah berkempen sendiri.
“Saya tidak perlu terikut-ikut dengan cara calon lain berkempen,” katanya.
Ditanya berhubung dakwaan dirinya tidak sesuai bertanding disebabkan ini bukan medannya, beliau mempunyai jawapannya tersendiri.
“Sebenarnya PRK inilah medan yang paling sesuai untuk memperjuangkan golongan B40.
“Saya sendiri pernah menjadi pemandu e-hailing, malah dengan status saya sebagai ibu tunggal, saya amat faham kesukaran yang dialami golongan B40.
“Kita perlu bersuara, dan Dewan Rakyat adalah tempat yang paling sesuai untuk melakukannya,” katanya.
Meskipun PRK ini ibarat pertandingan merah dan biru (PH-BN) katanya itu hanyalah persepsi umum.
“Ini kerana saya percaya setiap calon mempunyai peluang sama rata untuk memenangi PRK ini.
“Cuma terpulang kepada calon bagaimana untuk meraih undi pengundi sepanjang dua minggu tempoh berkempen ini,” katanya.
Ketiadaan kelibat Shamsubahrin di pusat penamaan calon PRK Parlimen Tanjung Piai, terjawab apabila dimaklumkan beliau sedang dirawat di hospital kerana sakit jantung.
Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) pada saat akhir menamakan Faridah Aryani yang juga pemandu e-hailing dan juruaudit bebas sebagai calon ganti pada PRK itu.
Sementara itu, Faridah dijadualkan mengadakan sidang media khas di Anjung Budi Guest House Tanjung Piai di sini, pada 8.45 malam esok.
Suumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/11/514423/saya-bukan-calon-tangkap-muat
NOTIS:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment