NOTIS:
Punca kuasa politik umat Islam
SAAT ini, umat Islam terus dibelenggu pergolakan dalaman dan luaran sama ada di Timur mahupun di Barat.
Dalam pertembungan Turki-Syria-Kurdish masih tidak berkesudahan, Palestin dan Gaza terus disembelih Zionis, umat Islam Uighur di Xinjiang berterus-terusan menjadi mangsa kezaliman, nasib umat Islam Rohingya yang tidak terbela akibat dihalau rejim junta Myanmar dari Arakan sedikit terbela.
Sebuah negara Islam dari Afrika iaitu Gambia menyuarkan keberanian luar biasa dengan memfailkan penghapusan kaum (genosid) terhadap rejim junta Myanmar di Mahkamah Tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Meskipun begitu, langkah menggunakan saluran undang-undang tidak dipedulikan apatah lagi dicontohi oleh negara-negara yang berterusan mengerumuni umat Islam seperti serigala yang sedang meratah habuan mereka.
Ibarat undang-undang rimba, negara-negara itu terus membelakangi prinsip keadilan dan kemanusiaan.
Terkini, dilaporkan tentera Israel melancarkan serangan peluru berpandu ke atas kelengkapan ketenteraan Syria dan sekutunya Iran (Quds Force).
Ironinya, kesemua itu berlaku dalam keadaan di mana terdapatnya dua lagi pertembungan besar yang ditangguhkan oleh negara Islam: Pertama ialah Operasi Peace Spring yang menyaksikan angkatan tentera Turki merundingkan gencatan senjata dengan SDF Kurdish yang bekerjasama dengan kerajaan Syria sejak 1 Oktober lalu.
Kedua, gencatan senjata susulan pencerobohan dan penyembelihan Zionis ke atas wilayah Palestin.
Terbaru pembunuhan pemimpin kanan jihad Islami, Bahaa Abu Al Atta dalam serangan udara di kediamannya pada 13 November lalu.
Rejim Zionis pada 19 November kembali melancarkan serangan udara menyasarkan Hamas di Gaza dua hari selepas gencatan senjata berkuat kuasa.
Malaysia pula sememangnya mengutuk keras serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Langkah Malaysia yang menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan serius bagi mengakhiri pendudukan haram Israel dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka juga sememangnya amat perlu untuk terus diulangi dan digemakan.
Hal demikian kerana dasar Israel merampas tanah penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis jelas meningkat sejak beberapa tahun lalu.
Seperti mana menurut parti Pas melalui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Wisma Putra perlu menyatakan pendirian tegas ke atas satu lagi negara iaitu China.
Ia rentetan pendedahan dokumen setebal 400 muka surat melibatkan nasib golongan minoriti umat Islam Uighur oleh New York Times dan mengandungi ucapan Presiden China Xi Jinping pada tahun 2014.Pendedahan New York Times menunjukkan Jinping sendiri mengarahkan pegawainya bertindak ‘sekeras’ yang mungkin dan tanpa sebarang belas kasihan terhadap umat Islam Uighur.
Kita sebagai sebuah negara kecil yang cukup bergantung pada perdagangan antarabangsa tidak akan berupaya untuk menentang kezaliman komunis China dengan mudah.
Maka, dari segi ekonomi sama seperti mana dalam aspek undang-undang antarabangsa kita belum berada di posisi yang sewajarnya untuk menjadikan kedua-dua dimensi berkenaan sebagai punca kuasa kita di pentas antarabangsa.
Lihat sahaja bagaimana China secara menjadikan keputusan Mahkamah Tetap Timbangtara pada 2016 berkenaan Laut China Selatan sebagai tidak bermakna.
Mereka berterusan membina pulau-pulau buatan dilengkapi infrastruktur dan aset ketenteraan tanpa mempedulikan bantahan negara-negara Asia Tenggara.
Maka, kita dan para pemimpin negara Islam lain perlu bekerjasama menawarkan punca kuasa baharu kepada umat Islam.
Punca kuasa yang tidak berkiblatkan Timur mahu pun Barat.
* Abdul Muein Abadi ialah pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment