NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Tg Piai: 280 polis, pasangan undi awal esok


PONTIAN, 14 Rabiulawal 1441H, Isnin – Seramai 280 pengundi awal, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Parlimen Tanjung Piai melibatkan anggota polis dan pasangan mereka, akan mengundi esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kesemua mereka akan mengundi di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini.

"Pusat Pengundian Awal di Bangunan Perkep, IPD Pontian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas (Saluran 1) dibuka mulai 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bagi DUN Kukup (Saluran 2), waktu pengundian dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, proses pengundian awal tersebut akan disaksikan ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR.

Beliau berkata, SPR juga akan menyiarkan proses pengundian berkenaan secara langsung atau 'live streaming' menerusi Facebook SPR.

Katanya, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis.

"Pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 16 November ini, di pusat pengiraan undi berkelompok di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Pontian dan akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding serta pemerhati pilihan raya," katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Pakatan Harapan (PH) pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Calon PH, Karmaine Sardini berdepan cabaran calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; calon Gerakan, Wendy Subramaniam; Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar

- Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo