NOTIS:
Pertemuan sulit Azmin, Mahathir salahkan PKR
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berterima kasih kepada pemimpin utama parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang tidak akan membuat undi tidak percaya terhadapnya di Dewan Rakyat.
Namun, Perdana Menteri menegaskan mereka bebas untuk membuat usul undi tidak percaya atau usul undi percaya kepada dirinya kerana ia amalan demokrasi negara.
“Terima kasihlah. Kalau nak buat (undi tidak percaya), buatlah sebab kita negara bebas. Kita negara yang mengamalkan demokrasi.
“Kita boleh buat undi tidak percaya, bahkan boleh juga buat undi menyokong saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Terdahulu di Parlimen hari ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rancangan untuk membuat usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tidak pernah dibangkitkan kepemimpinan PH, walaupun wujud khabar angin mengenainya.
Spekulasi yang Ahli Parlimen PH akan membuat usul undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir tersebar kononnya Perdana Menteri perlu dipersalahkan atas kekalahan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu lalu.
Sementara itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU mengucapkan terima kasih kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan PAS akan menyokong beliau kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal Parlimen ini.
“Dulu dia tak sokong saya masa dalam UMNO. Mungkin kerana kedudukan saya sekarang, dia sokong.
“Tak apalah. Terima kasih. Sampaikan salam saya kepada beliau,” katanya sambil tersenyum.
Dr Mahathir juga menyifatkan rakyat masih mahukan beliau menjadi Perdana Menteri di sebalik kekalahan PH di Tanjung Piai.
“Mereka (PH) boleh memecat saya. Tetapi selagi tiada orang yang datang dan tumbuk hidung saya, saya fikir bukan saya, tetapi suka saya,” katanya.
Mengulas pertemuan Ahli Parlimen pembangkang dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Isnin lalu, Perdana Menteri berkata beliau menyifatkan ia mempunyai kaitan dengan krisis berlaku dalam PKR.
“Saya belum bertemu dia (Mohamed Azmin) lagi. Saya tak tahu kenapa ada mesyuarat. Tetapi ini salah PKR. Mereka patut selidik perkara ini,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment