NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Meratap petaka daripada langit sejarah!



Oleh: Dr Riduan Mohamad

Seperti babi hutan yang terlepas didalam perkebunan sayur yang segar dan malar, mereka akan terus melanggar batas-batas kesabaran ummat. Seperti " kaduk naik junjung" mereka tak peduli, merasa membusung dada dan tersanjung dengan mandraguna kuasa maka cucu cicit Min Yuen ini akan terus mendobrak kesantunan dan kesabaran ummat. Sebelum ini cuba mewajahkan MPAJA sebagai pejuang kemerdekaan, bendera berbintang lima, keinginan mengubah sejarah komunisme dan perang Pasifik dan yang terkini keizinan membawa balik abu mayat Ong Boon Hwa alias Chin Peng ke negara ini.

Siapa tokoh kontroversi ini ?perlukan berdebat panjang akan jasa tokoh Marxist ini kepada negara kita. Bangsa yang tak mempedulikan sejarah ialah bangsa yang hilang kemuliaan dan akan terus ditimpa kehinaaan, sebab itulah bangsa Tamadun tua akan terus memelihara sejarah mereka dalam bingkai kemuliaan. Chin Peng mendapat reputasi yang baik sebagai wira komunis apabila berjaya mengorganisasikan Malayan People Anti Japanese Army didalam hutan Malaya dalam era penjajahan Jepun.

Pembantaian Sook Ching diawal penjajahan Jepun telah mengorbankan 70 699 orang komuniti Cina di Malaya dan Singapura. Kesakitan etnik Cina ini berjaya dimanfaatkan oleh PKM untuk menubuhkan proksi mereka, MPAJA. British membekalkan senjata kepada Chin Peng dan MPAJA melalui Force 136 sehinggalah selesai perletakan senjata Jepun akibat tragedi Nagasaki dan Hiroshima. Saya ulang!, perletakan senjata Jepun di Malaya bukan kerana kalah bertempur dengan MPAJA dan Bintang Tiga tetapi akibat pengeboman Nagasaki dan Hiroshima.

Chin Peng dan komrade MPAJA keluar daripada hutan seolah mereka pejuang yang berjaya mengalahkan Jepun di Malaya, penguasaan MPAJA selama 14 hari keatas Malaya memberikan kesan mendalam kepada hubungan etnik Melayu dan China. Beliau juga mendapat anugerah daripada kerajaan British akibat penglibatan Bintang Tiga ini didalam hutan Malaya.

Chin Peng meraih kedudukan paling tinggi dalam organisasi Parti Komunis Malaya apabila terbongkarnya siapa Lai Teck, Setiausaha Agong PKM pasca pendudukan Jepun. Lai Teck adalah agent British yang "ditanam" didalam PKM, manakala ada pandangan kedua mengatakan beliau juga adalah agen Jepun.

Suasana ketidaktentuan dalam PKM, ditambah karisma dan kegeniusan Chin Peng maka beliau menduduki hirarki paling tinggi PKM. Parti Komunis Malaya dengan majoriti etnik Cina ini melancarkan pemberontakan bersenjata pada Jun 1948 sehingga British memperkenalkan Ordinan Darurat 1948. Chin Peng mendapat arahan khusus daripada Comintern ( communist International) untuk mmelancarkan peperangan di Malaya bagi menubuhkan Republik Komunis Malaya.

Bermulalah saat getir tanahair ini, dengan pembantaian, pembunuhan terhadap rakyat dan anggota keselamatan. Belasan ribu menggeletak hilang nyawa, serta usaha PKM merosakkan ekonomi negara ini dengan gerakan sabotaj. Kerajaan British berusaha menawarkan tangan perdamaian kepada PKM pada tahun 1955 melalui Rundingan Baling namun gagal kerana keegoan Chin Peng dan delegasi PKM. Mereka mahu bergerak secara sah dinegara ini,namun ditolak oleh kerajaan maka mereka terus mengangkat senjata memerangi pasukan keselamatan.

Berakhir darurat pada tahun 1960, Chin Peng dan komrade bintang tiga terus berada dihutan tebal Malaya, serangan gerila tetap mereka lancarkan untuk merosakkan negara ini. Pembunuhan kepada pegawai-pegawai kanan polis, merosakkan tugu negara, infiltrasi dalam organisasi umum seperti PBCUM dan lain-lain. 1989 adalah tahun mereka sepenuhnya meletakkan senjata namun ideologi komunis tidak pernah pada. Taktikalnya berubah namun racunnya tetap berbisa, bukan kepalang kesakitan yang dialami oleh para anggota keselamatan negara ini dalam tempoh lebih separuh abad ( 1948-1989).

Maestro komunisme ini telah meninggal dunia pada jam 6.20 pagi 16 September 2013 di sebuah hospital di Bangkok. Thailand adalah negara beliau bermukim akibat tak dibenarkan pulang ke Malaysia. Kematian Chin Peng diratapi oleh penyokongnya di negara ini. Malah ramai yang menuntut abu mayat Chin Peng alias Ong Boon Hwa dibawa balik ke Malaysia sebagai penghormatan, namun kerajaan BN akur dengan sensitiviti majoriti rakyat negara ini.

DAP antara yang bersungguh mahukan abu mayat petualang ini dibawa pulang ke Malaysia, mungkin kerana untuk merengkuh undi kaum Tiong Hua. Antara sosok penting DAP yang lantang menuntut abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia ialah Lim Kit Siang, Karpal Singh, Teresa Kok dan Dr P Ramasamy. Buku tulisan Chin Peng yang terkenal juga dalam diam tersebar dikalangan rakyat negara ini, " My side Of History", lagi menambah kekaguman kepada perjuangan Chin Peng dan komrad PKM.

Hari ini adalah sangat mengejutkan malah mendukacitakan ramai rakyat negara ini apabila muncul laporan bahawa abu mayat Chin Peng telah dibawa pulang ke Malaysia serta ditabur di laut berdekatan Lumut dan Sitiawan Perak dan di hutan sekitar Banjaran Titiwangsa disertai upacara peringatan Chin Peng pada 16 September yang lalu.

Kerajaan PH yang didominasi oleh DAP diminta bertangungjawab dalam isu ini, kalian sangat angkuh dan bebal sekali. Isu ini bagi penulis terkait juga dengan isu serahan gran tanah di Perak untuk kampong baru atau MinYuen yang diusahakan oleh Sir Harold Bridg pada tahun 1950, usaha memisahkan PKM dan tentera rakyat atau Min Yuen. Jika saya bekas anggota keselamatan negara, pastilah saya akan menggalang demonstrasi skala besar membantah kebebalan kerajaan PH terkait isu-isu reinkarnasi komunisme dinegara ini. Jangan kita menjadi insan yang buta akan sejarah kezaliman komunis!

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI )

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo