oleh: YB Muhammad Khalil Abdul Hadi
Mutakhir ini, mana – mana pimpinan Melayu Islam yang mempertahankan hak serta jati diri Melayu mahupun Islam pastinya akan dilabel rasis. Dengan mengutarakan kesamarataan mahupun kebebasan sebagai simbol mahupun agenda baharu negara, naratif orang Melayu Islam rasis terus diutarakan tanpa melihat kepada keadaan sebenar apa yang berlaku serta dirasai rakyat terutama orang Melayu Islam.
Perasaan serta cetusan rasa tidak puas hati orang Melayu Islam sudah umpama tidak mampu dibendung lagi. Orang Melayu Islam sudah merasakan hak serta maruah mereka umpama sedang diperkosa, dirobek serta ditolak ke tepi. Islam sekarang secara terang – terangan dihina dan dicerca serta orang Melayu merasakan hak mereka sedikit demi sedikit dirampas dan dilupuskan.
Malaysia berbeza dengan negara lain samada dari asal usul serta ketamadunannya, begitu juga dengan perlembagaan negara. Apa yang patutnya sebagai sebuah negara dan rakyat yang bertamadun ialah menerima dengan hati yang terbuka dan akur dengan perlembagaan negara iaitu hak Islam, orang Melayu dan Bumiputra serta Raja – Raja Melayu sebagaimana yang tertera dalam perlembagaan negara. Namun jika dilihat keadaan sekarang, keadaan ini semakin terancam dan menimbulkan kemarahan orang Melayu Islam.
Saya pasti pihak yang menuduh orang Melayu Islam sebagai rasis tidak pernah langsung turun ke bawah mendengar keluhan rakyat terutamanya orang Melayu Islam tentang apa yang mereka rasakan sekarang. Yang hanya mereka pentingkan ialah kajian peratusan analitik sokongan rakyat tanpa langsung mendengar secara berdepan keluhan dan rasa tidak puas hati orang Melayu Islam kerana mereka hanya fikirkan kuasa, kedudukan, darjat dan status. Jelasnya jika ini sikapnya, mereka tidak layak digelar wakil rakyat dan wajib ditolak kerana hanya duduk di sebalik meja di bilik hawa dingin.
Tidak pernah mendengar keluhan penduduk bandar yang berpendapatan rendah, orang kampung dan di luar bandar, petani dan nelayan, pekerja am, kakitangan awam dan swasta peringkat bawahan, peniaga kecil dan penjaja, penghuni PPR, kampung tersusun dan rumah kos rendah, tanyalah mereka apa yang mereka rasakan sekarang. Kerana apa perlu mendengar rintihan dan keluhan mereka ini, kerana mereka inilah kumpulan peratusan orang Melayu Islam yang terbesar dan mereka inilah yang sedang bangun menongkah arus menolak aspirasi Malaysia Baharu.
Semenjak Pakatan Harapan menjadi Kerajaan Persekutuan dengan membawa aspirasi Malaysia Baharu, orang Melayu Islam sedikit demi sedikit mula menolak agenda Kerajaan PH dan sekarang, penolakan secara total sedang berlaku. Agenda Malaysia Baharu Kerajaan PH mula membentuk naratif normalisasi kehidupan Liberal seperti homoseksualiti dan agenda kesamarataan yang tidak berpegang kepada perlembagaan dan agama Islam. Agenda Melayu dan Islam yang selama ini yang hanya berlegar dikalangan orang Melayu dan Islam diangkat untuk dibicarakan oleh umum tanpa memperdulikan sensitiviti masyarakat.
Penghinaan terhadap Melayu dan Islam sudah berani dilakukan secara terang – terangan, begitu juga terhadap Raja –Raja Melayu. Apa yang menjadi hak kepada orang Melayu dan Islam sudah mula dipertikaikan walaupun kesemuanya sudah termaktub dalam perlembagaan. Islamophobia yang sebelum ini menular hebat di luar negara sudah mula dirasai di dalam negara. Bangsa Melayu dinaratifkan sebagai perasuah dan perosak negara yang mana gambaran buruk akhirnya terpalit kepada orang Melayu Islam secara keseluruhan.
Apabila orang Melayu Islam bangkit menolak naratif jahat tersebut dan berkumpul dengan menganjurkan Kongress Maruah Melayu mempertahankan agama dan bangsa, maka ia terus dianggap rasis dan perosak keharmonian negara. Bagaimana pula dengan orang – orang mahupun kumpulan yang membangkitkan atau mencipta naratif jijik dan jahat tersebut, adakah mereka tidak rasis dan cuba mengugat keharmonian masyarkat pelbagai kaum dalam negara ?
Setelah sekian lama akhirnya terbongkar sedikit demi sedikit agenda sebenar mereka. Orang Melayu Islam yang selama ini terpengaruh dan terpedaya mula sedar dan bersama –sama bangun mempertahankan hak serta maruah Islam dan Melayu. Jika ini dikatakan rasis, bermakna mereka ini jahil dan langsung tidak berpengetahuan. Mempertahankan hak dan maruah adalah perkara yang cukup berbeza dengan bersikap rasis.
Malang sekali buat orang Melayu Islam jika percaya dan tidak tahu membezakan antara mempertahankan hak dan maruah serta bersikap rasis. Saya pasti sekarang orang Melayu Islam tanpa mengira ideologi dan fahaman sudah mula sedar dan bangun mempertahankan hak dan maruah mereka. Buat yang masih asyik dan lena sedarlah, ini bukan masanya untuk dibuai mimpi yang palsu. Orang Melayu Islam yang bingkas bangkit mempertahankan maruah dan hak tidak menuntut yang tidak masuk akal, namun hormatilah seperti apa yang termaktub dalam perlembagaan dan kontrak sosial. Usah melangkah jauh dari sempadan kerana bumi Malaysia ini bumi bertuah dan diberkati.
YB Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah AJK PAS Pusat merangkap ADUN Batu Burok.
No comments
Post a Comment