NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dakwaan PH Terengganu Tidak Berasas - Dr. Samsuri


KUALA TERENGGANU, 9 November - Desakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin supaya Kerajaan Persekutuan menyalurkan Wang Tunai Petroleum (WTP) melalui agensi Kerajaan Pusat adalah suatu tindakan yang tidak berasas.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dakwaan pengerusi itu mengenai proses agihan yang tidak adil kepada rakyat sama sekali tidak berlaku dalam pentadbiran negeri.

“Akaun kerajaan negeri bukan akaun rahsia. Perbelanjaan dan cara penggunaan kesemuanya melalui proses audit oleh agensi Kerajaan Pusat.

“Sekiranya berlaku apa-apa kepincangan dalam pengurusan kewangan, ia bukan boleh terlepas begitu sahaja. Jadi, saya tidak faham di mana kebimbangan asas dakwaan itu,” katanya.

Dr. Samsuri ditemani isteri, Tuan Faizah Ab Rahman menyampaikan sumbangan kepada ibu bayi 'Permata Maulidur Rasul'.

Beliau berkata demikian pada sidang media sewaktu menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada 44 bayi yang lahir dalam Program ‘Permata Maulidur Rasul’ peringkat Negeri Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Dr. Samsuri dalam kenyataannya turut menegaskan, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu perlu memberi penjelasan atas dakwaannya.

“Itu dakwaan yang serius dan beliau perlu tampil untuk menjelaskan dakwaan beliau, bukan hanya menyebarkan khabar angin semata-mata. Sila buat laporan atas apa yang didakwa, jangan secara semberono begini.

“Pada saya dakwaan itu tidak berasas, mengapa perlu dibuat kaedah yang baharu sedangkan kaedah yang ada sudah memadai. Di peringkat negeri, kita sentiasa terbuka sekiranya ada penambahbaikan diperlukan,” katanya.

Sumber: https://www.teganukita.net/2019/11/dakwaan-ph-terengganu-tidak-berasas-dr.html

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo