NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Amaran Kepada PH : Jangan Budayakan Arak Dalam Masyarakat


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan mutakhir pemimpin politik dari kalangan Pakatan Harapan berhubungan dengan isu arak.

Rakyat Malaysia satu masa dulu dikejutkan dengan cadangan untuk mengadakan ‘Oktoberfest’ yang secara jelas bertentangan dengan agama, akhlak dan moral serta budaya ketimuran. Begitu juga tular di media sosial pemimpin PH dengan bangga memegang gelas dan botol arak, kononnya atas dasar hak asasi manusia.

Insiden terbaru, kenyataan bahawa tiada larangan minum arak di tempat terbuka, telah menimbulkan polemik kerana ia bertentangan dengan norma tatasusila yang diamalkan di Malaysia. Kenyataan ini juga dianggap biadap dan seperti sengaja memercikkan api kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah, ayat 90 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Islam tidak pernah menghalang bukan Islam untuk mengamalkan agama dan budaya mereka. Sekali pun bukan Islam dibenarkan meminum arak, tapi bukanlah secara terbuka di tempat awam.

Cukuplah berita tentang kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk kerap terpampang di dada akhbar. Terlalu banyak kes seperti pergaduhan, keganasan rumah tangga, malah jenayah akibat pengaruh alkohol, yang tidak perlu disebutkan terperinci di sini. Berita-berita ini sepatutnya diambil iktibar dan menginsafkan kita sebagai warganegara yang prihatin.

Jika dilihat di negara lain yang majoritinya bukan Muslim, meminum arak di tempat awam adalah dilarang. Antara negara-negara tersebut ialah Kanada, Chile, Finland, Lithuania, Mexico, Norway, Poland, Russia dan Slovakia.

PAS konsisten mencegah keterbukaan dalam apa juga aktiviti yang melibatkan arak sepertimana Islam mengharamkannya. Rasulullah SAW bersada:

“Jauhilah oleh kamu semua akan arak kerana sesungguhnya ia adalah kunci segala kejahatan”. (Riwayat Baihaqi)

Rakyat Malaysia tidak boleh sekali berkompromi dengan segala aktiviti yang boleh merosakkan masyarakat, apatah lagi boleh mengakibatkan kerosakan akal atau kehilangan nyawa.

PAS memberi peringatan kepada kerajaan Pakatan Harapan tidak sekali-kali membudayakan arak dan sepatutnya mengetatkan undang-undang berkenaan arak sama ada penjualan, pembelian serta semua aktiviti melibatkan minuman keras ini.

Sayangi negara, jauhi arak.

‘Islam Memimpin Perpaduan’
‘Muafakat Nasional, Membina Malaysia Sejahtera’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
26 November 2019 | 29 Rabiul Awwal 1441

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo