NOTIS:
UM lapor polis graduan protes naib canselor di pentas konvokesyen
PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) bertindak membuat laporan polis susulan tindakan salah seorang graduan universiti itu yang memprotes kepimpinan naib canselor ketika majlis Istiadat Konvokesyen UM, semalam.
Pejabat Komunikasi Korporat UM berkata, universiti itu mengecam sekeras-kerasnya tindakan graduan berkenaan yang dilihat jelas tidak menghormati istiadat, mengganggu protokol dan kelancarannya.
“Kami kini menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan untuk tindakan lanjut yang sewajarnya diambil.
“Ia mencemarkan nama baik Universiti Malaya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, juga para graduan dan seluruh warga UM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, seorang graduan bertindak memprotes kepimpinan naib canselor selepas menerima ijazah pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-59 pusat pengajian tinggi itu.
Graduan terbabit, Wong Yan Ke berkata dia menunjukkan plakad berbunyi “Why VC must resign” (Mengapa naib canselor harus letak jawatan) di pentas konvokesyen sebagai tanda bantahan terhadap Naib Canselor Abdul Rahim Hashim.
Wong mendakwa, Abdul Rahim menggunakan nama UM untuk politik kaum dan kepentingan parti semasa Kongres Maruah Melayu dua minggu lalu.
Wong turut menjelaskan dia tidak bertindak sebarangan dan sudah mendapatkan pandangan dan nasihat pensyarah dan rakannya. Malah mendakwa pensyarah turut terkejut dengan kenyataan Rahim.
Menurut universiti itu, UM sentiasa mendukung prinsip kebebasan bersuara namun percaya setiap tindakan haruslah berlandaskan pada tempat dengan cara yang betul.
“Menjadi tanggungjawab universiti juga bagi memastikan para mahasiswa yang kami asuh dan didik bukan sahaja akan menjadi individu berpengetahuan, tetapi lebih penting lagi dapat memanfaatkan ilmu dimiliki.
“Ia adalah untuk menjadi insan terdidik dan berakhlak serta menghormati prinsip ‘kesopanan dan kesusilaan’ dan arif akan peranan dan tanggungjawab sebagai sebahagian masyarakat dan warganegara berperlembagaan,” katanya.
Majlis konvokesyen UM dirasmikan oleh Canselor Sultan Nazrin Shah Sultan Azlan Shah pada Sabtu.
Di Kongres Maruah Melayu pada 6 Okt lepas, Ketua Penganjur Zainal Kling dalam ucapannya mengingatkan kaum lain tentang kontrak sosial mereka dengan orang Melayu dan menambah Malaysia adalah negara orang Melayu sebagaimana China untuk orang Cina dan India negara orang India.
Kongres anjuran UM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diadakan di Stadium Malawati itu turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.
Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/10/15/um-lapor-polis-graduan-protes-naib-canselor-di-pentas-konvokesyen/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment