KOTA BHARU 2 Okt. - Kegagalan Kerajaan Persekutuan melunaskan janji membayar royalti petroleum kepada Kelantan menunjukkan negeri ini terus dizalimi biarpun tampuk pentadbiran negara telah bertukar tangan.
Presiden Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) Nazri Deraman berkata, nasib rakyat Kelantan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara sama sahaja seperti era Barisan Nasional (BN).
Kata beliau, pembayaran tetap tidak berlaku walaupun janji untuk membayar royalti petroleum kepada negeri ini dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan perkara itu turut terkandung dalam menifesto PH.
"Sebaik sahaja PH membentuk Kerajaan Persekutuan, pelbagai kenyataan media dibuat oleh pimpinan menyatakan kesediaan untuk menjelaskan bayaran royalti, namun sehingga kini setelah memerintah hampir dua tahun, janji tersebut tinggal janji kosong yang tidak pernah ditunaikan.
"Pada peringkat awal peralihan kuasa dan pembentukan kerajaan, kami meletakkan harapan yang cukup tinggi agar diberikan sedikit keadilan untuk rakyat Kelantan.
"Pelbagai alasan teknikal yang sebenarnya alasan politik digunakan untuk menghalalkan kezaliman dan penafian tersebut," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Nazri, semua langkah telah diambil oleh pihak kerajaan Pas Kelantan seperti mengadakan rundingan, pertemuan dan membatalkan saman terhadap Petronas serta Kerajaan Persekutuan sebagaimana diminta namun hak rakyat negeri ini masih dinafikan.
Beliau berkata, pada 7 Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah membuat kenyataan bahawa Kerajaan Persekutuan akan membayar royalti minyak kepada negeri ini selepas selesai prosiding penarikan balik saman terhadap Petronas dan kerajaan Pusat selesai.
"Terbaharu (pada 18 September 2019) jawapan dari Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan masih tidak membuat sebarang keputusan berhubung pembayaran royalti petroleum untuk Kelantan.
"Beliau menjawab kenyataan Datuk Mohd. Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan yang menyatakan bahawa pembayaran royalti tersekat di peringkat Kementerian Kewangan walaupun Perdana Menteri difahamkan telah mengarahkan pembayaran dibuat," katanya.
Menurut Nazri, seluruh rakyat Kelantan mengikuti perkembangan isu tersebut secara dekat dan antara menjadi persoalan, apakah sebenarnya yang berlaku sedangkan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi sudah beberapa kali memberikan jaminan akan menjelaskan bayaran royalti.
"Kenapa Kementerian Kewangan seakan-akan membuat kenyataan sebaliknya? Rakyat Kelantan menuntut jawapan yang pasti apakah hasil kajian Jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan?
"Nampaknya Kerajaan PH seakan-akan menjadi penerus kezaliman dan penafian hak rakyat Kelantan. Tindakan tersebut akan menyebabkan rakyat akan bangkit sekali lagi bagi memperjuangkan hak kami," katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments
Post a Comment