NOTIS:
PAS tolak Anwar terima Mahathir, Kenapa?
KUALA LUMPUR: PAS berpendirian menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad demi memastikan kerajaan membuat dan melaksanakan dasar yang menguntungkan negara serta mensejahterakan rakyat.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad menjelaskan, menyokong Tun dan menyokong kerajaan adalah dua perkara berbeza di mana sikap PAS itu mesti difahami dari prinsip dan konsep politik dipegangnya.
Terang beliau, Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) digagaskan telah meletakkan PAS terbuka untuk menyertai sebarang medan yang tujuannya dapat memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.
Bahkan terdahulu menurutnya, PAS bersikap lunak kepada Kerajaan BN dengan memberikan pandangan-pandangan untuk kepentingan rakyat dan kini legasi sama diteruskan pula kepada kerajaan pimpinan Tun Mahathir.
"Kami melihat, Tun perlu diberi tempoh sewajarnya untuk memerintah negara supaya pentadbiran ini berjalan lancar. Sekarang inipun kita tengok macam-macam masalah. Belum lagi (sekiranya) berlaku pertukaran kerajaan.
"Menteri-menteri Kabinet disingkirkan, diambil Menteri baru; akan berlaku pertembungan antara Ahli-ahli Parlimen, Menteri-menteri Kabinet ini yang seterusnya membawa kesan buruk kepada rakyat.
"Maka, kami mahu supaya kerajaan yang ada ini teruskan selama sepenggal di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir," ujarnya ketika ditemubual Pertiwi TV, di sini baru-baru ini.
Manakala konteks sokongan PAS kepada Tun sebagai individu pula jelas Kamaruzaman, adalah kemungkinan sekiranya berlaku undi tidak percaya kepada beliau, sekali gus bermakna Perdana Menteri turun dipertengahan penggal.
Sehubungan itu tegasnya, PAS menolak bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim dan menganggap pembubaran Parlimen untuk diadakan pilihan raya baharu menyebabkan negara terus menanggung kos akibat dari nafsu politik itu.
"Kita melihat, lebih banyak keburukan akan berlaku. Apabila seorang ketua turun sebelum masanya, dilantik Perdana Menteri baru, pasti akan berlaku reshuffle Kabinet, bermakna berlaku juga pertukaran jentera kerajaan.
"Ini akan mengganggu kelancaran jentera kerajaan yang ada dan mungkin akan membawa kepada kerajaan yang tidak seimbang, tidak baik," ujar beliau yang turut membandingkan Tun Mahathir dan Anwar dalam beberapa isu.
Antara Mahathir - Anwar
Bentangnya, Tun Mahathir memberi pandangan yang baik dalam isu khat Jawi, tetapi Anwar tidakpun bersuara, manakala dalam isu ICERD; Tun menegaskan ia dibatalkan, sedang Anwar mencanggah mendakwa hanya ditangguhkan.
Begitu juga katanya, Tun Mahathir mengarahkan proses tandatangan Statut Rom dibatalkan, tetapi pelobi-pelobi yang cenderung kepada Anwar mahu supaya diteruskan di mana memperlihatkan banyak pertembungan keduanya.
Kata Kamaruzaman, ini bermakna Tun Mahathir dilihat lebih baik membela Islam-Melayu untuk terus dipertahankan memimpin kerajaan berbanding Anwar yang dilihat ghairah mengatur untuk mengambil alih kerajaan.
"Kita perlu realistik. Memang kita nak bawa Islam. Tetapi dalam Islam, ada konsep Akhafu Dharurayn. Itu di antara dua mudarat, kita perlu memilih mudarat yang lebih kecil. Kalau kita kata kita nak bawa agenda, memang PAS bawa agenda untuk Islam memimpin.
"Tetapi dalam konteks sekarang, dengan jumlah kerusi yang ada, dalam kemenangan yang telah diperolehi pihak PH, adakah Islam boleh memimpin sekarang? Kita melihat Tun pun sehingga sekarang, dia lebih lunak terhadap Islam Melayu berbanding dengan group Anwar Ibrahim.
"Jadi, dalam konteks ini, sekarang ini, pertembungan dua kumpulan dalam Kerajaan PH, bukan pertembungan di antara Islam dengan bukan Islam, cuma pertembungan di antara siapa yang lebih baik Islamnya, di antara keduanya. Siapa yang lebih lunak pandangan mereka, dasar mereka terhadap Islam.
"Jadi, dalam konteks ini, kami melihat bahawa pandangan Tun Dr Mahathir dan pasukannya dilihat lebih lunak dan lebih baik terhadap Islam berbanding dengan pasukan Dato' Seri Anwar Ibrahim terhadap Islam dan juga terhadap Melayu," jelas beliau. - HARAKAHDAILY 25/9/2019
Sumber: https://www.harakahdaily.net/index.php/berita/13275-kenapa-pas-terima-mahathir-tolak-anwar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment