NOTIS:
Parti politik perlu buat pertimbangan menyeluruh - Dr Sam
KUALA TERENGGANU 2 Okt. - Mana-mana parti politik yang ingin meletakkan calon berumur 18 tahun dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai perlu membuat pertimbangan menyeluruh dan mempunyai objektif di sebalik pemilihan individu berkenaan.
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam mencari individu terbaik sebagai wakil kepada sesebuah komuniti, ia bukan sekadar langkah populis untuk mencari seseorang yang popular semata-mata.
"Kita bukan memilih pengerusi kelab atau wakil persatuan, tetapi seorang wakil rakyat yang perlu memberi servis di samping mampu berkomunikasi dengan pelbagai latar masyarakat.
"Di pihak PAS kita belum lagi berhasrat untuk meletakkan calon sedemikian, namun kalau parti lain hendak buat terpulang kepada mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dalam sidang akhbar mengumumkan calon berusia 18 tahun dibenarkan bertanding dalam PRK Parlimen Tanjung Piai berikutan pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 47 berkaitan perubahan had umur calon dari 21 tahun dikurangkan kepada 18 tahun sudah diwartakan dan dikuatkuasakan.
Bagaimanapun, Azhar dilaporkan berkata, kelayakan calon berumur 18 tahun untuk layak bertanding dalam PRK yang ke-9 selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu akan ditentukan oleh pegawai pengurus pilihan raya pada hari penamaan calon 2 November ini.
PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November manakala pengundian awal pada 12 November ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, SPR juga perlu melihat secara lebih mendalam dari aspek undang-undang bagi memastikan tiada sebarang isu berbangkit membabitkan calon berusia 18 tahun tersebut. - UTUSAN ONLINE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment