NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengapa Jemaah Menteri Tidak Hadir Berjemaah? – Syahir Sulaiman



Waktu Pertanyaan Menteri.

Pada setiap hari Selasa dan Khamis, Parlimen memperuntukkan masa yang khusus untuk Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat bermula jam 10 pagi.

Sesi MQT selama 30 minit ini diadakan sebelum bermulanya sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Parlimen, membolehkan persoalan isu mendesak dan mutakhir dijawab terus oleh Menteri yang berkaitan.

Tempoh masa yang diberikan kepada Ahli Parlimen untuk mengemukakan pertanyaan dihadkan kepada 1 minit, dan Menteri akan menjawab dalam masa 3 minit. Setiap Ahli Parlimen boleh mengemukakan pertanyaan sehari sebelum sesi MQT bermula, dan notis Aturan Mesyuarat akan dikeluarkan sehari sebelumnya.

Ini bermakna, sekalian Jemaah Menteri sudah sedia maklum akan ketetapan waktu di Parlimen bagi membolehkan mereka menghadiri sesi MQT dan Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada waktu pagi, selain mengikuti sesi perbahasan rang undang-undang yang bersambung sehingga waktu petang.

Parlimen tidak cukup korum.

Sebelum ini sudah terjadi beberapa insiden ketidakhadiran Ahli Parlimen di pihak Kerajaan dan Pembangkang ketika sesi perbahasan, sehingga memaksa loceng Dewan Rakyat dibunyikan menandakan korum kehadiran minima 26 orang Ahli Parlimen tidak mencukupi.

Terbaharu insiden ini berlaku pada hari Khamis 17 Oktober, sehingga memaksa sesi perbahasan Belanjawan 2020 tidak dapat diteruskan buat sementara waktu.

Menurut Ketua Pembangkang, insiden tersebut adalah amat memalukan, “Apa yang terjadi hari ini adalah sejarah hitam buat Parlimen apabila tidak cukup korum untuk bersidang, Menteri Kewangan tidak ada, timbalannya pun tidak ada, sedangkan ini perbahasan yang amat penting iaitu tentang bajet”.

Kejadian ini mengundang persoalan di kalangan rakyat, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi negatif dan cadangan untuk mengelak daripada berulang, antaranya meminta agar nama Ahli Parlimen yang kerap ‘ponteng’ dipamerkan, atau dipotong elaun mereka.

Menteri ‘sibuk’ berjemaah?

Lebih mengejutkan apabila insiden yang sama hampir berulang di mana jelas kelihatan ‘ketidakhadiran’ Menteri dan Timbalan Menteri di Parlimen ketika Perdana Menteri menjawab pertanyaan dalam sesi MQT pada hari Selasa 22 Oktober, kecuali ditemani oleh Timbalan Perdana Menteri sahaja.

Perkara ini turut menimbulkan rasa tidak puas hati oleh Perdana Menteri.

Dimaklumkan hal ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan Perdana Menteri telah memberikan amaran kepada Menteri dan Anggota Parlimen PH supaya hadir ke Parlimen semasa perbahasan, walaupun sibuk dengan jadual mesyuarat dan program yang padat.

Persoalannya, adakah ketidakhadiran sekalian Jemaah Menteri secara ‘berjemaah’ ini adalah suatu kebetulan yang tidak disengajakan, atau suatu perancangan yang disengajakan untuk menghantar ‘isyarat’ tertentu kepada Perdana Menteri?

Pastinya ada sebab dan alasan di sebalik setiap kejadian, namun perlu diingatkan bahawa tugas hakiki seorang Ahli Parlimen adalah sebagai penggubal undang-undang (legislator) yang diberikan kerusi bagi mewakili suara rakyat di dalam Dewan yang mulia, maka di situlah tempatnya yang perlu diberikan keutamaan.

Benarlah pesanan Sultan Muhammad V ketika memulakan ucapan perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-14, dengan ungkapan yang masyhur;

“Sila Duduk dan Jangan Lari”.

- Syahir Sulaiman, Catatan Bangunan Parlimen, 23 Oktober 2019

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo