NOTIS:
LTTE Adalah Pengganas, Bukan Kumpulan Pejuang Hak Etnik
KUALA LUMPUR – Kumpulan pemberontak Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dikategorikan kumpulan pengganas dan bukannya entiti memperjuangkan hak kaum Tamil di Sri Lanka atau sebagainya, kata polis hari ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata gambar-gambar dipamerkan adalah gambar LTTE dan polis akan terus jalan siasatan.
“Kita tidak boleh bandingkan Malaysia dengan negara lain. Kita ada undang-undang kita sendiri.
“LTTE sudah disenarai sebagai kumpulan pengganas sejak 2014. Bukan Malaysia sahaja tetapi di Amerika Syarikat, India dan Sri Lanka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kenyataan beberapa pimpinan DAP dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berhubung LTTE semalam.
Semalam, polis menahan tujuh orang termasuk dua ADUN DAP, dikaitkan dengan usaha pihak yang mahu menghidupkan semula LTTE di Malaysia.
Ramasamy percaya penahanan dua ADUN DAP di Negeri Sembilan dan Melaka mungkin dibuat atas desakan penyokong penceramah kontroversi dari India, Dr. Zakir Naik.
Beliau mendakwa Naik dan pengikutnya berusaha habis-habisan untuk merosakkan namanya dengan menggelar sebagai pengganas dan menggunakan semula gambar lamanya menyertai misi damai ke Sri Lanka 10 tahun lalu.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula mempersoalkan kenapa ahli LTTE tidak dianggap “pejuang kebebasan” di Malaysia sama seperti pejuang hak Palestin.
Ketika ditanya sama ada Ramasamy akan dipanggil polis, Ayob berkata, tunggu dan lihat.
“Cukup bukti kita akan ambil (tindakan),” kata beliau.
Ayob berkata pandangan-pandangan pimpinan DAP yang menganggap LLTE bukan pengganas itu disifatkan sebagai pandangan peribadi dan hak mereka.
Tegas beliau, jika didapati mempromosi, menyokong dan memberi dana kepada kumpulan LTTE adalah salah dan akan diambil tindakan
“Bagi pandangan peribadi tak ada isu tetapi jangan promosikan.
“Individu terlibat dalam kesalahan kita ambil tindakan,” katanya.
Kata Ayob lagi, polis ada masa 28 hari untuk membuat siasatan lengkap dan akan menghantar kertas siasatan kepada pihak Jabatan Peguam Negara.
“Biar Jabatan Peguam Negara tentukan cukup atau tidak cukup untuk tuduh. Bagi kami biar polis jalankan siasatan dulu,” katanya.
Ayob berkata kenyataan-kenyataan berkenaan LTTE boleh menjejaskan siasatan polis dan persepsi masyarakat.
“Kalau ada bukti-bukti lain individu terlibat kita akan ambil tindakan susulan,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment