NOTIS:
Kongres Maruah Melayu seperti iyakan naratif Melayu tercabar'
Penganjuran Kongres Maruah Melayu yang dijadual Ahad ini, seolah-olah mengiyakan naratif Umno dan PAS bahawa selama ini maruah masyarakat Pribumi itu tercabar.
Menurut pensyarah dan penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor, penganjuran seumpama itu mungkin memanjangkan lagi naratif “Melayu terancam” yang dibangkitkan selama ini.
“Sedikit sebanyak, ia seakan-akan membenarkan, mengiyakan bahawa maruah Melayu tercabar.
“Malah pada kali ini tidak dibuat oleh pembangkang, tetapi oleh badan pemikir Melayu, pihak universiti dan nampaknya seperti diiktiraf oleh parti pemerintah.
“Jadi ini memberi kesan kepada penerusan naratif Melayu yang terancam yang sebenarnya bukan bermula pada hari ini atau tahun lepas, (tapi) telah dibawa sejak pilihan raya umum (PRU) 2008 lagi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Kongres Maruah Melayu merupakan anjuran Pusat Kecemerlangan Melayu Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Setakat ini, selain Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengesahkan kehadiran dan akan menyampaikan “amanatnya”, turut sedia berada di pentas yang sama adalah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Ketua eksekutif sekretariat kongres itu Dr Zainal Kling berkata, kongres tersebut dianjurkan sebagai jawapan kepada pihak yang mencabar kedudukan Melayu di negara ini dengan merendahkan dan mempersoalkan kedudukan Melayu dan Islam, raja-raja, bahasa kebangsaan dan juga isu-isu kebudayaan.
Tambah Nadzri, penganjuran kongres itu menunjukkan pemikiran berasaskan etnik masih tinggi di kalangan rakyat, baik di kalangan orang Melayu mahupun kaum lain, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Kongres itu, katanya, pasti menggusarkan sesetengah bukan Melayu memandangkan ia melibatkan himpunan besar-besaran dan membawa idea bahawa maruah Melayu tercalar.
Apatah lagi katanya himpunan itu turut membabitkan agensi kerajaan.
Mengulas lanjut, Nadzri berpendapat kerajaan kini masih tidak berjaya membina naratif masyarakat Malaysia dalam kerangka baru, dan masih terperangkap dengan pemikiran lama yang memecahbelahkan masyarakat pelbagai kaum.
'Mampu beri kesan kepada Umno, PAS jika lebih progresif'
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata kongres itu mampu mengangkat isu-isu dihadapi orang Melayu seperti pendidikan, ekonomi serta cabaran baru seperti IR4.0 dan ekonomi digital.
Malah Azizuddin melihat kongres itu mampu memberi kesan terhadap naratif ketuanan Melayu yang dibawa Umno dan PAS jika membawa isu lebih progresif.
“Sama ada ia beri kesan kepada naratif Umno dan PAS, boleh jadi, sekiranya naratif yang dibawa kongres ini lebih moderat, progresif dan betul-betul membicarakan isu masa depan politik, ekonomi, dan sosial orang Melayu, bukan semata-mata sentimen seperti yang dibawa oleh PAS-Umno.
"Kita tak mahu Melayu didedahkan isu remeh temeh dan kuno sifatnya. Melayu perlu lihat ke hadapan, bukan ke belakang,” katanya kepada Malaysiakini.
Justeru, beliau berkata tiada salahnya penganjuran program sedemikian asalkan ia tidak meniup semangat perkauman atau menghina kaum lain, serta meminta orang bukan Melayu agar tidak berasa bimbang dengannya.
Malah, beliau berpendapat semua parti patut hadir dan mendengar apa yang bakal dibangkitkan dalam kongres itu nanti.
Kongres yang dijadual berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam itu dikatakan akan membincangkan permasalahan orang Melayu melibatkan aspek pendidikan, agama, budaya, politik dan ekonomi.
Disoal ramalannya tentang pengisian kongres- sama ada bersentimen perkauman- Azizuddin lebih selesa mengambil pendekatan “tunggu dan lihat”.
“Memandangkan kongres ini dianjurkan oleh universiti-universiti, jadi ada elemen intelektual yang akan diperbincangkan, bukan sentimen politik sempit yang dibawa.
“Tapi kalau isu sentimen yang dibawa kongres, maksudnya Melayu akan terus ketinggalan,” katanya lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment