NOTIS:
Graduan perlu ambil peluang guna platform e-dagang
SERDANG: Graduan disaran mengambil peluang menjadi ‘orang tengah’ menerusi platform perdagangan yang disediakan oleh syarikat-syarikat e-dagang.
Timbalan Setiausaha Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Kamel Mohamed berkata, graduan yang berminat dalam bidang keusahawanan tidak perlu menunggu untuk menghasilkan produk sendiri.
Sebaliknya, jelas beliau, kapasiti teknologi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan yang telah disediakan oleh syarikat seperti Ali Baba perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Jadi, salah satu yang kementerian mahu lihat adalah penambahbaikan dalam program yang kita anjurkan, di mana tenaga pengajar dan pengarah pusat keusahawanan tidak seharusnya menumpukan kepada usahawan-usahawan yang ada produk sahaja.
“Sebenarnya platform di luar sudah banyak dan sememangnya ada ramai pelajar yang menggunakan platform seperti Lazada dan Ali Baba (untuk memasarkan produk mereka).
“Jadi, saya rasa itu satu peluang kepada graduan yang ingin memulakan platform (perniagaan) sendiri,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran Bulan Keusahawanan Siswa 2019 di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.
Turut hadir Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datin Paduka Dato Dr. Aini Ideris.
Program tersebut bertujuan menerapkan nilai dan budaya keusahawanan dalam menganjakkan minda pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) daripada pencari pekerjaan kepada penjana pekerjaan.
Jelasnya, platform-platform e-dagang yang sedia ada itu turut berfungsi sebagai one-stop solution centre dalam mendapatkan akses dan peluang dalam bidang perniagaan.
Sementara itu, Dr. Aini berkata, graduan pada masa kini perlu memiliki kemahiran tambahan sebagai ilmu yang boleh diaplikasikan pada masa depan.
“Mereka perlu lebih kreatif untuk mengaplikasi apa yang dipelajari dan menambah ilmu dalam bidang bersesuaian supaya lebih berdaya saing dalam pasaran kerja.
“Pendedahan pelbagai ilmu serta kepakaran teknikal yang relevan dan sesuai untuk meningkatkan nilai tambah dalam diri mereka termasuk ilmu keusahawanan,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment