NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Catatan Panas dari Parlimen: Apabila Timbalan Menteri PAN Digelar Menteri Cap Ayam



1. Suasana di dalam Dewan Rakyat pada petang tadi begitu hangat sekali walaupun cuaca hujan lebat di luar ketika itu.Dewan menjadi kecoh apabila tiba giliran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB PAN Sepang membuat penggulungan RUU Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan).

2. RUU ini merupakan cubaan kali kedua Kerajaan PH yang begitu bersungguh mahu menghapuskan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018.
Cubaan kali pertama tahun 2018 dulu sudah gagal kerana ianya tidak diluluskan di Dewan Negara.
Mengikut perlembagaan, selepas setahun barulah RUU yang sama dapat dikemukakan semula ke Dewan Rakyat.

3. Ahli Parlimen BN dan PAS senada menentang usaha Kerajaan PH memansuhkan akta tersebut kerana kami berpendirian undang-undang itu perlu untuk memerangi berita palsu pada era media sosial serba bebas ini.
Mengapa PH mahu memansuhkan undang-undang itu.?
Oh, mereka memang sukakan fitnah dan berita palsu, ianya menjadi modal percuma dan senjata bagi menjana kemenangan PH.

4. Timbalan Menteri PAN pada petang tadi diasak dan digasak dengan begitu hebat oleh barisan Pembangkang.
Sebenarnya itulah yang selayaknya dia dapat kerana dia bukannya mahu menggulung tetapi memprovokasi.
Ucapan jawapannya lebih kepada mahu memperli,mengata dan mengkeji PAS dan UMNO.

5. Dia gagal menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Pembangkang lalu memperlekeh orang lain, seolah dirinyalah yang paling cerdik dan pandai undang-undang di dunia ini.
Dewan kecoh dan bingit hampir 1 jam sehingga timbul cadangan daripada YB Kubang Kerian, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim agar Timbalan Menteri PAN itu menamatkan terus penggulungan, jawapan diberikan secara bertulis dan terus buat undian.

6. Namun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato' Rashid masih memberikan peluang untuk dia meringkaskan penggulungan.
Amat malang sekali, Timbalan Menteri PAN itu masih tidak serik, dia meneruskan provokasi dengan mendakwa PAS pula sebagai Ejen Fitnah.
Dia berkata bukti kepada tuduhan PAS mendapat wang RM 90 juta ialah PAS menarik balik saman di London.

Lantas, sekalian Ahli Parlimen PAS dan BN bingkas bangun beramai-ramai mengecam Timbalan Menteri PAN yang sudah tidak keruan dan tentu hala tatkala dikecam teruk.

7. Aduh, kelakar sungguh.
Itu sahajakah taraf bukti yang ada pada seorang Timbalan Menteri.?
PAS menjadi mangsa fitnah yang kejam itu semenjak sebelum PRU 14, PH yang sudah pun berkuasa sehingga kini masih gagal mengheret mana-mana pemimpin PAS ke mahkamah atas dakwaan menerima rasuah.

8. Bangun pula YB UMNO Padang Terap menegur gelagat provokasi oleh Timbalan Menteri PAN ini. Dia berkata Ahli Parlimen Pembangkang boleh hormat Menteri lain yang bersikap profesional, menjawab dengan baik tetapi Timbalan Menteri PAN ini "kami boleh panggil Cap Ayam je tau"..

9. Suasana dewan terus panas apabila asakan demi asakan begitu kuat dizahirkan. Ahli Parlimen Pembangkang tegas mendesak agar Timbalan Menteri PAN itu duduk sahaja tanpa perlu meneruskan ucapan provokasinya itu.

10. Akhirnya, dewan menjadi tenang semula apabila dia menamatkan ucapannya dan pengundian belah-bahagian pun dibuat.

Kasihan melihat gelagat Timbalan Menteri PAN yang sering bersikap angkuh ini. Apabila buku bertemu dengan ruasnya, mendapatlah dia hasil daripada kelancangan mulutnya sendiri.
Tahniah, inilah standard Menteri dan Timbalan Menteri PH yang amat dibanggakan oleh sekalian juaknya.

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
10 Oktober 2019

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo