NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bajet 2020: 7 Ironi Dalam Belanjawan Kerajaan PH


IRONI adalah suatu tindakan bersifat berlawanan atau keadaan yang bertentangan antara apa yang dirancang dengan apa yang dilakukan.

Demikian jugalah gambaran umum yang boleh dirumuskan daripada #Belanjawan2020 yang dibentang oleh YB Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam.

Dalam keadaan ekonomi negara yang semakin parah dengan kedudukan tercorot pasaran saham negara berbanding dengan pasaran dunia, kemasukan pelaburan asing yang meruncing, kejatuhan berterusan nilai matawang negara, kadar pengangguran yang meningkat, hutang negara yang bertambah dan pelbagai indikator ekonomi yang tidak memberangsangkan, #Belanjawan2020 pada awalnya diharapkan dapat menyuntik stimulus penting untuk merangsang kembali ekonomi negara dengan apa yang diistilahkan oleh pakar-pakar ekonomi sebagai ‘counter cyclical measures’.

Namun apa yang terzahir daripada pembentangan semalam selain masih terbelenggu dengan sikap ‘menyalah’ kepada kerajaan terdahulu, dan masih tidak ‘move on’ atau bergerak ke hadapan terutamanya untuk melunaskan janji-janji manifesto yang terlalu banyak tidak ditunaikan, banyak pendekatan kerajaan PH dalam belanjawan kali ini bersifat ironi.

Antara 7 ‘ironi’ besar yang dapat disenaraikan adalah:

(1) Sandiwara kerajaan PH yang sejak dari awal kononnya bertekad mahu menurunkan jumlah hutang negara yang dicanangkan telah mencapai lebih RM1 trilion sehingga melancarkan Tabung Harapan untuk menagih simpati rakyat dengan kutipan lebih RM202 juta. Namun, ironinya YB Menteri Kewangan mengumumkan kelmarin hasrat kerajaan untuk menambah hutang dengan menerbitkan lagi Bon Samurai yang baharu.

(2) Hampir 1/4 isi ucapan Belanjawan 2020 mengandungi pelan pembinaan kapasiti dan ekosistem Ekonomi Digital bagi negara. Pelbagai insentif, geran, bantuan pinjaman dan dana padanan berjumlah berbilion ringgit disediakan oleh Kerajaan bagi usaha ini sehinggakan setiap rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan yang berpendapatan tahunan RM100,000 bakal menerima RM30 di dalam bentuk e-dompet (e-wallet). Ironinya pada masa sama, kerajaan pentadbiran PH mengumumkan akan mula melaksanakan Cukai Digital pada 1 Januari 2020. Cukai ini pastinya boleh melambatkan usaha kerajaan mencapai sasaran Ekonomi Digital Belanjawan 2020.

(3) Kerajaan PH juga mencanangkan pembangunan seimbang akan dilaksanakan di antara bandar dan luar bandar bagi merapatkan jurang pendapatan kalangan rakyat di kedua-dua segmen geografi. Ironinya, YB Menteri Kewangan hanya mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum sebanyak RM100 dari RM1,100 kepada RM1,200 sebulan pada tahun 2020 bagi mereka yang bekerja di wilayah bandar-bandar utama sahaja.

(4) Dalam Belanjawan 2019, Kementerian Pengangkutan melancarkan Pas Pengangkutan Awam 30 Hari Tanpa Had bernilai RM100 bagi menggalakkan rakyat untuk menggunakan perkhidmatan ini. Ironinya, Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar yang diumumkan pada #Belanjawan2020 sebanyak RM2.2 billion akan dinikmati sebahagian besarnya pemilik kereta. Jadi apakah usaha untuk mengarusperdanakan pengangkutan awam sebagai pilihan utama akan tercapai, tambahan pula kesan domino daripada pengapungan harga minyak akibat subsidi yang dimansuhkan pasti akan meningkatkan kos pengangkutan awam pada masa depan.

(5) Sandiwara PH sebelum PRU14 seringkali menggambarkan mereka sebagai pejuang untuk mengembalikan pemilikan hartanah negara. Bahkan Tun Mahathir sendiri telah memvideokan drama sadis pada waktu itu apabila beliau turun ke Forest City di Johor dan melabelkannya sebagai projek menjual hartanah negara kepada warga asing dari China. Ironinya, dalam #Belanjawan2020 kerajaan PH sengaja menurunkan lagi nilai ambang (minimum price) bagi hartanah jenis kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar dari RM1 juta kepada RM600,000 bagi mempermudahkan lagi pemilikan asing terhadap hartanah dalam negara.

(6) Dalam #Belanjawan2020, kerajaan PH memperuntukkan RM138 juta untuk pembangunan belia negara. Ironinya, kerajaan tidak menyalurkannya kepada badan rasmi belia dan orang muda iaitu Majlis Belia Malaysia yang memayungi 40 badan-badan gabungan belia dengan ribuan cawangan seluruh Malaysia sebagaimana yang sudah termaktub dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007. Sebaliknya hendak disalurkan kepada entiti yang baru ditubuhkan Kelab Pemuda Belia (YPC) yang terjerat dengan kontroversi baru-baru ini kerana penggeraknya dilantik dari kalangan pimpinan Pemuda ARMADA PPBM.

(7) Dalam #Belanjawan2020 RM6.5 billion diperuntukkan untuk mencipta 350,000 pekerjaan dalam tempoh waktu 5 tahun (bukan 1 juta sebagaimana janji manifesto PH) dengan memperkenalkan insentif gaji sebanyak RM500. Ironinya, RM500 ‘tambahan’ kepada gaji graduan yang menerima tawaran pekerjaan selepas menganggur lebih 12 bulan itu bukanlah tunai yang boleh dibelanjakan tetapi akan dikreditkan ke dalam KWSP. Perlaksanaan #GraduanKerja ini pastinya diragui kerana prosedur ketat caruman KWSP tentu sekali akan merencatkan keberkesanan perlaksanaannya.

Tuntasnya Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia masih beranggapan bahawa #Belanjawan2020 adalah lebih berorientasikan politik semata-mata, malah kerajaan PH masih tidak boleh bergerak ke hadapan dan masih terbelenggu dalam jerat pemikiran ‘pembangkang’ yang hanya pandai mengkritik dan meletakkan segala-gala kesalahan kepada kerajaan terdahulu.

Banyak pendekatan populis jangka pendek yang difokuskan berbanding memanfaatkan peluang yang ada untuk melakukan reformasi struktur ekonomi dengan lebih berani yang boleh menjana kembali ekonomi negara.

Antara yang sepatutnya diberikan fokus termasuklah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berpendapatan dan berkepakaran rendah, meningkatkan kapasiti pekerja tempatan berkemahiran, meneroka bidang ekonomi baru yang lebih kreatif dan berinovatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada industri lama yang makin tidak kompetitif di pentas perdagangan antarabangsa, dan memberi penumpuan kepada aspek penyelidikan dan pembangunan RnD bagi mentransformasi kaedah operasi kebanyakan industri utama negara seperti perladangan dan perkhidmatan.

*Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo