NOTIS:
Agih Bajet Secara Adil , Jangan 'Double Standard' - Abdul Hadi
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Kerajaan Pusat dinasihatkan supaya mengagih belanjawan 2020 secara adil kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira sebarang kepentingan.
Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, konsep keadilan yang sebenar boleh menyatukan hati setiap masyarakat dalam negara ini.
Jelasnya, keadilan sebenar bukan hanya persamaan sahaja tetapi mengikut Islam, ia bermaksud meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.
“Bukan sekadar meletak secara pengagihan sama rata sebagaimana difahami oleh saki-baki pemikiran komunis-sosialis.
“Tetapi mestilah saksama, perlu menyelesaikan masalah penyusunan masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah dahulu yang ingin mewujudkan adu domba antara kaum, bandar dan luar bandar, Malaysia Timur dan Barat, Pantai Timur Semenanjung dan Pantai Barat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, sikap yang ditunjukkan terhadap negeri Pantai Timur dalam isu pembayaran royalti petroleum ternyata pilih kasih (double standard).
Katanya, sikap yang bertujuan untuk ‘menggoda’ Malaysia Timur dan ‘menindas’ Pantai Timur itu secara tidak langsung menunjukkan tiada kesaksamaan Kerajaan Pusat dalam mengagih bajet.
“Perbezaan kedudukan antara miskin bandar adalah berbeza dengan miskin luar bandar. Walaupun jumlah bantuannya sama, tetapi keperluan dan pulangannya tidak sama.
“Belum lagi dikira jumlah yang jauh berbeza dan kebolehan yang tidak sama, termasuk kemudahan juga berlainan. Begitu juga kos sara hidup, tahap pendidikan, pengalaman dan hal-hal yang lain.
“Dalam lapangan dunia yang berkonsepkan liberal kapitalisme, sistem ekonomi bebas yang wujudnya perlumbaan dan persaingan tanpa kawalan yang sistematik, menjadikan kekayaan itu berpusing dalam kalangan kelompok tertentu sahaja,” tambah beliau.
Perbahasan belanjawan 2020 yang memasuki hari kedua hari ini menyaksikan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Ahli Parlimen Marang mengambil bahagian dalam sesi tersebut bagi menyatakan pandangan.
Sumber: https://www.teganukita.net/2019/10/agih-bajet-secara-adil-jangan-double.html?m=1
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment