TARIKH 6 Oktober 2019 menandakan genapnya 46 tahun peristiwa bersejarah Perang Ramadan berlangsung di Asia Barat.
Perang yang turut dikenali sebagai Perang Yom Kippur itu mungkin bertempat di wilayah Asia Barat – namun banyak implikasi serta pengajarannya kepada kita di Malaysia dan Asia Pasifik hari ini dan akan datang.
Bagaimana Perang Ramadan yang meletus pada tahun 1973 ini dianggap relevan dalam konteks kita di Malaysia?
Pengajaran terbesar Perang Ramadan kepada kita ialah pemerkasaan pertahanan sesebuah negara semata-mata tidak mencukupi dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Sebaliknya, kerjasama dengan negara lain seperti negara pelopor teknologi moden serta negara jiran serantau juga amat kritikal. Demikianlah kejayaan Mesir menguasai Terusan Suez dan Semenanjung Sinai daripada cengkaman Zionis Israel hasil kerjasama dengan Kesatuan Soviet dan negara jiran iaitu Syria ketika itu.
Dalam konteks kita hari ini, tempoh antara Julai hingga Ogos 2019 menyaksikan satu pola strategi ketenteraan dalam interaksi antara kita dengan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya di rantau Laut China Selatan ini.
Jika sebelum ini kita dimaklumkan tentang penerimaan Dron (UAV) ScanEagle yang bernilai RM80 bilion secara percuma dari Amerika, terkini kita menyaksikan pula perkembangan menarik dalam Maritime Training Activity (MTA 2019) antara TLDM dan Maritim Malaysia dengan Tentera Laut AS, eksesais MTA MALPHI-LAUT TLDM dengan Tentera Laut Filipina, serta perbincangan bilateral tentang peperangan kapal selam antara TLDM dengan Skuadron Kapal Selam AS di Guam.
Malah US Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) melaporkan bahawa buat pertama kali dalam sejarah 25 tahun MTA, eksesais tahun ini melibatkan Maritim Malaysia dan juga Pengawal Pantai AS.
Mengapa pula sebegini berlaku? Jawapannya berkait secara langsung dengan tindakan China yang sering menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif kita dan negara ASEAN yang lain.
Maka tidak hairanlah apabila MTA 2019 yang melabuhkan tirainya pada 18 Ogos lalu menyaksikan kita dan Amerika mengerahkan aset-aset seperti KD Lekiu, KD Gagah Samudera, KM Marlin, USS Montgomery, USNS Millinocket dan USCG Stratton.
Beberapa hari sebelumnya pula, latihan antara TLDM dengan satu lagi sekutu Indo-Pasifik Amerika iaitu Filipina turut berlangsung di Cebu, Filipina yang melibatkan KD Perak dan KD Pari milik TLDM.
Hakikatnya, pemerolehan 12 dron atau pesawat tanpa pemandu ScanEagle yang dibiayai sepenuhnya oleh AS sebelum ini adalah sebahagian daripada program Maritime Security Initiative (MSI) AS yang sememangnya ada menyediakan bantuan dalam bentuk keupayaan (aset) dan kapasiti (latihan) bagi membantu ‘meningkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) di rantau Asia Tenggara’.
Seperti mana menurut laman rasmi Jabatan Pertahanan Amerika sendiri – khususnya ‘Section 1263 South China Sea (SCS) Maritime Security Initiative (MSI)’ – matlamat utama program yang turut menyasarkan Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam ini adalah untuk melaksanakan peningkatan keupayaan negara-negara rakan kongsi di rantau Laut China Selatan.
Maka tidak hairanlah apabila MTA Malaysia dengan AS turut berlangsung dalam tempoh yang hampir serentak dengan MTA Malaysia-Filipina serta Garuda Shield antara AS dan Indonesia.
Selain itu, pertemuan antara Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM, Laksamana Pertama Baharudin Wan Md Nor dengan Komander Skuadron Kapal Selam Kumpulan 7 Amerika, Laksamana Jimmy Pitts di Polaris Point, Naval Base Guam bulan lalu turut menarik perhatian.
Ini kerana dilaporkan bahawa pertemuan tersebut adalah bertujuan untuk menyemak kembali serta membentuk matlamat bersama di samping perancangan latihan bersama pada masa hadapan.
Untuk rekod, tahun lalu kerajaan Malaysia merancang untuk membeli dua buah kapal selam lagi untuk TLDM dalam tempoh 2031 sehingga 2040 iaitu tempoh Rancangan Malaysia Ke-14 RMK14 (2031-2035) dan Rancangan Malaysia Ke-15 RMK15 (2036-2040).
Meskipun kita berharap agar tiada ‘Perang Ramadan 2.0’ yang akan meletus di Laut China Selatan, namun persediaan untuk mempertahankan kedaulatan kita daripada pencerobohan China sejak 2013 mewajibkan kita untuk bersedia dengan segala kemungkinan.
Pengajaran terbesar Perang Ramadan kepada kita ialah pemerkasaan pertahanan sesebuah negara semata-mata tidak mencukupi.
**Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
No comments
Post a Comment