NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Warkah Untuk Kekanda Cordoba – Syahir Sulaiman


Dahulu hati kami sedikit terusik, tatkala membaca warkah Kekanda yang ditujukan kepada seorang Puteri di sebuah istana.

Sukar difahami maksud yang ingin dicapai, seolah menzahirkan gelora rasa yang sedang membungkam di sanubari Kekanda, yang akhirnya dibiarkan begitu sahaja.

Kelmarin hati kami kembali terusik, tatkala mendengar cemuhan Kekanda yang ditujukan kepada saudara seagama, bahawa ada pihak yang sedang berlumba ke pintu ‘Neraka’.

Sukar difahami maqasid yang ingin dicapai, seolah menzahirkan rasa gundah gulana yang sedang menyelubungi sanubari Kekanda.

Sedarlah Kekanda bahawa Cordoba yang gagah tamadunnya, boleh runtuh sekelip mata, apabila umat Islam terus bersengketa, sedang musuh licik menyusun rencana.

Bukankah Islam mengajar kita untuk berpegang teguh dengan tali Allah dan jangan sesekali bercerai-berai, kerana hanya musuh yang tidak bergembira apabila dua saudara memperbaiki hubungannya.

Sudah lama kita melihat keluarga Melayu bersengketa, adik beradik tidak bertegur sapa, saudara sepupu tidak bertemu mata, hanya kerana berbeza warna politiknya.

Sekarang perbalahan sudah rapat ke dinding, yang disekat oleh sempadan Islam yang menyatukan kita, di atas kalimah Tauhid yang sama.

Setelah salam dihulur dan maaf dipinta, ketenangan mula wujud dalam keluarga, bersetuju untuk bermuafakat bagi membaiki ummah dan negara.

Malah sirah telah membuktikan Rasulullah S.A.W. mula berdakwah dengan keluarga dan kaum bangsanya dahulu, walaupun kerasulannya kepada seluruh manusia.

Disatukan dahulu bangsanya yang berpecah, disatukan dengan Islam dan membina jatidiri mereka dengan Islam, sebelum dilaksanakan Islam yang adil untuk semua bangsa.

Sedarlah Kekanda yang sedang lena di Putrajaya, setiap hari ada sahaja anak bangsa yang tergelincir aqidahnya, hanyut dengan budaya LGBT dan hiburan dunia, di samping suara sumbang yang semakin berani menghina Agama dan Rasul yang Mulia.

Namun Kekanda memilih untuk membisu seribu bahasa, pedulikan sahaja nasib Agama dan anak bangsa, mungkin kerana mabuk dilambung kuasa, atau takut kepada 'jembalang' yang lebih berkuasa.

Janganlah Kekanda menjadi kalangan yang hilang jatidiri Islam dan Melayunya, laksana tikus kekenyangan dalam kepuk padi, atau semut bergelimpangan dalam gula.

Lebih malang apabila Kekanda sanggup menghukum ‘Neraka’ kepada saudara seagama, demi menjaga hati rakan kongsi di Putrajaya.

Sedarlah Kekanda bahawa Syurga dan Neraka ada Pemiliknya.

Syurga disediakan untuk pembela Agama, Neraka disediakan untuk pendusta dan pengkhianat Agama.

Firman Allah SWT (maksudnya):

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada Tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan (semasa jahiliah), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara;

Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya" (Ali-Imran: 103)

Salam hormat dari Adinda.

Syahir Sulaiman
21 Muharram 1441

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo