NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wanita merdeka berpegang ajaran Islam, bebas akal jahiliah



oleh: Ustazah Suriani Sudi
Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

KEMERDEKAAN bererti kita mengangkat maruah dan harga diri kita dari belenggu penjajahan. Merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal semata-mata, malah kemerdekaan sebenar adalah merdeka jiwa dan minda. Merdeka daripada penjajahan tidak mutlak sifatnya. Lihatlah berapa banyak negara yang mencapai kemerdekaan secara fizikal, tetapi masih lagi dijajah secara bukan fizikal.

Kepesatan serta kecanggihan teknologi hari ini telah membuka ruang yang lebih luas kepada ancaman penjajahan bentuk baharu. Dua perkara yang sangat terkesan kepada ancaman berkenaan adalah budaya dan pemikiran, sedangkan budaya dan pemikiran adalah perkara asas dan penting dalam pembentukan jati diri sesebuah masyarakat. Runtuh budaya dan pemikiran runtuhlah jati diri sesebuah masyarakat. Ya, penjajah sudah lama pergi akan tetapi, budaya dan pemikiran mereka masih berakar umbi dalam masyarakat kita.

Merdekakan pemikiran
Badai globalisasi dalam hidup serba moden telah mengakibatkan banyak nilai keperibadian Islam terhakis. Minda dan jiwa dimomokkan kononnya gaya hidup Islamik sudah tidak relevan dengan peredaran semasa, malah gaya hidup barat dikatakan terkehadapan dan maju. Bukan sedikit generasi wanita Islam kecundang dengan persepsi sebegitu. Kalau kita lihat masih ada kelompok wanita yang terheret dengan budaya dan gaya hidup barat dan mengagung-agungkan barat.

Wanita juga perlu bebas dari cara pemikiran liberal yang mengangkat kebebasan sebagai cara berfikir. Wanita perlu sedar, kebebasan liberal yang melangkaui batas-batas agama adalah bukan ajaran Islam. Laungan liberal yang dilaungkan kononnya untuk memberi kebebasan hanyalah retorik semata-mata. Kononnnya mereka mereka memperjuangkan hak asasi wanita sebagai seorang manusia, malangnya ia dilakukan menurut kaca mata Barat. Perjuangan menuntut hak-hak wanita ini telah diberikan wajah baru dan dimurnikan dengan label perjuangan Islam. Pejuang liberal menggambarkan seolah-olah Islam tidak memberikan kebebasan kepada wanita, malah mendiskriminasi wanita.

Hakikatnya, Islam sebagai agama rahmat kepada seluruh alam tidak pernah meminggirkan wanita tidak kira pada kedudukan mana mereka berada. Kehadiran Rasulullah ļ·ŗ dalam kegelapan zaman jahiliah telah mengangkat wanita pada sisi yang tersendiri, selepas wanita pada zaman jahiliah bukan sekadar hilang kemuliaan, bahkan tidak memiliki hak sebagai seorang manusia.

Wanita perlu merdeka dari penjajahan minda ini dalam kehidupan. Bebaskan diri dari pemikiran yang jauh dari Islam dan jahiliah ini. Pilihlah neraca yang betul dalam kehidupan. Hanya dengan membebaskan jiwa dan minda daripada segala dogma yang sesat dan sempit mampu menerbitkan erti merdeka yang sebenar.

Merdeka dengan berpegang kepada Islam

Dengan bertauhid dan sentiasa mengamalkan suruhan-Nya akan membebaskan jasad dan akal manusia daripada belenggu duniawi yang sempit dan fana. Iman yang mantap mampu mengubah watak seorang Muslim dan menjadikannya sebagai seorang yang bebas dari segala pergantungan, dan hanya meletakkan pengharapan kepada Allah SWT. Kefahaman tauhid yang mantap, mendalam dan kukuh akan memberikan implikasi yang nyata dalam pembentukan sudut pandangan, tindakan dan perlakuan seseorang Muslim. Malah, tauhid yang kukuh mampu memberi penjelasan secara lengkap dan tepat mengenai perkara penting yang menjadi isu serta persoalan utama dalam kehidupan manusia.

Sebagaimana masyarakat Arab sebelum Islam dahulu berada dalam kegelapan dan penuh kejahilan, akan tetapi ia bertukar kepada sinar cahaya yang terang sehingga mengubah sikap dan cara hidup setelah mereka memeluk Islam. Ajaran Islam menjadi panduan hidup mereka sehingga menjadikan mereka sebuah masyarakat yang bersih.

Lihatlah jawapan yang diberikan Jaafar bin Abu Talib ketika menjawab pertanyaan Raja Najasyi dalam peristiwa Hijrah di Habsyah dahulu.

Dengan tenang Jaafar bin Abu Talib menerangkan kepada raja yang baik hati dengan satu ungkapan, "Wahai Tuan, kami dahulunya adalah kaum yang jahil, kami menyembah berhala, kami memakan bangkai, kami melakukan perkara-perkara yang keji dan tercela, kami memutuskan silaturahim, kami memutuskan hubungan kekeluargaan, kami melupakan jiran tetangga serta menindas kaum yang lemah sehingga akhirnya datang kepada kami seorang Rasul yang menyeru kepada jalan Allah, menyeru kami supaya mentauhidkan Allah, menyuruh kami menunaikan janji, menghubungkan silaturahim, berbaik-baik dengan jiran, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa, melarang kami melakukan kemungkaran, bercakap bohong, memakan harta anak-anak yatim serta melarang kami mencemarkan wanita yang bersih dan baik. Apabila kami memeluk Islam, segala yang haram kami jauhi dan yang halal kami laksanakan. Disebabkan itulah masyarakat memusuhi kami."

Kata-kata Jaafar bin Abu Talib itu adalah bukti bahawa pegangan tauhid dan Islam yang kukuh mengubah rentak dan cara hidup masyarakat Arab ketika itu. Iman dan Islam telah memerdekakan mereka dari kehidupan jahiliah yang keji dan tercela. Malah, Islam turut memperlihatkan bagaimana Nabi ļ·ŗ diutuskan Allah SWT untuk memerdekakan manusia daripada kesesatan dan kezaliman kepada kebenaran dan keadilan. Kedatangan Islam menjadi simbol kemerdekaan manusia daripada segala bentuk belenggu dan penjajahan kepada kebebasan yang sebenar, agar manusia tidak tunduk dan takut kepada mana-mana makhluk atau kuasa selain Allah SWT.

Justeru, konsep kemerdekaan tidak boleh berdiri secara sendiri dan mutlak. Kemerdekaan harus disandarkan kepada jiwa dan akal manusia yang fitrahnya merdeka. Maka, untuk menjadi wanita yang maju dan kehadapan wanita perlu kepada minda dan jiwa bebas merdeka. Usah terus diperhamba dan diperbudakkan orang lain, kerana ia akan menghinakan diri sendiri. Wanita yang merdeka bermula dengan jiwa dan akal yang merdeka.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo