BANGI, 3 Muharram 1441H, Selasa – Kerajaan Negeri Terengganu bersedia menarik diri daripada menyertai sukan tertentu sekiranya berdepan halangan dalam etika berpakaian yang bercanggah dengan garis panduan ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, terdapat beberapa sukan yang tidak boleh dikompromi misalnya gimnastik dan gimrama untuk wanita.
"Jadi kita terpaksa tarik diri. Namun bagi kategori lelaki untuk sukan sama, kita tidak ada masalah. Bagi atlet bukan Islam yang mewakili negeri pula akan ada peraturan tertentu disediakan nanti," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Bengkel Garis Panduan Sukan Menurut Islam 2019 di sini hari ini.
Pun begitu, Wan Sukairi berkata, pihaknya tidak mahu mengambil pendekatan terburu-buru kerana konsep patuh syariah itu perlu dilihat dalam konteks yang luas dan bukan hanya terhad kepada etika berpakaian, sebaliknya merangkumi soal pergaulan di samping perkara-perkara teknikal dalam bidang sukan.
"Pengenalan pemakaian patuh syariah terhadap atlet beragama Islam yang mewakili negeri ini hanya akan dilaksanakan selepas kerajaan negeri menyediakan jalan penyelesaian terbaik terhadap seluruh aspek sukan dan lain-lain perkara.
"Kerajaan negeri sedang bergerak ke arah itu dengan ketika ini satu Garis Panduan Sukan Menurut Islam sudah dihasilkan Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda," katanya.
Pada masa sama sama, Wan Sukairi seperti dilapor Utusan Online mengalu-alukan mana-mana pereka fesyen tanah air yang mahu menyumbangkan idea untuk menghasilkan pakaian patuh syariah yang sesuai untuk atlet negeri ini dengan mengambil kira keperluan yang ditetapkan bagi jenis-jenis sukan.
No comments
Post a Comment