NOTIS:
Rumah Tidak Terjual, Elak Manipulasi Warga Asing
KUALA TERENGGANU, 25 September – Menyelesaikan masalah lambakan rumah mewah tidak terjual berjumlah kira-kira RM100 bilion di seluruh negara hari ini tidak semudah ucapan.
Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia perlu dilihat secara lebih komprehensif supaya Kerajaan Pusat dapat mengurangkan tekanan terhadap lambakan rumah berkenaan.
Katanya, Kerajaan Pusat perlu memikirkan bagaimana Skim Rumah Kedua (Second Home) supaya pembeli warga asing tidak memanipulasi skim tersebut bagi tujuan mendapat Status Penduduk Tetap.
"Saya rasa dengan skim pemilikan rumah sebagai 'second home' (rumah kedua) ini pun haruslah dilihat bagaimana cara supaya mereka ini tidak berada di Malaysia mempunyai objektif yang lain.
"Seperti untuk mendapat status penduduk tetap dan akhirnya terus menetap di negara kita.
"Jadi ini sudah lari dari objektif dasar rumah kedua negara. Jadi saya rasa ini tidak semudah kita ucapkan tetapi perlu dilihat secara lebih komprehensif supaya kita dapat mengurangkan tekanan terhadap lambakan rumah belum terjual itu," katanya
Beliau berkata demikian di Sidang Media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perumahan Bercampur Kampung Bukit Cina Pasir Akar Besut di Perkarangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Terdahulu sebuah portal berita melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, cadangan Penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada pembeli warga asing bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual adalah sebahagian daripada usaha untuk memulihkan ekonomi negara.
Bagaimanapun, Dr Ahmad Samsuri menjelaskan ia hanya lontaran idea dan tidak ada sebarang keputusan dari mesyuarat kabinet.
"Saya difahamkan apa yang disebut oleh YB Menteri Perumahan adalah satu lontaran yang dibuat semasa satu majlis perasmian dan belum ada lagi kertas kabinet dibuat ataupun apa-apa keputusan kabinet tentang perkara ini.
"Pada saya ianya harus dilihat lebih menyeluruh, bukan sekadar kita ada lambakan rumah, nak selesai dan nak jual rumah begitu sahaja.
"Perlu ada perbincangan yang khusus bagaimana cara untuk menyelesaikan lambakan rumah ini," tambahnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata ia bukan masalah pembeli dan penjual semata-mata tetapi ia juga melibatkan institusi perbankan dan lain-lain institusi.
"Jadi saya rasa semua pihak perlu duduk mencari jalan. Bagaimana cara terbaik rumah-rumah ini dijual, difahamkan ada yang berharga RM1 juta sebuah.
"Ada lebih kurang RM100 bilion lambakan rumah yang belum lagi terjual, tentulah dengan harga demikian, dengan kesukaran pihak-pihak yang mahu mendapatkan pinjaman semacam 'date lock' (terkunci mati), rumah berkenaan tidak dapat dijual.
Sebab itu katanya, isu ini perlu dirungkai secara menyeluruh bukan sekadar berfikir untuk menjual rumah tanpa mengambil kira siapa pembelinya.
"Bukan sekadar kita ada rumah, kita cari orang asing untuk membeli rumah termasuklah kalau isu orang asing beli rumah sekalipun ada cara penyelesaiannya perlu dibuat," ujarnya.
Sumber: https://www.teganukita.net/2019/09/rumah-tidak-terjual-elak-manipulasi.html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment