BANGI, 18 Muharram 1441H, Rabu – "Sejak menguasai kerajaan, Pakatan Harapan (PH)-DAP hanya pandai lelong aset-aset utama negara," kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.
Beliau berkata, malang sekali Malaysia Baru di bawah pentadbiran PH kerana jauh lebih buruk prestasinya berbanding Barisan Nasional (BN) yang dituduh sebagai rejim kleptokrasi.
"Apa yang rakyat saksikan di bawah Malaysia Baru ialah satu budaya baru. Ada tiga komponen budaya baru yang dibawa PH sebaik-baik sahaja memegang kuasa; menfitnah-fitnahkan BN untuk berkuasa; menyalahkan orang lain atas kelemahan sendiri – bila buat keputusan salah terus letakkan kesalahan pada UMNO dan BN; dan plagiarisma – jenama semula inisiatif Kerajaan BN.
"Bahkan, akhir-akhir ini kerajaan PH perkenalkan satu lagi budaya baru untuk rakyat Malaysia, iaitu melelong aset negara," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siri lelongan aset negara ini dimulakan dengan penjualan IHH Healthcare Bhd (IHH) kepada Mitsui dari Jepun.
Bahkan, katanya jika hendak disenaraikan, memang banyak aset penting negara yang telah dijual oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang digelarnya sebagai 'Raja Lelong'.
"Ases Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Sime Darby dan Telekom dah dilelong. Dengar desas-desus PETRONAS akan dijual juga. Raja Lelong LGE juga sedang mengintai aset-aset Permodalan Nasional Berhad (PNB).
"Terbaru, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pula akan dijual kepada orang asing. MAHB akan berpindah milik kepada pemilik lapangan terbang Gatwick. Kenapa MAHB mahu dijual? Bukankah MAHB aset negara yang strategik dan menguntungkan?
"Apa muslihat sebenar Raja Lelong LGE nak jual MAHB dan aset-aset strategik lain milik negara yang menguntungkan?," soalnya.
Terbaharu, Khazanah Nasional Berhad mengumumkan akan menjual Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) di Kuala Lumpur pada nilai RM1.02 bilion secara tunai.
Jualan itu berlaku selepas setahun Khazanah membeli hospital berkenaan daripada Petronas.
Khazanah berkata, Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd mencapai persetujuan pembelian saham dengan Pantai Holdings Sdn Bhd untuk melupuskan 100 peratus kepentingan terhadap hospital itu.
Pantai Holdings Sdn Bhd dimiliki sepenuhnya oleh IHH Healthcare Berhad.
Menempelak tindakan itu, Azlan Man berkata, apa yang dilakukan Guan Eng mesti ditentang kerana tindakan Setiausaha Agung DAP itu merugikan rakyat dan negara.
"Tindakan LGE mesti dihentikan. LGE mesti dipaksa letak jawatan segera untuk selamatkan ekonomi dan negara Malaysia.
"Rakyat wajib bangun dan tuntut Guan Eng untuk letak jawatan segera! Rakyat wajib tuntut PRU-15 diadakan segera untuk selamatkan ekonomi dan negara Malaysia dari perompak kelas pertama ini. Ayuh rakyat bangun dan tuntut PRU-15 diadakan segera," katanya.
No comments
Post a Comment