NOTIS:
Pertembungan sengit di PRK Tanjung Piai - Tuan Chua
PONTIAN 29 Sept. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan peluang Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menang pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai adalah seimbang.
Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, ini kerana kerajaan PH dilarang menggunakan jentera kerajaan termasuk dana bagi membantu calon mereka bertanding seperti tiga PRK sebelum ini.
Malah katanya, kerajaan Pakatan PH tidak boleh menggunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya berpihak kepada mereka sepertimana dilakukan kerajaan Barisan BN semasa memerintah dahulu.
"Bagaimanapun PH yakin mampu mempertahankan kerusi tersebut dengan syarat jentera kempen PH dapat bergerak secara berpasukan dan dapat menangkis serangan pembangkang.
“Memang kita akui PRK Tanjung Piai akan berlangsung dengan sengit dan peluang mana-mana parti yang bertanding adalah sama untuk memenangi hati pengundi Tanjung Piai,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Pontian di Pusat Perdagangan Pontian di sini, petang semalam.
Yang turut hadir, Ketua PKR Cabang Pontian, Ronald Sia dan Setiausaha PKR Cabang Pontian, Datuk Tan Chin Hock.
Tambah Tian Chua, gerak jentera pilihan raya PH yang terdiri daripada Parti Amanah, DAP dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu saling bantu membantu dan tidak bergerak secara sendirian.
“Memandangkan kita akan berhadapan dengan lawan yang kuat, semua jentera pilihan raya perlu bersedia dan meningkatkan peranan masing-masing supaya kerusi Tanjung Piai kekal pada tangan PH,” ujarnya.
Katanya, PKR menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih calon sesuai bagi mewakili PH yang tentunya mempunyai kreteria termasuk kelayakan, berpontensi untuk menang dan mampu berhujah dengan baik.
Jelas beliau, jika kriteria tersebut dapat dipenuhi pengundi pastinya dapat membuat pilihan yang bijak bagi terus mewakili suara mereka di Dewan Rakyat seperti dilakukan Allahyarham Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik.
PRK Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya, Dr. Md. Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).
Kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU-14, memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus. - UTUSAN ONLINE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment