NOTIS:
Muafakat Nasional Bakal Menaufan Tsunami Perubahan Politik.
Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.
Himpunan Perpaduan ummah belum lagi surut momentumnya, masih geger diperkatakan diseluruh pelusok tanahair. Himpunan bersejarah ini mendapat liputan media daripada dalam dan luar negara termasuk rangkaian berita Al Jazeera. Musuh politik PAS dan UMNO seperti sawan dan terpanar, tak sepi mereka menilai dengan mata lalat dan menghujam dengan penuh nafsu.
Kebanyakan komen daripada pemimpin PH ialah bagaimana PAS menjadi singkat ingatan terhadap kezaliman UMNO terhadap PAS selama ini, Memali, royalti minyak terhadap kerajaan PAS, pengucilan terhadap kerajaan Kelantan, dan lain-lain. Usaha menimbulkan keraguan kepada pemuafakatan ummah juga membandingkan dua orientasi berbeda bagi dua parti yang selama hampir tujuh dekad bertarung di pentas demokrasi.
Paling takut ialah pemimpin DAP yang cuba mengambarkan pemuafakatan ini akan menyebarkan rasa permusuhan antara kaum dan menyuburkan polarisasi kaum. Ketakutan DAP dengan pantas disambung oleh parti PAN, perkakas politik mereka yang paling setia. Lihatlah kegelabahan mereka seolah langit akan menghempap negara ini dan terbakar menjadi padang jarak padang tekukur. Naratif yang dibawa oleh pemimpin PH bahawa PAS akan kembali disakiti apabila BN kembali berkuasa di peringkat nasional sebagaimana PAS ditendang pada tahun 1977.
Dalam politik, semua pertimbangan risiko perlu diambil kira dan memahami latar sejarah, unjuran strategik namun jika sejarah silam ssesebuah parti politik diambil kira, maka tidak akan berlaku apa-apa pemuafakatan, pakatan strategik atau kerjasama berdasarkan realiti semasa.
Pemimpin PH wajar bercermin diri apatah lagi ucapan-ucapan lampau mereka terekod kemas di alam siber. Apa yang mereka tidak gambarkan pada watak antagonis Tun Dr. Mahathir sebelum mereka menjilat balik ludah mereka? Tetapi untuk menakluki Malaysia dan menjatuhkan BN, maka tanpa sepicing perasaan bersalah maka pimpinan PH terpaksa "sujud menyembah" insan yang mereka gambarkan sebagai "Maha Firaun". Mereka berpolitik seolah tanpa ada dosa dan pahala, kebal azab neraka!.
Jika mereka jujur melihat bagasi sejarah sepanjang 22 tahun Tun mentadbir negara, bahkan penindasan Tun Mahathir kepada pembangkang terutama PAS sendiri. Tangkapan ISA, cara regim Tun menanggani bantahan awam, sikap Tun dalam menguruskan perbedaan suara dan pandangan, atau paling diingati beban sejarah dengan Anwar Ibrahim.
Jika memikirkan sejarah lampau Tun Mahathir dan parti pembangkang pastilah mereka tidak bekerjasama dengan Tun Mahathir dalam PRU 14 yang menyaksikan tumbangnya BN. Namun demi rengkuhan kuasa serta "politic real" maka segala sejarah silam pemimpin PH dengan Tun Mahathir telah diabaikan.
Pemimpin PH tidak perlu menekan butang panik dan menunjukkan kelemahan akal fikir mereka, tak perlu merespon secara berlebihan kerjasama PAS-UMNO melalui perpaduan ummah atau Muafakat Nasional. Meratib bagasi sejarah Umno yang penuh pengkhianatan terhadap pembangkang, salah urus, kebejatan dan pelbagai kebobrokan lain. Jangan buat-buat lupa juga, selama 22 tahun sejarah Umno adalah di bawah pemerintahan Tun Mahathir.
Pemuafakatan ini bukan sahaja untuk meneguhkan politik Islam Melayu negara ini, namun menjalin hubungan dengan kaum-kaum lain bagi memastikan negara ini di landasan yang betul. Rakyat yang gelisah dan marah dengan reputasi pemerintahan PH dalam tempoh 16 bulan ini, bercakaran sesama sendiri, penjualan aset negara, hubungan kaum yang mula tidak harmoni kerana sikap etnosentrism sebahagian pemimpin PH terutama daripada DAP, penggangguran semakin menjolok mata, polisi-polisi pra matang para Menteri, kontrak sosial yang mula didobrak pasca 9 Mei 2018. PAS yang ditarjih oleh Majlis Syura Ulama melihat tanah watan ini perlu diselamatkan sebelum dihancurkan oleh politikus jalanan yang mendapat kuasa dalam PRU 14. Pemuafakatan politik ini juga diterima dalam ruang demokrasi,maka mengapa PH menjadi gelabah tak keruan?
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment