NOTIS:
Mahkamah Koroner putus Adib maut diserang pihak ketiga
SHAH ALAM: Mahkamah Koroner hari ini memutuskan Muhammad Adib Mohd Kassim menemui ajal akibat perbuatan pihak ketiga susulan tragedi rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada 27 November tahun lalu.
Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues kematian Adib memutuskan perkara itu setelah berpuas hati mendengar segala keterangan saksi sepanjang siasatan berjalan.
Keputusan itu selari dengan teori perunding kanan patologi forensik di United Kingdom Dr Shahrom Abd Wahid yang memberitahu inkues bahawa Adib berkemungkinan besar ditarik keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika insiden rusuhan dan mangsa juga mungkin dihentak ke pintu van berkenaan dengan kuat.
Penghakiman itu akan membuka jalan kepada proses pendakwaan terhadap pihak terbabit kerana membunuh.
Inkues bagi menentukan punca kematian Adib bermula 11 Feb lalu, susulan pelbagai dakwaan bercanggah mengenai punca kematian anggota bomba itu.
Koroner Rofiah mengakhiri prosiding inkues selama 41 hari pada 24 Julai lalu, selepas mendapati keterangan 30 saksi, termasuk pakar mencukupi untuk membantu mahkamah membuat keputusan.
Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/09/27/mahkamah-koroner-putus-adib-maut-diserang-pihak-ketiga
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment